Ahli politik lupa kuasa Sultan?
Mengikut kata-kata pakatan pembangkang di Selangor, mereka tidak akan bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).Sebagai seorang rakyat Selangor, saya hanya dapat menggeleng kepala melihatkan apabila manusia tamak kuasa dan kebendaan sehingga lupa tertib dan peraturan.
Setahu saya, kuasa membubar DUN terletak di tangan Sultan Selangor dan bukannya di tangan Menteri Besar, apatah lagi Ketua Pembangkang yang tiada kena-mengena pun dengan pengurusan negeri ini.
Sudahlah mereka berulang kali biadab dengan Tuanku Sultan, kini sesuka hati bercakap seolah-olah kuasa mutlak di tangan ahli politik terompah untuk tentukan DUN bubar atau kekal pula.
Inilah jadinya apabila manusia tidak berilmu diangkat menjadi pemimpin, sudahlah tidak faham tertib adab Dewan, bodoh sombong pula tidak mahu belajar dari mereka yang tahu.
Setakat alasan pengundi hantu, kenapa tidak kata pengundi hantu yang memenangkan mereka di negeri ini pada 2008, tetapi kerana takut kalah, boleh pula dipakai alasan lapuk itu kali ini.
Saya selaku rakyat yang setia kepada Tuanku Sultan, khuatir budaya kurang ajar dan dangkal begini terus diterap kepada anak muda seterusnya menjadikan rakyat negeri Selangor hilang budi pekerti dan tata susila yang diwarisi selama ini.
Saya tidak mahu mengajak sesiapa memangkah ahli politik tertentu, tetapi nilailah sendiri individu-individu dalam arena politik negeri ini yang melanggar susila terhadap agama, Sultan dan juga bangsanya sendiri.
Selebihnya, rakyat Selangor sendiri akan tentukan dan terpulanglah kepada mereka memilih manusia jenis apa yang layak duduk dalam DUN sebagai wakil suara rakyat peringkat akar umbi.
No comments:
Post a Comment