Thursday, June 30, 2011

Bersih Xbersih

Bersih cetus huru-hara

Oleh ASIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


TAN SRI ISMAIL OMAR

KUALA LUMPUR 29 Jun – Perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini boleh mencetuskan ketegangan, huru-hara, kemusnahan harta-benda, kecederaan dan berkemungkinan melibatkan kehilangan nyawa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ia berdasarkan risikan, penilaian dan taksiran keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekiranya perhimpunan haram itu tetap diteruskan.

Menurut beliau, polis juga mendapati wujudnya usaha anasir-anasir asing yang cuba mengambil kesempatan mengeksploitasikan perhimpunan haram itu.

Sehubungan itu, tegas beliau, pihaknya akan menggunakan apa jua peruntukan undang-undang yang ada untuk menghalang perhimpunan haram tersebut diadakan.

“Oleh yang demikian, saya secara peribadi telah memanggil beberapa penganjur yang masih berdegil dan mahu meneruskan perhimpunan haram ini.

“Ada yang hadir dan ada yang tidak memberi kerjasama. Kita (PDRM) masih lagi menggunakan cara berhemah, saya masih (peringkat ini) berhemah tetapi jangan hingga ke peringkat seterusnya, saya terpaksa laksanakan (tegas),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Tambah Ismail, PDRM tidak akan membenarkan mana-mana individu atau pihak tertentu mengambil tindakan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dan porak-peranda.

“Sehingga 28 Jun ini, sebanyak 1,830 laporan polis membantah perhimpunan haram ini malah, sejak empat hari lalu, 101 individu ditangkap dan 45 masih lagi ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan menahan sesiapa sahaja individu atau kumpulan yang memakai baju Bersih, Ismail menjelaskan, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas apa sahaja yang bertujuan menghasut orang ramai.

Ismail turut memberi jaminan bahawa setiap anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keadaan negara pada 9 Julai ini berada dalam keadaan terkawal dan selamat.

“Kita mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan tidak berlaku keadaan huru-hara dan seterusnya tiada sebarang perhimpunan haram nanti,” katanya.

Selain itu, Ismail mengingatkan mana-mana individu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk hasutan kepada umum kerana perbuatan mereka sentiasa dipantau.

“Saya ingin mengingatkan agar setiap masyarakat menjaga perbuatan atau kata-kata supaya tidak tergolong dalam satu kesalahan berbentuk hasutan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan terpaksa membatalkan kehadirannya untuk menerima anugerah pingat Bintang Bhayangkara Utama Polri dari kerajaan Republik Indonesia esok, ekoran keadaan semasa yang berlaku di negara ketika ini.
TAJUK-TAJUK BERIT

No comments:

Post a Comment