Friday, September 21, 2012

serap nilai patriotisme dari kecil

Nilai patriotisme harus diterap pada usia muda

Dua kanak-kanak mengenakan pakaian Jalur Gemilang menjadi tumpuan pengunjung sempena majlis Hari Raya Aidilfitri di Benta, Kuala Lipis, baru-baru ini.
Saudara Pengarang,
BARU-BARU ini saya telah menghadiri beberapa jamuan Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 anjuran Pejabat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Lipis.
Pada majlis itu juga, ramai penduduk secara berkeluarga berbondong-bondong dengan mengenakan pakaian cantik dan berwarna-warni masuk ke kanopi sambil menikmati jamuan disediakan.
Malah, ada dalam kalangan kanak-kanak mengenakan pakaian Jalur Gemilang dibuat khas untuk menyambut Bulan Kemerdekaan yang kebetulan jatuh pada Hari Raya Aidilfitri.
Sungguh bergaya kanak-kanak berkenaan malah saya beranggapan sudah wujud penerapan nilai patriotisme dalam kalangan anak-anak yang menjadi tumpuan rakaman lensa kamera.
Pakaian Jalur Gemilang dipakai oleh kanak-kanak berkenaan sudah menampakkan nilai semangat kebangsaan yang sudah dicanai pada peringkat awal usia malahan Jalur Gemilang juga digubah dalam bentuk mudah dihayati bukannya dipijak oleh segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, juadah tradisional serta moden yang dijamah oleh pelbagai kaum dan etnik di majlis berkenaan menzahirkan nilai integrasi budaya dan kepercayaan antara kaum sudah lama wujud di negara ini.
Inilah transformasi pembangunan sosial yang diiltizamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelas, perayaan dan acara kaum yang disambut setiap lapisan masyarakat mampu memberi impak perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi Rakan Pahang ini, apa yang saya menyimpulkan iaitu kemeriahan acara sambutan berkenaan bukan diukur daripada berapa nilai 'duit raya' dan kos penyelenggaraan jamuan itu, tetapi sentuhan antara pemimpin itu dapat menghayati masalah rakyat secara dekat dan telus.
INSAN PATRIOTIK,
Kuala Lipis

No comments:

Post a Comment