Suaram: Soros salur RM0.5 juta
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan siasatan, tempoh penerimaan dana tersebut adalah pada 2007, 2008 dan 2010.
"Melalui surat tawaran, Open Society Institute telah menyalurkan dana sebanyak AS$60,000 (RM186,144.11) pada 17 Oktober 2007, AS$68,775.65 (RM213,361.35) (18 Disember 2008), AS$60,000 (RM186,144.11) (12 Februari 2010) kepada Suaram.
"Ketiga-tiga surat tawaran geran dana tersebut telah diterima dan ditandatangani masing-masing oleh Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng pada tahun 2007 dan 2008 serta Pemangku Pengarahnya, Kua Kia Soong (2010)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KadS1M) di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Jelas beliau, Suaram tidak boleh menerima sebarang dana ekoran status mereka yang tidak pernah berdaftar di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Kalau Suaram tidak didaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, saya nak tanya apa locus standi untuk menerima wang dan menandatangani perjanjian dengan Open Society Institute?
"Jika mereka memberi alasan bahawa Suaram di bawah Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif), maka yang boleh menandatangani adalah Suara Inisiatif bukan Suaram," katanya.
Menurut beliau, dalam surat tawaran geran dana berkenaan juga menyatakan Suaram dikehendaki menghantar laporan perbelanjaan serta aktiviti yang dijalankan menggunakan dana berkenaan kepada yayasan tersebut.
"Kalau benar yayasan George Soros terlibat, ia sesuatu perkara yang malang bagi kita, sebab dia dikenali sebagai individu yang mensabotaj ekonomi Malaysia.
"Lebih menghairankan bagaimana satu pertubuhan dalam negara boleh bersekongkol dengan individu yang merosakkan ekonomi kita," katanya.
Tambah Ismail Sabri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengadakan mesyuarat dengan Bank Negara dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada Rabu ini untuk proses siasatan selanjutnya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ismail Sabri menyerahkan sejumlah 22,500 Kad KADS1M kepada pelajar UM yang membolehkan pemilik kad menikmati diskaun antara 10 dan 60 peratus untuk barangan terpilih.
Ismail Sabri menjangkakan proses pengedaran KADS1M kepada semua 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta selesai sebelum Oktober ini.
"UM merupakan universiti kelima menerima KADS1M dan bagi pelajar UM yang baru mendaftar minggu lepas, mereka akan menerima kad itu pada September juga," katanya.
No comments:
Post a Comment