Umno sering cari silap PR, kata Pas Terengganu
7 September 2012
Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, Umno akan ‘menyelongkar’ dari semua sudut untuk mengaitkan sesuatu isu yang ditimbulkan sebagai kerja pembangkang.
Beliau berkata, isu pijak gambar pemimpin negara dan mengibarkan bendera baru dikenali ‘Sang Saka Malaya’ bagi menggantikan Jalur Gemilang adalah isu terkini yang diheret Umno untuk menjelaskan kepada rakyat tentang pembabitan pembangkang walaupun pimpinan PR sendiri sudah banyak membuat penafian.
"UMNO cuba cari kesilapan pembangkang dari semua sudut. Kalau dilihat kepada apa yang berlaku pada malam ambang merdeka, memang ramai penyokong pembangkang hadir. Kebetulan pada waktu sama, berlaku perkara itu. Jadi mudahlah mereka membuat dakwaan sedemikian.
"Ingin dijelaskan bahawa selama 20 tahun berkecimpung dalam politik, tidak pernah saya mendengar sebarang perancangan untuk menukar bendera atau lagu Negaraku atau arahan pijak gambar pemimpin," katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau seperti mana pemimpin-pemimpin PR lain turut menafikan sekeras-kerasnya penglibatan pembangkang dalam isu terbabit.
Beliau percaya, isu tersebut ditimbulkan kerana Umno tidak mampu mencari kesilapan di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dan menyifatkan tindakan mengaitkan pihaknya sebagai cubaan memperlekeh imej pembangkang.
Bagaimanapun, beliau turut yakin isu yang hangat dimainkan media ketika ini tidak akan berpanjangan dan akan berlalu begitu sahaja.
"Isu yang kecil itu untuk burukkan pembangkang dan kita yakin senario di Malaysia ini, isu-isu yang ditimbulkan tidak sampai ke mana. Kita percaya ia tidak akan bertahan lama, akan hilang dan timbul isu baru," katanya.
Menyentuh perkara sama, beliau yakin tindakan beberapa pihak yang mewujudkan isu berkenaan adalah akibat terlalu mengikut emosi dan semangat di luar kawalan serta tidak menolak kemungkinan berpunca daripada provokasi pihak tertentu.
Beliau sekali lagi menegaskan apa yang berlaku itu tiada kaitan dengan pembangkang kerana pihaknya sendiri bersiap sedia mengikut proses demokrasi untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.
"Kita ada kaedah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui pilihan raya dan bukannya dengan bakar atau pijak gambar," katanya.
No comments:
Post a Comment