Wednesday, September 5, 2012

perintah 4 tahun kepala sudah besar

ARKIB : 03/09/2012

'Baru empat tahun memerintah sudah besar kepala'

SIKAP kurang ajar kepemimpinan kerajaan negeri Selangor mencapai kemuncaknya pada malam 30 Ogos lalu apabila tidak menjemput Sultan Selangor ke majlis sambutan kemerdekaan rasmi peringkat negeri.
Lebih menyakitkan hati rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dijemput khas dan diberi ruang berucap, umpama itulah rupanya sambutan kemerdekaan negara jika mereka memerintah Kerajaan Pusat. Adakah Anwar kini sudah lebih tinggi daripada Sultan? Selepas berani menghina Sultan Perak, Sultan Johor pula dicuit dan kini Sultan Selangor.
Walaupun kedudukan para Sultan lebih tinggi daripada politik pecacai ini, saya selaku rakyat yang setia berasa tercabar dengan kebaculan orang politik sedemikian.
Jangan kerana baru empat tahun memegang kuasa sudah besar kepala dan ingat Sultan mahupun undang-undang tidak boleh menyentuh kamu.
Ingatlah Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa khas ke atas Parlimen Malaysia, Sultan-Sultan mempunyai kuasa Khas ke atas Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan khas untuk pengkhianat agama, bangsa dan negara.
Saya bukan penyokong tegar mana-mana parti politik dan boleh dikatakan pengundi atas pagar tetapi selepas beberapa kejadian membelakangkan Sultan Selangor dan kemuncaknya pada malam kemerdekaan itu, saya bersumpah tidak akan memangkah lagi mana-mana calon pakatan pembangkang.
Sebelum ini juga banyak isu telah ditimbulkan sama ada janji tinggal janji, masalah moral pemimpin mahupun mengalah kepada tuntutan DAP, tetapi saya tidak ambil pusing kerana masih hak mereka dalam tempoh mandat pemerintahan.
Bagaimanapun, selepas satu demi satu isu berkaitan agama dan umat Islam, Sultan Selangor dan hak istimewa orang Melayu diperlekehkan, saya dan keluarga tidak boleh lagi menerimanya.
Surau dan masjid dijadikan arena politik, rumah judi dan urut bersepah merata tempat, isu arak dan murtad terpaksa tunduk kepada tekanan sekutu bukan Islam dan semestinya kemuncak dayus dan kurang ajar pemimpin Melayu Selangor bila membelakangi Sultan yang juga ketua agama Islam.
Tidak mengapalah jika tidak dapat air percuma, terpulanglah jika mahu menjual semua aset kerajaan negeri, lantaklah jika nak korek semua pasir di Selangor sekalipun.
Namun, jangan sesekali cabar umat Islam yang setia kepada agama dan Raja serta mendukung nilai-nilai Perlembagaan Negara.
Sikap kurang ajar terhadap Kesultanan Melayu ditambah dengan kisah peserta 'Janji Bersih' mengibarkan bendera ala Singapura bagi menggantikan Jalur Gemilang, nyata sekali agenda ahli politik dayus menukar negara ini kepada sebuah republik.
Saya secara rendah hati dengan ini memohon Sultan Selangor menggunakan kuasa eksekutif sedia ada terhadap Menteri Besar dan para Exco beliau yang kurang ajar serta ke atas DUN Selangor bagi mengajar ahli politik di negara ini erti rendah diri dalam berkhidmat kepada rakyat.
Saya juga menyeru Sultan-Sultan dan Majlis Raja-Raja Melayu tunjukkan tiada manusia yang berkuasa mutlak dan boleh bertindak sesuka hati. Bertindaklah Tuanku demi rakyat dan abaikan walau apa jua tindak balas yang ingin diambil mereka yang dayus itu, biar kami rakyat jelata tunjukkan antara Sultan dan ahli politik, siapa yang lebih disanjung tinggi.
Merdekakan bumi Selangor dan mana-mana bumi bertuah di negara ini daripada manusia yang dayus, kurang ajar dan pengkhianat sedemikian.

No comments:

Post a Comment