Wednesday, September 5, 2012

khutbah politik

ARKIB : 03/09/2012

Khutbah kemerdekaan atau politik

MAKMUM yang bersembahyang Jumaat di Masjid Al-Mujahidin, Damansara Utama, pada 31 Ogos 2012 pada umumnya rasa saya telah cuba dikelirukan oleh khatib pada hari itu dengan isu politik kepartian yang dibawakannya. Tetapi saya tidak fikir para makmum begitu dangkal pemikirannya dengan mesej yang disampaikannya, malah besar kemungkinan sekali bahawa makmum tidak mendapat sebarang kesimpulan daripada khutbah itu kecuali 'bosan' dengan masa yang diambil untuk menyampaikan khutbahnya itu yang lebih dari satu jam sebelum solat Jumaat didirikan.
Khatib memang amat berkesan ketika dia mengatakan bahawa seluruh umat manusia akan menentang penjajahan dan itulah yang dilakukan oleh semua orang.
Tetapi ketika beliau mengatakan bahawa kemerdekaan itu yang sebenarnya ialah kemerdekaan untuk manusia menyembah Allah SWT, maka sekiranya kemerdekaan ini tidak diperoleh oleh manusia, hal ini bermakna mereka belum lagi merdeka sungguhpun mereka merdeka dari segi penjajahan politik.
Contoh-contoh dari ayat al-Quran yang dibawanya tentang kemerdekaan untuk menyembah Allah, termasuk tentang kisah Masyitah juru andam isteri Firaun, para ahli sihir Firaun yang memeluk Islam ketika menyaksikan kebenaran Nabi Musa dan Ashab Al-Ukhdud, yang semuanya berjuang tanpa takut kerana hendak menyembah Allah, rasanya tidak membawa apa-apa maksud untuk membandingkan keadaan itu dengan keadaan di negara kita.
Siapakah yang menentang dan mengongkong rakyat Malaysia daripada menyembah Allah? Apakah kerajaan Malaysia selama ini di bawah pimpinan orang Islam pernah mencegah orang Islam daripada menyembah Allah?
Apakah selama ini pemerintah Malaysia menghukum dan memenjarakan umat Islam yang menyembah Allah? Siapakah yang selama ini mendirikan masjid dan surau, sekolah agama, sekolah Quran, kolej agama, universiti Islam dan sebagainya untuk orang Islam mendalami ilmu pengetahuan agama dan sebagainya?
Orang-orang yang jahil pun tahu membezakan kiasan dan perbandingan yang dibuat oleh khatib ini seperti yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran itu dengan keadaan yang sebenarnya di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaannya 55 tahun yang lalu.
Perbandingan atau 'qiyas' ini langsung tidak mempunyai asasnya dan jauh sekali daripada kebenarannya, kerana apa yang dibicarakan tentang jihad para Nabi untuk membebaskan pengikutnya daripada kekufuran dan kekejaman Firaun itu adalah amat berbeza.
Ia tidak mempunyai sebarang konteks dengan keadaan orang Islam di Malaysia pada hari ini yang tidak pernah ditindas dan dibunuh atau diperangi kerana keperluan mereka menyembah Allah, malah umat Islam di Malaysia selama ini adalah digalakkan, diajar, dinasihati, diberikan ilmu dan segala-galanya untuk mereka menyembah dan berbakti kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.
Kerana itu saya fikir, khatib perlu memahami rasa hati dan psikologi para jemaah sebelum daripada bertindak mengelirukan mereka dengan niat hati khatib yang tidak dapat mereka fahami itu.
Apa lagi dalam isu-isu kebangsaan, dan tohmahan bahawa kerajaan selama ini hanya berjuang untuk memberikan keadilan semata-mata berdasarkan etnik, bangsa dan agama yang tertentu, yang dalam isu ini pun nampaknya sekali lagi khatib ini telah tersasar daripada tujuannya untuk mempengaruhi para makmum supaya berdiri di belakangnya sebagai orang kuat parti pembangkang.
Sebab itu saya katakan bahawa maksud dan matlamat khatib ini hanya dia sendiri sahaja yang memahaminya, sedangkan makmum, sama ada yang cerdik atau kurang cerdik, yang taksub atau tidak taksub, tidak memahami maksudnya itu, kecuali jemu dan gelisah dengan segala isi khutbah dan doanya yang amat panjang berjela-jela, terutamanya ketika dia berdoa meminta Allah memberikan kemenangan kepada orang-orangnya itu, seolah-olah semua para jemaah pada hari itu adalah terdiri daripada penyokong pembangkang.
Sebab itu tidak hairanlah apabila selesainya sahaja solat Jumaat pada pukul 2.15 petang, para jemaah segera bangun meninggalkan ruang masjid dengan menggeleng-geleng kepala mereka, agaknya kesal datang bersembahyang di situ.

No comments:

Post a Comment