Wednesday, September 5, 2012

mani festo yg belum terlaksana

ARKIB : 03/09/2012

Manifesto: Usah tipu rakyat Selangor

KETIKA Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman asyik bersembang dengan saya pada satu majlis hari raya di Taman Serdang Raya kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Serdang itu tiba-tiba disapa oleh seorang wanita pertengahan umur.
Wanita berusia lingkungan 45 tahun itu yang datang bersama seorang anak gadisnya, bertanyakan Mohamad Satim tentang hasratnya kalau-kalau boleh dibantu untuk membeli sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Selangor.
"Maaflah, kerajaan Selangor sekarang tak buat lagi dah. Rumah-rumah di Selangor ni pun sekarang sudah mencecah harga RM300,000 ke atas," kata Mohamad Satim kepada wanita berkenaan.
Balas wanita berkenaan: "Habis, kami tak boleh makan nasilah tok. Makan rumahlah pula (jika beli rumah, terpaksa kena ikat perut bayar ansuran bulanan rumah)."
Mohamad Satim tak terkata apa-apa mendengar keluhan wanita itu yang sempat juga berseloroh.
Setelah kami kembali bersembang, Ketua Pembangkang Selangor itu menunjukkan kepada saya satu salinan Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pakatan pembangkang yang juga dikenali Barisan Alternatif. Ia dikeluarkan menjelang PRU berkenaan yang berlangsung pada Mac 2008.
"Bila kita sebut manifesto, ia adalah janji-janji kita atau parti kita kepada rakyat. Ia satu perjanjian yang mengikat kita.
"Kita kena jujur dan harus menunaikannya," kata Mohamad Satim ringkas. Cuba anda semak ini, kata beliau kepada saya. Lantas, saya membacakan sebahagiannya, antaranya seperti berikut:
* Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
* Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga.
* Memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti.
* Mengurangkan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai komersial sebanyak 10 peratus.
* Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
* Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
Tetapi belum pun habis saya sudahkan sebutan beberapa lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang pada 2008 itu, Mohamad Satim mencelah:
"Yang dia sebut itu kepada SETIAP ANAK SELANGOR, tapi hasilnya apa?
"Di Selangor pada 2008 itu, saya yakin sebahagian besar pengundi telah dimomokkan dengan tindakan mereka (pakatan pembangkang) mengubah persepsi rakyat kepada kita (BN) sehingga Selangor dan beberapa negeri lain menyaksikan kita tewas," kata beliau.
Mohamad Satim tidak mahu pergi jauh dalam merungkai tanda tanya berhubung janji-janji pilihan raya yang sehingga semalam, masih banyak belum ditunaikan pakatan pembangkang.
"Ada penduduk Cina memberitahu yang kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor suruh mereka tubuhkan sendiri jawatankuasa penduduk (Residents Association atau RA).
"Mereka suruh RA mengesahkan kerja-kerja kontraktor dan selepas RA puas hati, barulah boleh dibayar.
"Tapi penduduk berkenaan memberitahu, tanggungjawab baru itu menjadi satu beban pula kepada penduduk. Dahlah kontraktor itu dipilih sendiri oleh kerajaan negeri, tapi bila tiba urusan kerja-kerja kontraktor, ia dibebankan pula pada RA.
"Jadi, apa peranan ahli majlis (Exco terbabit). Exco-exco ini dibayar elaun, RA tak dapat (elaun) tapi bila tiba bab kerja, mereka nak 'cuci tangan'," katanya.
Bukan isu RA sahaja yang membebankan penduduk. Bulan lalu, Mohamad Satim didatangi seorang pesara guru Cina. Pesara guru itu cukup marah dengan apa yang dilihatnya begitu menular pusat-pusat hiburan terutama rumah-rumah urut di Puchong, Kinrara, Kuala Selangor dan banyak kawasan lagi.
"Satu hari pesara guru berkenaan menyiasat mengapa anaknya bersama seorang lagi anak jirannya sering pulang lewat dari sekolah. Kebiasaannya pukul 1 petang dah tercongok di pintu rumah.
"Ini tidak, sampai di rumah pukul 7 malam. Lalu, dia mengekori kelibat dua pelajar itu selepas habis sekolah. Rupa-rupanya mereka singgah di rumah urut. Ketika ditemui, kedua-duanya sedang enak diurut oleh dua GRO dari China dan Vietnam yang dalam keadaan bogel," kata Mohamad Satim.
Juga, beberapa minggu lalu, ADUN Sri Serdang itu didatangi penduduk kaum India. Mereka memberitahu Mohamad Satim bahawa pada 2008, PKR, DAP dan Pas waktu itu mencanangkan dalam kempen pilihan raya bahawa jika mereka menang, keesokannya ketiga-tiga parti melalui kerajaan negeri pimpinan mereka akan menurunkan cukai pintu.
"Tapi anda tengoklah dan inilah yang sama dimaklumkan kepada saya oleh penduduk India terbabit. Penduduk-penduduk yang temui saya itu beritahu mereka sudah bosan dengan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim).
"Mereka tidak mahu bayar cukai taksiran berkenaan tapi bila tidak mahu bayar, dapat notis pula untuk disita. Mereka ini bertekad nak tuntut balik janji-janji yang diuar-uarkan oleh PKR, DAP dan Pas di Selangor tempoh hari," katanya.
Dan kebetulan ketika Abdul Khalid pada Rabu lepas menepis kritikan pelbagai pihak yang mempertikaikan keengganan pentadbiran kerajaan PKRnya memberikan kemudahan air percuma kepada ratusan ribu penghuni pangsapuri dan kondominium atas alasan mereka masih menggunakan meter air pukal, lantas Mohamad Satim mencelah: "Cuba kita rakyat Selangor teliti balik kandungan manifesto mereka pada 2008. 'Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan' yang tidak disebutkan syarat tertentu.
"Janganlah tipu rakyat. Manifesto itu satu perjanjian dengan rakyat, tunaikanlah," kata Mohamad Satim.
Jika kesemua 21 kerusi DUN yang disandang BN ketika ini mampu dipertahankan selain satu kerusi bebas yang disandang bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, ini bermakna parti pemerintah itu cuma memerlukan 10 lagi kerusi untuk kembali membentuk kerajaan negeri Selangor pada PRU-13.

No comments:

Post a Comment