Kami sudah lakukan kewajipan, ini pengorbanan kami - Trio Datuk 'T'
Trio Datuk 'T' menjadi tumpuan media ketika hadir di Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 24 Jun - "Sumpah laknat sudah dilakukan dan (hari ini) kami bertiga didakwa dan dihukum di mahkamah. Ini pengorbanan kami. Terpulang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan.''
Demikian ujar ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah berhubung pendakwaan dan hukuman yang diterima Trio Datuk 'T' atas tuduhan menayangkan klip video seks seorang lelaki yang dikatakan mirip pemimpin parti pembangkang awal Mac lalu.
Menurut beliau, tindakannya dan dua lagi rakannya iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik serta bekas Bendahari Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuaib Lazim bertindak mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan adalah atas dasar kebenaran.
"Kami dah tayangkan (klip video seks). Itu kami tidak boleh nafikan di mahkamah. Oleh yang demikian, kami kena mengaku bersalah.
"Lagipun, kami tayangkan klip tersebut untuk menegakkan kebenaran. Dituduh dan didakwa serta dijatuhkan hukuman, ini adalah pengorbanan kami.
"Justeru itu, kami sudah lakukan kewajipan kami. Terpulanglah kepada rakyat untuk menimbangkan segala apa yang telah kami usahakan demi kebenaran,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shazryl berkata, selepas segala usaha yang dilakukan untuk mendedahkan individu sebenar dalam klip video itu, beliau dan dua lagi rakannya menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak-pihak tertentu bagi merungkai kebenaran.
"Ramai yang sudah tahu siapa individu terbabit. Namun, berapa lama dia boleh bersembunyi di sebalik kebenaran?'' kata beliau.
Terdahulu, Abdul Rahim ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, pengorbanan mereka bertiga adalah demi mempertahankan kepentingan negara.
"Walaupun saya tidak berapa gembira dengan hukuman ini tetapi sebagai rakyat yang patriotik, kami sedia berkorban untuk memberitahu bahawa sikap hipokrit (individu dalam klip video) harus dihentikan.
"Kami yakin Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terlibat dan melakukan maksiat. Pemimpin yang korup dari segi moral mudah sahaja terdedah dengan perkara-perkara korup lain. Anwar tidak layak jadi pemimpin.
"Kami korbankan diri kami bertiga supaya rakyat dapat menimbang dan menghakimi perkara sebenar. Menjadi harapan saya agar tiada lagi kenyataan berbunyi mirip... mirip... mirip... (individu dalam klip video) selepas ini,'' tegasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment