Wednesday, September 19, 2012

waris bukit kepong

Anak pejuang Bukit Kepong hidup susah
NORDIANA JOHARI
18 September 2012
Anak pejuang Bukit Kepong hidup susah
Nazir tenang walaupun terpaksa menjalani kehidupan sendirian di rumah PPRT dan menghidap sakit buah pinggang.
MELAKA – Bapanya dikenali sebagai pejuang negara, namun bagi anak Allahyarham Koperal Mohd Yusoff Rono, ia bukan sesuatu yang membuatkan dia berasa bangga kerana terpaksa mengharungi hidup berliku.

Nazir Yusoff, 55, tinggal sebatang kara di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Ladang 2, Kandang, di sini, selepas berpisah dengan isterinya, kira-kira sembilan tahun lalu.

Lebih menyedihkan, dia kini menghidap sakit buah pinggang dan terpaksa menggunakan kerusi roda sejak Januari lalu.

Mungkin ada antara mereka tiada sedar, insan yang kini hidup susah sebenarnya anak kepada seorang anggota polis yang terselamat ketika serangan komunis pada peristiwa Bukit Kepong.

Ketika ditemui pemberita, Nazir kelihatan menjadikan televisyen sebagai peneman mengubat kesunyian, selain dua anaknya yang datang menjenguk.

“Saya reda menerima segala ketentuan ALLAH. Walaupun pedih untuk menanggung, tapi saya tetap bersyukur dapat bergerak dengan menggunakan kerusi roda," katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurut Nazir, dia kini perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Melaka.

Mengenang kembali kisah silamnya, Nazir berkata, sebelum ini dia aktif dengan Persatuan Belia (MYAC) sekitar tahun 1970-an dan suka terlibat dalam kegiatan membantu golongan memerlukan.

“Kehidupan bagaikan roda. Sejak berhenti daripada sebuah syarikat kewangan sebagai Eksekutif Pemasaran, saya hanya bergantung hidup dengan wang simpanan saja.

“Peristiwa menumpang tidur di surau selepas rumah roboh dilanda ribut juga, saya tidak dapat dilupakan dan pastinya menjadi sejarah sampai bila-bila,” katanya.

Bagaimanapun, nasib menimpa Nazir itu mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (Jaim) yang turut menyumbang bantuan bulanan.

No comments:

Post a Comment