Tuesday, June 14, 2011

bersih

Manipulasi demonstrasi dan kegilaan ke Putrajaya

Oleh Zulkefli Hamzah

AMAT lucu apabila ada pemimpin pembangkang masih percaya mereka sebenarnya yang menang pada pilihan raya umum lalu. Walaupun sudah lebih tiga tahun berlalu, bahkan pilihan raya umum yang baru semakin hampir, mereka masih enggan percaya kepada hakikat bahawa majoriti rakyat telah menolak mereka.

Sehingga sekarang, mereka masih mendakwa kemenangan BN atas faktor bernasib baik kerana diselamatkan antaranya oleh undi pos dan ‘undi masyarakat Felda yang tertutup’. Tak hairanlah lambang pusat pentadbiran Putrajaya pun semakin meriah digunakan dalam kempen-kempen politik mereka.

Impian menawan Putrajaya seperti tak pernah luput dalam setiap gerak langkah pembangkang. Maka, Malaysia pun buat pertama kali dalam sejarah terperangkap dalam aktiviti berkepentingan politik, kempen memancing undi dan menonjolkan diri tanpa henti. Demam pilihan raya seolah-olah sentiasa mengitari kehidupan kita.

Manipulasi 16 September, yang gagal memartabatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri rupa-rupanya tak pernah melenyapkan kegilaan mereka untuk menawan Putrajaya. Maka, banyaklah yang mereka terus manipulasikan – agama, bangsa dan negara – demi mengejar impian itu.

Tatkala rakyat mahu merasai angin segar bebas politiking (tamat tempoh pilihan raya kecil), kita bakal dibebankan pula dengan rancangan pembangkang mahu menganjurkan demonstrasi jalanan di ibu negara pada 9 Julai ini.

Jumlah yang disasarkan untuk menyertai himpunan yang mereka namakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2) ini amat besar iaitu 300,000 orang. Bayangkan mengelegaknya Kuala Lumpur jika benar angka itu dapat dicapai.

Pas, yang sudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan kini didominasi oleh golongan Anwarinas paling galak mempromosikan demonstrasi ini. Tak kalah, muktamar parti orang Melayu dan Islam ini meluluskan usul demonstrasi jalanan tersebut.

Dan, ia akan menjadi agenda utama jentera baru Pas, Mohamad Sabu kerana kemampuan sebenarnya sebagai seorang Timbalan Presiden dan pakar demonstrasi akan diukur daripada demonstrasi ini. Secara tidak langsung, demonstrasi ini sudah menjadi agenda peribadi yang diselubungi matlamat politik.

Mat Sabu yang sejak sekian lama menjadi ayam sabung Pas dan turut diuar-uarkan sebagai antara calon pengganti ketua pembangkang jika sesuatu berlaku kepada Anwar nampaknya tidak mahu berundur walaupun setapak untuk menganjurkan demonstrasi itu.

Mat Sabu dan pembangkang serta NGO pro pembangkang tahu kesan tunjuk perasaan yang selalunya menjadi momentum kepada kejatuhan kerajaan. Itulah biasanya matlamat dan hala tuju penaja demonstrasi seperti yang banyak berlaku di luar negara. Mungkinkah itu tujuan sebenar mereka?

Himpunan Bersih ini yang mendapat tentangan banyak pihak sudah menjadi isu keselamatan negara. Dalam himpunan beremosi dengan orang seramai itu, tidak mungkin sebarang tindakan provokasi boleh dikawal. Alhasil polis jugalah nantinya yang menjadi sasaran.

Enam tuntutan pilihan raya bersih dan telus yang dijadikan modal untuk demonstrasi itu tidak lebih hanya wayang untuk mengaburi orang Melayu yang menjadi peserta terbesar perhimpunan. Mengapa perlu mengerahkan ribuan orang dan terdedah pula dengan rusuhan dan huru-hara, jika hanya mahu mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong?

Hak untuk bersuara memang diperuntukkan oleh undang-undang tetapi ia perlu dilakukan secara bijak dan berhemah melalui saluran yang disediakan. Paling bagus, gunalah Parlimen. Rakyat telah memberikan mereka suara yang signifikan untuk membuat apa jua desakan. Jika tujuannya ‘untuk kepentingan rakyat dan negara’ tiada alasan ia ditentang.

Jika mampu mengatur strategi yang serba rumit menggerakkan demonstrasi, mengapa pula mereka tidak boleh ‘menggempur’ Parlimen semaksimum mungkin dengan hujah dan fakta agar tuntutan mahupun pemikiran mereka diterima. Parlimen adalah gelanggang terbuka dan tempat wakil rakyat menyuarakan pendapat mereka.

Jika tujuannya mahu menghantar memorandum, cukuplah dengan menghantar wakil yang berkaitan sahaja. Bukan memanipulasi rakyat sebagai benteng memenuhi kehendak politik mereka. Mengapa perlu mengerahkan kekuatan sehingga 300,000 orang? Apa sebenarnya yang mahu ditunjukkan, tuntutan atau kekuatan mereka menjelang pilihan raya umum ini?

Benarkah pilihan raya di Malaysia tidak adil dan telus, sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperakui badan itu akan sentiasa melakukan transformasi berdasarkan keperluan? Hujah mudah yang selalu digunakan ialah, jika tidak adil dan telus, tidak mungkin pembangkang ‘akan dibenarkan’ menawan negeri kaya Selangor dan Pulau Pinang. Jika begitu, tidak mungkin Kelantan dapat terus digenggam Pas.

Kemenangan dan diikuti kekalahan demi kekalahan pembangkang dalam siri pilihan raya kecil juga menjadi alasan kukuh bahawa parti kerajaan boleh kalah dan boleh menang. Janganlah apabila mereka kalah, sistem yang sama disalahkan tetapi mengiktirafnya ketika menang.

Kalaupun mahu menang pilihan raya umum akan datang, binalah momentum dengan cara berhemah. Ya, demonstrasi adalah cara mudah dan dibenarkan oleh undang-undang tetapi dalam ‘situasi sekarang’ kesan negatifnya begitu besar.

Tatkala pembangkang dan kumpulannya mahu demokrasi dihormati, mereka perlu terlebih dahulu mendukung sebarang tindakan untuk menegakkan undang-undang. Hormatilah penguat kuasa undang-undang, jika mereka diminta membatalkan demonstrasi itu.

Parti politik juga perlu melakukan pendidikan politik agar penyokong mereka memahami apa yang patut dan tidak patut dilakukan. Janganlah terus-terusan membuat provokasi agar rakyat marah dengan harapan nantinya mereka akan membalas dendam melalui undi.

Wahai pembangkang, janganlah terus memperlihatkan bahawa politik kita masih dikendalikan oleh kepentingan yang menghalalkan segala cara. Janganlah terus memanipulasi demokrasi hanya kerana kegilaan mahu ke Putrajaya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment