Melayu dominan jika UMNO kuat
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkembangan yang berlaku kebelakangan ini jelas menunjukkan hanya UMNO yang boleh diharap bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan kesucian agama Islam termasuk kedaulatan institusi raja-raja Melayu.
''Orang Melayu perlu berpegang pada teras perjuangan UMNO yang mengajak semua pihak bersatu padu, bermuafakat dengan meletakkan kepentingan bangsa, agama dan negara pada kedudukan teratas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Menteri Besar melibatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan dekat sini baru-baru ini.
Adnan berkata, sehubungan itu, UMNO perlu mengukuhkan perpaduan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
''Budaya UMNO sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sehinggalah sekarang adalah sentiasa bekerja dan berjuang untuk rakyat," katanya.
Beliau juga meminta rakyat supaya bersyukur kerana mempunyai Perdana Menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa peka dan sedar masalah setiap lapisan rakyat.
Adnan juga berharap rakyat terus menyokong usaha kerajaan BN termasuk di negeri ini bagi memudahkan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan dengan lancar.
''Justeru saya harap calon-calon yang diketengahkan nanti pada pilihan raya umum akan datang mendapat sokongan padu pengundi di seluruh negeri ini.
''Kemenangan besar kita akan memberi isyarat tentang kemahuan rakyat yang mahukan kesinambungan pemerintahan demi pembangunan negeri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment