Rumah mahal: Bantulah Bumiputera agar tidak terpinggir
SAYA amat tertarik dengan tulisan dalam ruangan ini semalam (28.8.2012) yang ditulis oleh Bumbung Merah mengenai isu rumah mahal yang boleh menyebabkan Bumiputera bandar terusir ke kampung.Saya selaku tenaga pengajar di IPTA kawasan pantai timur amat terpanggil untuk menyatakan pendapat saya dalam ruangan ini. Sudah ribuan pelajar saya didik dan kini bekerja di sektor awam. Kebanyakan mereka bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Miri dan Kucing dan beberapa lagi bandar-bandar kecil yang berkembang menjadi bandar-bandar besar.
Semuanya memberi pendapat yang sama tentang harga rumah yang tidak masuk akal. Semua mereka tidak mampu membeli dengan harga melebihi RM300,000 ke atas. Yang mampu membeli hanyalah golongan pekerja swasta yang bergaji tinggi dan warga asing yang berpendapatan lebih RM6,000 sebulan.
Kebanyakan pekerja swasta Bumiputera gaji mereka hanya dalam lingkungan RM3,500 ke bawah sebulan, masih jauh untuk memiliki rumah teres yang harganya lebih daripada RM350,000 sebuah!
Memang diketahui sebagai bumiputera, ada kuota dan diskaun. Tapi adakah ini betul-betul dipatuhi atau boleh dipercayai? Banyak sudah berlaku kuota dan diskaun hanyalah semata-mata untuk memenuhi/mematuhi syarat yang diperlukan sahaja.
Apabila kaum Bumiputera hendak membeli rumah, contohnya rumah kos sederhana, pemaju akan mengatakan bahawa kuota untuk Bumiputera sudah habis.
Tetapi apabila disemak, sebenarnya satu-satu kawasan perumahan itu langsung tiada kaum Bumiputera yang membeli. Bila ditanya alasannya, tiada sambutan daripada Bumiputera. Jadi saya berharap pihak kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bukan semata-mata bercakap. Ambillah tindakan sewajarnya bermula dari hari ini.
Perkara ini amat serius dan tidak munasabah sepuluh tahun akan datang, akan berlaku ketidaseimbangan yang dahsyat dalam demografi negara kita.
Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri harus memberi syarat yang ketat kepada Persatuan Pemaju Perumahan (REHDA) dalam usaha untuk menangani masalah ini, terutamanya dalam manipulasi perniagaan pembelian rumah yang kebanyakan kaum lain mengambil peluang untuk mencari keuntungan yang lebih dalam masa singkat.
Kita tahu, perniagaan adalah penting dalam memajukan ekonomi. Tetapi cara perniagaan yang terlalu kapitalis dan mementingkan satu bangsa akan memberi kesan yang buruk dalam jangka masa panjang.
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) harus memberi tumpuan lebih membina rumah-rumah kos sederhana di bandar-bandar besar yang mampu dimiliki oleh semua orang. Walaupun saya tahu, kebanyakan bekalan bahan mentah dikuasai oleh satu-satu kaum sahaja, kerajaan boleh memanipulasikan masalah ini.
Tolong dan bantulah anak-anak Bumiputera kita yang hanya mampu menelan air liur apabila melihat rumah-rumah yang besar hanya dimonopoli oleh satu kaum sahaja.
Sampai bila mereka akan menyewa dan menduduki rumah flat yang banyak menimbulkan masalah sosial kerana terlalu kecil dan tidak cukup bilik untuk menampung anak-anak yang ramai?
No comments:
Post a Comment