Thursday, June 30, 2011

Bantu Yang Terlanjur

MUIP bantu remaja terlanjur

KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 29 Jun – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bersedia memberi perlindungan kepada golongan remaja hamil akibat keterlanjuran supaya kebajikan mereka terbela.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya akan mencari tempat tinggal dan menanggung semua kos perubatan kepada wanita terbabit dan bayinya.

Menurut beliau, pihaknya sangat prihatin dan rasa bertanggungjawab dengan masalah yang membelenggu golongan wanita atau remaja yang terlanjur.

“Banyak yang kita dengar dan lihat apabila ada kes seumpama ini, remaja atau wanita terbabit tiada hala tuju dan akhirnya memilih membuang bayi mereka.

“Bagi mengelakkan perkara sedemikian berterusan, kami dengan rasa tanggungjawab bersedia memikul dan membantu kaum wanita ini sehingga mereka melahirkan anak mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan sempena program Ziarah Prihatin pesakit-pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Menurut Wan Abdul Wahid, setakat ini, pihaknya telah menerima beberapa kes seumpama itu dan telah diberi tempat perlindungan sesuai.

“Kos perubatan untuk ibu dan anak itu ditanggung sepenuhnya oleh MUIP. Mudah-mudahan mereka yang pernah melakukan kesilapan dan terlanjur insaf dan sedar.

“Kita berharap isu yang melanda masyarakat kini terutama masalah pembuangan bayi dapat dibendung dan dicegah,” katanya.

No comments:

Post a Comment