Terima kasih polis, Rela
Walau apa pun juga cara dan bagaimana kita meraikannya, hari raya tetap disambut dengan cara dan budaya kita dengan aman dan sejahtera dan sebahagian daripada rasa keamanan dan keselesaan itu perlu diterjemah rasa terima kasih dan penghargaan kita kepada semua warga polis khususnya yang melancarkan Op Selamat yang telah berakhir dengan selamatnya.
Sebagai warga Malaysia yang kerdil, saya dan keluarga dapat merasakan sendiri situasi keselesaan ini. Di lokasi bandar tempat tinggal saya, saya dapat melihat pihak polis berada di mana-mana, berdekatan dengan kawasan bank dan kedai emas.
Kelihatan polis peronda yang kerap meronda di beberapa kawasan dalam keadaan panas, hujan seharian membuatkan saya dan keluarga dan saya percaya seluruh warga Malaysia merasa terharu dan sangat menghargai usaha murni yang dilakukan oleh pihak polis khususnya bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kegembiraan masyarakat Malaysia meraikan hari raya dengan jayanya.
Dalam perjalanan pulang ke kampung dan juga pulang ke rumah, di kawasan lebuh raya, kawasan rehat dan rawat dan lokasi perbandaran, ramai anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) berada dan kita merasa sekurang-kurangnya selesa dan selamat untuk pergi ke ATM mengambil duit atau membeli belah dan sebagainya.
Saya juga melihat di waktu malam semasa melalui lebuh raya, kereta polis berada di laluan kecemasan bagi memastikan pemandu-pemandu berhemah dalam memandu dan tidak menggunakan laluan kecemasan untuk kepentingan diri di samping memantau kemalangan, masalah pemandu dan sebagainya.
Sedang kita seronok berhari raya, makan lemang dan ketupat sambil berborak mesra dengan sahabat dan kaum keluarga, anggota polis dan Rela tidak bercuti dan bertungkus-lumus bertugas memastikan keselesaan kita menyambut hari raya.
Walaupun kecederaan, kemalangan dan jenayah berlaku di mana-mana, tapi sekurang-kurangnya keprihatinan dan usaha berterusan dengan komitmen yang padu daripada pihak keselamatan untuk memantau, mengawal dan menyekat jenayah dan kemalangan daripada terus berleluasa amat dipandang tinggi dan patut dipuji.
Usaha dan komitmen serta keprihatinan pihak polis dan keselamatan itu merupakan satu petunjuk kejayaan dan angka statistik Op Selamat yang positif atau sebagainya juga merupakan satu langkah untuk penambahbaikan, perancangan masa depan dan juga penerusan usaha yang strategik untuk kejayaan Op Selamat pada masa depan.
Tiada kata yang dapat diucapkan selain ucapan terima kasih kepada semua anggota polis dan pihak keselamatan lain dengan usaha positif dan produktif dalam menjayakan Op Selamat dan kita ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua anggota polis dan Rela.
No comments:
Post a Comment