Saturday, September 15, 2012

bendung sebelum pijak gambar raja

Rahim Noor: Bendung sebelum ada pihak pijak gambar raja
RUZY ADILA IDRIS
12 September 2012
Abdul Rahim Mohd Noor
Rahim Noor: Esok jangan terkejut gambar Agong atau Sultan pula orang tanpa segan silu akan memijaknya. - Foto Safwan Mansor
DILAHIRKAN sebelum negara merdeka, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, 69, berkongsi pandangan beliau mengenai erti kemerdekaan dan generasi muda masa sekarang. Dalam satu pertemuan baru-baru beliau berkongsi pengalaman mengenai perjalanan sejarah dan politik termasuk harapan dan keperluan mengisi kemerdekaan.
Ikuti wawancara bersama Sinar Harian Online.

SINAR HARIAN ONLINE: Pengalaman Tan Sri ketika negara menyambut kemerdekaannya lebih lima dekad lalu?
RAHIM NOOR: Tarikh 31 Ogos 1957 akan menjadi satu kenangan abadi dalam hati sanubari saya. Ketika itu, saya baru berusia 15 tahun dan saya berdiri betul-betul di hadapan pentas.
Saya masih ingat jelas wajah Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan dan disahut dengan penuh semangat oleh orang ramai yang memenuhi padang di Bandar Hilir, Melaka ketika itu.
Masa itu, ibu bapa dan saudara-mara saya juga ada datang tetapi saya meninggalkan mereka dan terus menyelit dan memastikan saya berada di depan.
Generasi baru sekarang sewajarnya menginsafi dan bersyukur kerana merdeka melalui cara penuh diplomasi tanpa memerlukan pertumpahan darah berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Sebelum ini, Tan Sri ada menyebut bahawa seolah-olah wujud satu gerakan yang mahu memerdekakan negara buat kali kedua. Bolehkan Tan Sri jelaskan?
RAHIM NOOR: Sebelum saya jelaskan mengenai perkara ini, kita perlu tahu mengenai sejarah kemerdekaan negara, terutamanya sewaktu penaklukan komunis di negara kita.
Kekecohan yang berlaku selepas merdeka adalah didalangi oleh Komentan dan ketika itu, orang Inggeris bukan bodoh. Di ‘White Hall’ (pusat pentadbiran seperti di Putrajaya) ada ‘intelligence’ yang nampak apa yang berlaku. Orang Inggeris mesti hendak tahu apa yang Komentan di Rusia sedang rancang demi pertahan pelaburan seperti ladang getah dan kilang tayar di Malaya.
Kerisauan ini telah mewujudkan perang dingin, di antara dua-dua negara ini. London nampak permainan yang dimainkan oleh Komentan yang berpusat di Moscow.
Inggeris tahu gelombang dunia ketika itu menyebabkan koloni akan jatuh. Bila aset yang digenggam akan terjejas, maka berlaku beberapa tangkapan yang kena diawasi. Tangkapan pun berasaskan undang-undang. Kena sebut seksyen mana. Dulu bukan ISA ada, undang-undangnya untuk menentukan keamanan.
Beginilah cara Inggeris menangani ‘golongan kiri’ kerana mereka menimbulkan porak-peranda dalam masyarakat, bukan kerana mereka tidak suka kepada orang Inggeris, tetapi tahanan dibuat berlandaskan undang-undang.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang sebenarnya berlaku ketika itu?
RAHIM NOOR: Ketika itu terdapat Komentan yang diimport dari negara tetangga seperti Indonesia, datang ke Tanah Melayu untuk mengajar fahaman Marxisme. Malah di antara mereka ini mempunyai kad keahlian dan menerima latihan di Moscow. Antaranya Alimin, Moktarudin Lasso, Sultan Jenain dan Tan Malaka.
Ini jaguh-jaguh terbilang, anak-anak Indonesia yang dilatih dan ditauliahkan keahlian mereka di Moscow, Rusia.
Mereka juga begitu dedikasi mengabdikan diri untuk mengkomuniskan rumpun Melayu dan sanggup berulang-alik masuk ke Tanah Melayu ketika itu yang sedang berada dalam kancah perjuangan untuk merdekakan negara.
Mereka datang membantu orang-orang Melayu, yang tidak faham mengenai idea-idea Marxisme dan memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimanakah peranan pemimpin besar Indonesia terhadap orang di sini ketika itu?
RAHIM NOOR: Sukarno ketika itu dalam bahasa saya, mempunyai mukjizat terhadap pemikiran politik dunia baru yang menyinar dunia Melayu kerana kepimpinan dan cara pengucapannya di depan orang ramai.  Malah masa saya kecil lagi, setiap kali tiba 17 Ogos, saya tidak lupa untuk mendengar radio ucapan dan pidato kemerdekaan yang disampaikan oleh beliau.
Kalau kita dengar, amboi.... memang membakar semangat. Kata-kata Sukarno itu boleh pengaruhi orang ramai ketika itu. Kalau dia suruh kita menangis, kalau disuruh kita ketawa, kita akan ketawa. Begitulah hebatnya pengaruh Sukarno ketika itu.
Betapa hebat perjuangan kemerdekaan Sukarno terhadap orang Melayu, sehinggakan pengaruh Sukarno membuatkan ada pemimpin di Malaya hendak negara ini bergabung dengan Indonesia.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimanakah bentuk penentangan ketika itu?
RAHIM NOOR: Pertentangan manusia sentiasa dinamik, selalu tidak lancar.. Cabaran untuk jadikan negara itu komunis perlu ambil masa. Fahaman komunis menyebarkan pendapat iaitu pembentukan negara adalah ideal tetapi cabaran tetap ada di mana akhirnya pertentangan masyarakat sentiasa akan ada.
Malah di kalangan orang Umno (yang berfahaman kanan) ini ada juga yang terpengaruh kerana beliau begitu diagung-agungkan ketika itu. Kehebatan Sukarno sebagai pemidato dan pejuang kemerdekaan tapi intipati daripada perjuangan Umno ada juga yang berkiblatkan Marxisme.



SINAR HARIAN ONLINE: Daripada apa yang Tan Sri sebutkan tadi, menunjukkan kaedah yang digunakan fahaman Marxisme ini menggunakan hasutan? Boleh jelaskan?
RAHIM NOOR: Ya betul. Dua istilah orang Marxisme ini disebut Agitasi Politik (Agitpol) dan Agitasi Propaganda (Agitpro). Agitprob digunakan untuk menyebarkan muslihat manakala Agitpol seperti siri-siri demonstrasi Bersih. Agitpol ini digunakan oleh mereka yang mempunyai fahaman Marxisme dalam agenda perjuangan mereka. Kedua-dua cara ini mahu menggunakan kaedah merdeka dengan cara merah dan ketika ini banyak putar belit berlegar.

SINAR HARIAN ONLINE: Apa maksud Tan Sri apabila ada tahap kedua?
RAHIM NOOR: Bagi saya beginilah suasana dahulu dalam memperjuangkan untuk menghalau orang Inggeris, pokoknya kemudian selepas negara sudah mewah dan maju seperti ini tetapi perjuangan 'kiri' ini masih membara bagi saya. Dan ini tidak mudah dimengerti, dilihat atau dibuktikan.
Kerana manusia itu sentiasa tidak puas dan dia akan tetap mencari apa yang lebih baik. Bagi mereka, barangkali lebih baik untuk dibuat satu lonjakan baru untuk meneruskan tahap pertama yang telah berlaku dan jika berjaya, ini adalah tahap kedua sebuah republik seperti yang saya katakan sebelum ini.
Saya bukan main petik sahaja perkara ini tetapi sudah ada petanda-petandanya cuma mereka kata masyarakat kita boleh diperjuangkan. Mungkin boleh diterima oleh generasi pascamerdeka yang pemikirannya lain, walaupun ada belajar sejarah tetapi tetap buta sejarah ataupun bagi mereka yang tidak puas hati dengan sistem pemerintahan masa kini.
Mungkin mereka juga iri hati dengan sistem raja-raja yang ada di negara kita.
Petanda-petanda lain termasuklah menampilkan bendera Sang Saka Malaya itu. Revolusi sudah bermula.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi maksud Tan Sri, apa yang berlaku sekarang sudah berlaku ketika negara ingin mencapai kemerdekaan?
RAHIM NOOR: Ya, tepat sekali..
Bagi saya perkara ini akan berulang. Kalau dulu kita menghadapi beberapa pemimpin berhaluan kiri, hari ini pun sama juga. Kalau tidak mereka datang ke sini, orang kita akan bercakap di luar negara.
Ini soal manusia, kita kena ingat, akan ada orang yang cemburu dengan kejayaan kita. Ini hanya orang dalam bidang 'intelligency' tahu tentang perkara ini.
Inilah jenis baru 'musang berbulu ayam'. Jangan lupa, elemen-elemen ini di mana orang dari luar negeri kita, akan ada mereka yang akan menjejaskan kita sebagai satu bangsa.

SINAR HARIAN ONLINE: Apa komen Tan Sri berhubung tindakan mahasiswa yang mencetuskan kontroversi ekoran insiden tunjuk punggung 30 Ogos lalu?
RAHIM NOOR: Tindakan melampau segelintir remaja yang sanggup memijak gambar pemimpin negara bukanlah silap ibu bapa yang dikatakan gagal memberi pendidikan sempurna kepada mereka.
Hal yang seumpama itu berlaku disebabkan sikap remaja sendiri yang rata-rata mudah dipengaruhi faktor luaran.
Jangan salahkan ibu bapa jika ada anak-anak mereka bertindak sedemikian. Sudah semestinya ibu bapa menyediakan yang terbaik khususnya memberi didikan agama. Namun setiap manusia mempunyai kelemahan tersendiri terutama remaja yang mudah dijajah pemikiran mereka.
Dalam persahabatan, mereka mudah disogokkan dengan pelbagai perkara hingga menimbulkan benci terhadap orang lain.
Remaja adalah golongan yang mudah menerima input hingga boleh melakukan perkara di luar jangkaan dan kawalan.
Ada tangan ghaib yang cuba mendekati para remaja menerusi proses 'talent spotting'. Pihak ini akan cuba menyogok pemikiran dan mencipta watak-watak remaja serta mengasuh mereka supaya membenci satu-satu pihak.
Faktor kebencian inilah juga pernah berlaku pada zaman sebelum merdeka di mana nilai-nilai kebencian diterap dalam diri remaja yang akhirnya ramai pemimpin ketika itu terdiri daripada remaja.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang disogokkan kepada watak-watak yang telah dikenal pasti ini?
RAHIM NOOR: Mereka ini bukan hanya disogok dengan rasa kebencian, malah ada segelintir remaja yang sanggup membuat perkara di luar jangkaan kerana dibayar.
Pihak berkenaan sanggup memberi upah asalkan hasrat mereka tercapai. Mereka boleh diibaratkan seperti 'baling batu sembunyi tangan' cuma pada ketika ini, tidak ada lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam era transformasi hari ini, remaja seharusnya lebih bijak berfikir dan guna platform hak asasi dengan sebaik-baiknya.
Setelah diberi ruang untuk berhimpun secara aman, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Mereka yang melakukan perkara ini adalah adalah orang intelektual tetapi, mereka salah menggunakan kebijaksanaan mereka hingga diri mereka mudah dibeli pengaruh luar.

SINAR HARIAN ONLINE: Lewat ini, beberapa insiden yang menunjukkan beberapa perbuatan yang menunjukkan pelakunya memperkatakan mengenai hak asasi manusia. Apa komen Tan Sri?
RAHIM NOOR: Saya pernah ditanya mengenai perkara ini. Saya ingin bertanya, apa yang akan berlaku esok lusa jika sebegitu mendalam penghayatan mereka terhadap hak asasi manusia.
Esok jangan terkejut gambar Agong atau Sultan pula orang tanpa segan silu akan memijaknya.
Mereka boleh cakap, “Eh jangan ganggu, ini hak asasi saya, saya boleh pijak gambar sesiapa sahaja.”
Sebagai seorang manusia Agong dan Sultan juga mempunyai haknya juga.
Misalnya dalam demonstrasi Bersih 3.0, Suhakam mempertahankan tindakan peserta demonstrasi sebagai hak asasi kepada pihak polis yang menyembur air. Tempat itu kan tempat orang hendak berniaga.
Polis kena tutup jalan sehingga terpaksa menyusahkan orang nak lalu lintas, pelancong dan pemandu teksi. Itu juga hak mereka.
Hak asasi bukan satu hala sahaja. Kalau masing-masing menjaga hak asasi masing-masing maka akan amanlah dunia ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah tindakan yang wajar diambil pihak berkuasa bagi menjamin hak asasi manusia yang sebenar-benarnya?
RAHIM NOOR: Langkah pihak berkuasa mesti cepat mengikut undang-undang. Kita perlu faham, perkara seumpama ini boleh menimbulkan keresahan, huru-hara dan boleh menaikkan semangat orang. Ini bukan kes curi getah skrap atau satu, dua tandan kelapa sawit ataupun kes curi basikal.
Misalnya insiden memijak gambar Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, mungkin akan menyebabkan penyokong beliau akan membuat tindakan balasan.
Kalau polis mengambil tindakan cepat itu belum cukup, perlu dibawa segera ke mahkamah.
Pihak mahkamah juga wajar menentukan hukuman yang sewajarnya kepada pelaku-pelaku kesalahan itu.

No comments:

Post a Comment