Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Friday, September 21, 2012
kalau tukar kerajaan
Berbaloikah tukar kerajaan?
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
PROF. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim lahir sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Usianya kini pun menjangkau 75 tahun.
Apabila disuakan satu soalan iaitu apa yang dilihatnya di luar dari kamarnya pada setiap pagi apabila terjaga dari tidurnya, kata beliau:
"Sebelum 1957, sangat baik, lepas '57, usaha membangunkan negara belum begitu berjaya. Sekarang, walaupun kita ini sebuah negara bangsa, hakikatnya seluruh penduduk (rakyat Malaysia) masih terpisah.
"Apa lagi kalau berlaku pertukaran politik yang tiba-tiba... lagilah bahaya."
Kay Kim bercakap daripada suara hati beliau susulan pandangan beberapa pemerhati politik yang meragui kesediaan pakatan pembangkang untuk memerintah Malaysia andai kata mereka berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Komen terkini itu yang dibangkitkan oleh peguam Andrew Khoo dan Profesor Madya Sains Politik, Universiti Pengurusan Singapura, Bridget Welsh pada forum bertajuk Aktivisme Politik Baru dan Penjajaran Semula: Implikasi Untuk PRU-13 Malaysia di Petaling Jaya Isnin lepas.
Menyambung kembali ulasan beliau kepada saya melalui telefon senja kelmarin, Kay Kim berkata, ada beberapa perkara asas dalam politik semasa Malaysia yang perlu diberi perhatian.
"Hampir setiap hari berlaku pergaduhan antara parti Islam Pas dan DAP dalam perkara agama. Bukan sekarang sahaja , sejak dulu lagi. Terpulanglah kepada rakyat. Kalau rakyat rasa mereka boleh percaya kepada pembangkang, itu soal lain. Tetapi setakat perkara asas ini (hubungan sesama parti) pun sudah kacau, saya fikir sukar untuk kita percaya mereka (pembangkang) boleh mencapai kemajuan yang lebih cemerlang berbanding Barisan Nasional (BN)," katanya.
Kay Kim menarik perhatian saya mengenai situasi di Singapura pada 1964. Terjadi rusuhan kaum ketika itu apabila Lee Kuan Yew
selalu menyerang orang Melayu. Ramai kalangan rakyat negara ini, kata beliau, tidak tahu bahawa rusuhan kaum di negara ini sebenarnya bermula selepas Perang Dunia Kedua.
Di Pulau Pangkor pada 1957, di Pulau Pinang pula (1960-an) sebanyak tiga kali sebelum melarat ke Kuala Lumpur pada 1969. Di Singapura, Kuan Yew menyerang orang Melayu dengan mengeluarkan buku mengatakan orang Melayu tidak ada kebudayaan, selain menjadi lanun.
"Kemudian, bergaduhlah orang Cina dengan Melayu. Sebab itu Singapura 'dipecat' keluar dari Malaysia oleh Tunku. Dia bukan berundur tapi dipecat. Waktu itu rakyat pun keliru.
"Dan kalau kita lihat pertukaran kepimpinan politik yang secara tiba-tiba ini termasuk bibit-bibit sebelum menjelang perubahan kepimpinan itu pun, kita sudah nampak sebelum-sebelum ini di Myanmar, Filipina. Malah di India pun yang mana Mahatma Gandhi yang menjadi juara kemerdekaan rakyat India terbunuh," katanya. (Pada 1947, India mendapat merdeka dan pecah menjadi dua negara - India dan Pakistan. Hal ini tidak disetujui Gandhi. Pada 30 Januari 1948, Gandhi dibunuh seorang lelaki Hindu yang marah kepada Gandhi kerana beliau terlalu memihak kepada Muslim).
Bagi Kay Kim, situasi politik dalam negara ketika ini realitinya sangat kritikal kerana kesan ekonomi seluruh dunia yang belum stabil. Jika Malaysia yang aman dan stabil tidak dijaga, ia mungkin boleh runtuh bila-bila masa sahaja.
Kerana itu, kata Kay Kim, pakatan pembangkang boleh bercakap apa sahaja. Menjanjikan apa sahaja.
"Mereka boleh berkempen untuk membuat kereta lebih murah, membanteras jenayah tapi itu setakat cakap sahaja. Bukan bererti benar-benar boleh dilaksanakan. Setakat ini pakatan pembangkang belum membuktikan meskipun sudah berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang. Di dua negeri itu banyak masalah.
"Sebab itu juga saya bersetuju dengan pandangan pemerhati politik yang Kabinet Bayangan daripada pembangkang perlu diumumkan atau dibentuk sebelum PRU-13. Ia penting kerana rakyat nak tahu. Kalau parti itu menang, apa akan terjadi," katanya.
Namun, kata Kay Kim: "Cuma, saya nampak ahli-ahli politik ini (antaranya) bukan benar-benar bekerja untuk sebahagian rakyat, tapi mahu melaksanakan agenda diri sendiri. Padahal mereka mesti berkhidmat untuk rakyat.
"Saya tidak berpihak kepada mana-mana. Bagi saya, Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) sedang mencuba sebaik-baiknya. Bukan dari dalam parti pun benar-benar sokong beliau. Cuma kalau beliau pikul seorang, susahlah. Beliau perlu sokongan yang kuat, kalau tidak, tak ada jaminan."
Ditanya apa ranking yang boleh diberikan beliau kepada kedudukan terkini BN dan pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum ini, Kay Kim secara peribadi selaku orang lama memberitahu:
"Saya rasa berasaskan desas-desus, BN akan menang sekali lagi. Pembangkang mungkin boleh menang atau sekurang-kurangnya kekal di dua atau tiga negeri.
"Dapatkah BN majoriti dua pertiga? Mungkin boleh dan yang pasti lagi kalau Sabah dan Sarawak boleh (dikuasai BN sekali lagi)."
Turut senada dengan Kay Kim ialah Dr. Lee Kuok Tiung. Pensyarah Komunikasi daripada Universiti Malaysia Sabah itu memberitahu, apa yang dibuat oleh pakatan pembangkang semasa ini adalah seperti meniru model lama BN. Mereka juga ada rakan-rakan gabungan yang sebelum ini agak berterabur.
Namun, kata beliau, BN yang baru di bawah Najib telah meningkatkan keupayaan yang lebih tinggi dengan berurusan lebih dekat dengan rakyat. Ini termasuk meraih penyertaan yang tinggi daripada rakyat dalam siri program turun padangnya.
"Kita kita lihat Najib turut muatkan idea-idea daripada rakyat untuk perancangan Bajet 2013 ini dalam media sosialnya. Juga, beliau adalah pemimpin pertama yang duduk bersila atas jalan tengok bola. Beliau betul-betul berusaha.
"Orang mungkin terlupa tentang tarikh 16 September (1963) yang pembentukan Malaysia sama pentingnya dengan tarikh kemerdekaan negara (31 Ogos 1957) tapi beliau tidak lupa. Beliau memberikan pengiktirafannya kepada tarikh itu."
Kuok Tiung turut mengajak saya mengupas satu persoalan besar yang melingkari kesepakatan dalam kalangan parti pembangkang.
"Adakah pakatan pembangkang ini cuma rangkuman tiga parti semata-mata, DAP, PKR dan Pas? Macam mana pula dengan nasib SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Reformasi Negeri Sabah) di Sabah... bukankah itu sebahagian pakatan mereka. Sebab itu pihak-pihak atas dalam pakatan kena jelaskan apakah kedudukan SAPP, rakan merekakah?
"Ini kerana saya perhatikan setiap kali Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun ke Sabah, beliau cuma jumpa Pengerusi STAR Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang keluar BN, Datuk Seri Wilfred Bumburing, kenapa bukan DAP Sabah.
"Saya juga yakin di Beaufort, tentu sekali ada PKR (cabangnya) tetapi kenapa masih mengharapkan Lajim (Ukin)," katanya.
Bagi Kuok Tiung, isi-isi yang terkandung dalam 'Buku Jingga' yang dikeluarkan pakatan pembangkang agak 'terlalu ideal' untuk direalisasikan.
"Cuba anda dengar debat kedua antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Apabila Soi Lek tanya pada Guan Eng macam mana dia nak realisasikan perkara-perkara dalam 'Buku Jingga', Guan Eng kata, Soi Lek rujuk pada 'Buku Jingga' yang salah. Sedangkan sepatutnya Guan Eng kena jawab apa kepincangan perkara-perkara yang ada dalam buku itu... dia kena tunjuklah 'Buku Jingga' mana yang betul," katanya.
Bagi Mohamad Faisol Keling dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) pula, manifesto yang dijanjikan pakatan pembangkang dalam mana-mana siri ceramahnya ketika ini tidak ubah seperti 'manifesto landskap'.
"Ia hanya janji kosong. Cuma untuk mengindahkan, dari segi pencapaian belum pasti. Di Mesir, rakyatnya menolak kepemimpinan lama dan mengharapkan benda-benda baru yang belum ada.
"Rakyat Mesir bertindak untuk mengejar impian. Hari ini di Mesir, semuanya tinggal impian. Sebab itu, BN menamakan tema Hari Kemerdekaan negara 'Janji Ditepati' berbanding pembangkang 'Janji Belum Ditepati" kata pemerhati politik antarabangsa ini.
Mengakhiri komen-komen daripada tiga pemerhati ini, saya ingin meminjam ungkapan Kay Kim:
"Sebarang usaha untuk menukar kepimpinan politik yang sudah pun terbukti kewibawaan dan kredibilitinya adalah berbahaya. Kerana akhirnya nanti keadaan yang terpaksa ditanggung rakyat... sama ada boleh hidup atau tidak.
"Sekarang di Asia Barat pula, rakyatnya bergaduh dan berperang. Manusia itu sendiri memang satu masalah."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment