Tuesday, June 14, 2011

pas yang selalu terlepas

Pas diminta bentang model

Apabila Presiden Pas mengisytiharkan di dalam Muktamar Pas Ke-57 baru-baru ini bahawa dasar perjuangan Pas sekarang adalah untuk menubuhkan ‘Negara Berkebajikan’ dan meninggalkan perjuangan menegakkan ‘negara Islam’, sekali gus menguburkan undang-undang hudud, ingatan saya kembali kepada pengalaman bertugas di Terengganu pada awal tahun 80-an sehingga pertengahan tahun 90-an.

Pada waktu itu, sebelumnya dan sehingga bulan Jun 2011, moto dan hala tuju utama perjuangan Pas yang dicanangkan kepada ahli-ahlinya di seluruh negara adalah untuk menegakkan negara Islam dan undang-undang hudud.

Maka dengan alasan itu Pas sejak dahulu telah menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh UMNO adalah kafir dan kerajaan sekular kerana pemerintahan BN adalah bukan negara Islam.

Pada waktu itu juga ramai pemimpin Pas, termasuk Murshidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar UMNO. Cabaran mereka kalau UMNO mendirikan negara Islam, maka pada hari itu juga mereka akan masuk menyertai UMNO.

Amat besar kerosakan masyarakat yang berlaku akibat Pas menjadikan penubuhan negara Islam sebagai produk utama politiknya pada waktu itu. Berlaku kes sembahyang dua imam dalam masjid kerana berimamkan orang UMNO tak sah sembahyang.

Sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan. Yang lebih fanatik kubur orang Pas tidak boleh bercampur dengan orang UMNO dan banyak lagi kalau hendak ditulis.

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan kerajaan Perikatan dan selepas itu dipanggil BN telah menjalankan pemerintahan dengan matlamat untuk menjadikan negara aman, makmur dan sejahtera. Rakyat hidup dalam keadaan aman damai dan taraf kualiti kehidupan meningkat dari semasa ke semasa. Sehingga kini dalam sesetengah aspek setanding dengan negara-negara yang telah bertaraf negara maju.

Slogan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Rakyat Di Dahulukan Pencapaian Di Utamakan’, program pengisiannya penuh dengan ciri-ciri kebajikan untuk rakyat. Tidak perlu disebutkan di sini satu persatu secara terperinci, sebaliknya silalah Presiden Pas membentangkan program negara berkebajikan yang hendak ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Kita mahu lihat program tersebut mestilah realistik, lebih berkesan dalam mempertingkatkan mutu hidup rakyat dalam semua jurusan. Yang paling penting, logik ia boleh dicapai berdasarkan keupayaan pendapatan negara bagi jangka masa pendek dan dalam jangka panjang dan pasti tidak memudaratkan.

Jika Presiden Pas gagal membuat pembentangan model negara kebajikan Pas, maka logiknya seluruh ahli Pas seharusnya masuk UMNO. Ini kerana UMNO sejak dulu, kini dan selamanya telah mengamalkan pemerintahan berkebajikan untuk kesejahteraan seluruh rakyat, sehingga Malaysia menjadi contoh bagi negara-negara membangun di seluruh dunia dan mereka belajar bagaimana sistem pentadbirn kerajaan BN.

Teringat kisah tahun 80-an dahulu sememangnya saya geleng kepala. Ini kerana yang masih hidup apatah lagi yang telah meninggal dunia, telah menanggung kesan keruntuhan kehidupan bermasyarakat yang harmoni dari perjuangan lama Pas untuk menegakkan negara Islam, yang tidak sepatutnya diubah menjadi perjuangan nombor satu selagi tidak tercapai.

Maka telah terserlahlah antara kebenaran dan yang batil dan antara yang ikhlas dan sebaliknya.

ALI MEDANBARU

Petaling Jaya, Selangor

No comments:

Post a Comment