Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, tindakan dilakukan sekumpulan remaja mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas membayangkan wujud dalang yang menghasut.
“Nampak banyak petanda akhir-akhir ini dari segi politik yang memberi erti kepada saya seolah-olah ada satu gerakan mahu mencipta kemerdekaan tahap kedua.
“Seolah-olah ada satu gerakan yang kita tidak boleh nampak dengan jelas iaitu kumpulan yang tidak sehaluan dengan pemerintah negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Bakri Zinin, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Timbalannya, Datuk A Thaiveegan.
“Mereka menganggap perlu ada lonjakan baru tahap kedua kemerdekaan. Mereka tolak sistem beraja, hapus Perlembagaan dan ada ura-ura wujudkan sistem republik.
“Contoh negara terdekat menggunakan warna ini adalah Singapura dan Indonesia yang menolak sistem raja berperlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, keberanian ditunjukkan anak muda ini sebenarnya tidak timbul secara spontan kecuali ada pihak menjadi dalang.
“Saya tertanya-tanya apakah tindakan itu menjadi petanda bahawa amalan pengamal hak asasi ini sudah jauh penghayatannya sehingga orang boleh buat tindakan sebegini.
“Saya fikir jika ini dikatakan hak asasi, maka mungkin esok lusa gambar Yang di-Pertuan Agong dan sultan pula dipijak,” katanya.
Beliau berkata, rakyat negara ini seharusnya insaf dan tidak lupa terhadap sejarah sebenar negara ini supaya tidak diperalatkan golongan berfahaman songsang yang mempunyai agenda lain.
“Mereka harus bijak menilai apa yang baik dan apa yang buruk. Kerajaan juga perlu membuat sesuatu bagi membendung sikap seperti ini menular di kalangan generasi muda sejak mereka di bangku sekolah lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment