Azmin mahu rakyat terima ‘gagasan baru, tolak rejim tua’
15 September 2012
Katanya, kepelbagaian politik dan sosial harus menjadi jati diri masyarakat Malaysia untuk membangun negara bangsa dalam kerangka dunia moden dan masyarakat global.
"Sekali lagi saya menyeru, rakyat perlu bersatu untuk menolak rejim tua yang membudayakan rasuah, salahguna kuasa dan menindas rakyat miskin," kata beliau dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia esok.
Pakatan Rakyat dijadual melancarkan Deklarasi Kuching sempena 16 September esok.
Bersempena Hari Malaysia tahun ini, kata Ahli Parlimen Gombak ini, "marilah kita, rakyat Malaysia yang punyai maruah dan jiwa merdeka, bersama-sama memperkukuh azam dan memperbaharui tekad untuk menghayati semangat Perjanjian Malaysia 1963."
Pengerusi PKR Selangor ini menambah, partinya komited untuk bersama rakyat Sabah dan Sarawak dalam menjamin pengagihan ekonomi yang adil dan mempertahankan nilai - nilai demokrasi dan kebebasan.
"Inilah saatnya untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara dan bangsa yang merdeka dan berdaulat," kata beliau.
Hari ini, kata beliau, rakyat perlu renung apakah makna Malaysia, sebagai sebuah negara dan sebagai satu bangsa.
"Dalam usia 49 tahun, apakah yang telah negara dan bangsa ini capai dan apakah yang perlu dibina untuk generasi akan datang?" katanya lagi.
Katanya, pada tanggal 16 September 1963, Malaysia terbentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu bersetuju mendirikan negara yang berdaulat.
" Pembentukan Malaysia memperkukuhkan cita-cita bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagah, makmur, sejahtera dan dihormati dunia.
"Pembentukan Malaysia menjanjikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat dari penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat harga diri rakyat Malaysia," katanya.
Azmin berkata, PKR dan Pakatan Rakyat komited untuk mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.
"Semangat nasionalisme digembeling demi membenihkan rasa cinta kepada tanahair agar rakyat Malaysia gigih berusaha membangun negara ini dan boleh merasa bangga dan syukur sebagai rakyat Malaysia.
"Malangnya semangat nasionalisme telah dicabuli oleh elit pemerintah semata-mata untuk menjamin kelangsungan kuasa politik perkauman sempit yang pastinya akan meruntuhkan tamadun sesebuah negara," katanya.
Tambah beliau, sentimen perkauman yang jumud serta konflik agama yang direkayasa tidak membawa faedah untuk rakyat.
"Malah ia menghina gagasan Malaysia yang mendukung citra masyarakat yang rencam," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment