Bendung kemasukan buruh asing
SAYA merujuk tulisan Naga Biru dari Gombak yang disiarkan Forum Utusan pada 30 Ogos 2012.Saya tidak terperanjat apa yang diperkatakan oleh Naga Biru bahawa kebanjiran warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Nepal dan Indonesia ini amat-amat merimaskan dan sekali gus menurunkan Indeks Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Masyarakat Malaysia.
Hari-hari cuti bukan lagi merupakan hari yang baik untuk sesebuah keluarga beriadah di tempat-tempat seperti KLCC, Bukit Bintang, Petaling Street dan sebagainya kerana di mana-mana ceruk ia dipenuhi oleh warga asing.
Mereka ini keluar secara berkumpulan dan berperangai tidak sopan. Saya masih ingat di hari raya kedua, saya hendak menghadiri majlis rumah terbuka adik saya yang dibuat di Hotel Ramada Rennaissance di bandar Melaka.
Kebetulan trafik mengalami kesesakan luar biasa dan saya tiada pilihan melain meletakkan kereta saya di kawasan tepian sungai di Jalan Tun Ali Melaka untuk berjalan sejauh satu kilometer ke hotel berkenaan.
Sewaktu mahu menyeberangi jambatan Sungai Melaka, saya amat terperanjat kerana di atas jambatan dan di sekitar tebing sungai dipenuhi oleh warga Bangladesh dan Myanmar yang tidak segan silu mengusik setiap gadis tempatan yang melintasi jambatan.
Saya yang memimpin dua anak gadis sunti saya pun tidak terlepas apabila dua orang warga Bangladesh mencubit pipi anak gadis saya yang berusia sembilan tahun.
Walau pun saya rasa mahu menampar warga asing itu atas perbuatannya, namun memikirkan bilangan mereka yang ramai saya pendamkan segala kemarahan dan beredar dari situ.
Bagaimanapun sepanjang perjalanan satu kilometer itu, anak-anak saya masih lagi tidak terlepas daripada usikan ratusan warga asing yang melepak di kaki-kaki lima jalan raya di sekitar bandar itu. Pengalaman ini menyebabkan saya merasa fobia untuk berjalan balik ke tempat saya meletak kereta dan mengambil kenderaan dari hotel untuk menghantar saya dan anak-anak balik ke tempat meletakkan kereta walau pun terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi.
Rintihan-rintihan rakyat seperti ini seharusnya membuka mata pihak berkuasa untuk mengehadkan kemasukan buruh dan pelajar asing yang kalau mengikut statistiknya hari ini melebihi dua juta bagi buruh asing dan 85,000 pelajar asing.
Ini tidak termasuk lagi pendatang tanpa izin. Kalau kerajaan serius dalam melaksanakan strategi Meningkatkan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Masyarakat seperti yang terkandung dalam Tekad Kelima Pelan Integriti Nasional yang diperkenalkan pada tahun 2004 maka bendunglah segera kuota kemasukan buruh asing ini kerana jika tidak kesemua Pelan Strategik di atas akan hanya merupakan hiasan semata-mata.
No comments:
Post a Comment