Peneroka raih RM6,000 sebulan
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my
KUALA KRAU 17 Jun - Purata pendapatan hampir 15,000 peneroka Felda Wilayah Jengka di 37 tanah rancangan kini mencecah kira-kira RM6,000 sebulan bagi setiap keluarga berikutan kenaikan harga getah dan kelapa sawit yang tinggi pada masa ini.
Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, kebanyakan peneroka tanaman getah berpendapatan purata RM4,546 sebulan manakala peneroka kelapa sawit pula RM6,614 sebulan.
Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada peneroka memperoleh pendapatan bulanan lebih besar berikutan kenaikan harga kedua-dua komoditi tersebut.
‘‘Untuk mendapat harga perahan minyak yang lebih baik, mereka perlu memenuhi syarat tertentu seperti menuai benih yang benar-benar masak, berkualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
‘‘Setiap warga Felda Jengka harus bertekad menghasilkan produk yang bermutu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyertai majlis Gotong- Royong Perdana di Masjid Jengka Ahmad Bandar Jengka di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail.
Menurut Saari, harga komoditi sawit dan getah dijangka sentiasa berada paras yang tinggi antara RM750 hingga RM800 satu tan metrik.
Kata beliau, peneroka yang mendapat harga pulangan tinggi itu diminta berjimat cermat kerana pendapatan yang dinikmati ketika ini ditentukan oleh pasaran.
‘‘Kini peneroka boleh berbangga dengan pendapatan bulanan yang diterima kerana produktif menghantar hasil kilang sawit dan getah milik Felda,’’ katanya.
Saari juga mahu warga Felda di Wilayah Jengka seramai 252,699 orang itu mencarum ke dalam Koperasi Pemodalan Felda kerana mereka mampu menikmati pulangan pendapatan dividen tinggi.
No comments:
Post a Comment