Jangan terpengaruh pihak putar belit sejarah
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, rakyat tidak harus terpedaya dengan dakyah yang cuba mengangkat perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira kemerdekaan negara seperti yang dilakukan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
"Hujah-hujah yang mengatakan tokoh parti berkenaan merupakan pejuang kemerdekaan negara adalah tidak benar dan bercanggah dengan fakta sejarah tanah air, sebaliknya ia bersifat untuk memancing pengaruh.
"Sebaliknya, tokoh berkenaan seperti diuar-uarkan pembangkang hanya menentang kemerdekaan dengan mewujudkan sebuah pemerintahan kuku besi dan menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Sambutan Kemerdekaan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan di Benta, dekat sini semalam.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani dan Setiausaha UMNO Bahagian Lipis, Ishak Mohamad.
Seramai 5,000 penduduk berbilang kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta hadir pada majlis berkenaan yang turut diserikan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh penyanyi tempatan.
Menurut beliau, sejak akhir-akhir ini trend yang sama juga dicanang oleh sebuah parti pembangkang dan pengikutnya apabila cuba melenyapkan fakta sejarah dengan mahu menukarkan Jalur Gemilang di samping melahirkan kecaman terhadap pemimpin negara.
"Inilah pembohongan yang amat jelas, semata-mata dilaksanakan oleh pembangkang untuk mengaburi minda golongan muda dengan mengeksploitasi Hari Kemerdekaan ke-55 bagi memenuhi cita-cita politik yang tidak ikhlas dan jujur," katanya.
Strategi pembangkang katanya, yang memperalat golongan belia dalam Himpunan Janji Bersih baru-baru ini jelas menzahirkan niat jahat dan kotor untuk menggugat ketenteraman awam serta melahirkan perasaan dengki dengan kemakmuran negara sehingga kini.
Sehubungan itu katanya, rakyat khususnya golongan muda perlu menghayati sejarah kemerdekaan negara kerana segala dakyah pembangkang yang memutarbelitkan isu kemerdekaan merupakan palsu semata-mata.
Tambahnya, pengetahuan yang cetek mengenai sejarah negara bangsa dalam kalangan golongan muda serta disogok dengan janji tertentu menyebabkan segelintir daripada mereka sanggup menukarkan Jalur Gemilang dan memijak gambar pemimpin negara.
No comments:
Post a Comment