Tsunami politik Cina satu kebenaran
APABILA Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Mei lalu menyifatkan kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah disebabkan tsunami politik pengundi Cina yang dibuat berasaskan polarisasi kaum - ramai pihak khususnya pembangkang menolak andaian itu.Tetapi jika kita merenung wajah-wajah yang menghadiri perhimpunan haram anjuran pembangkang yang semakin galak diadakan sejak kebelakangan ini, istilah tsunami Cina ada kebenarannya.
Lihat sahaja siapakah yang paling ramai hadir? Di mana-mana sahaja kecuali di Kuala Ibai, Terengganu, hampir 80 peratus yang hadir adalah terdiri daripada kaum Cina.
Mungkin sekali lagi, apa yang penulis katakan ini akan dianggap rasis atau berbaur perkauman, tetapi inilah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Jika suatu ketika dulu, kaum Cina dilihat tidak mahu membuang masa menghadiri perhimpunan haram apatah lagi demonstrasi jalanan tetapi sejak selepas pilihan raya umum lalu senario sudah berbeza.
Malahan mereka juga turut berhimpun bagi membantah penahanan aktivis mahasiswa dan pemimpin pembangkang.
Berdasarkan maklumat yang diterima ada dalam kalangan mereka ini mempunyai keberanian luar biasa apabila sanggup memaki hamun pihak polis dan melemparkan kata-kata berbaur perkauman.
Situasi ini menunjukkan dengan jelas bahawa pembangkang berjaya memainkan peranan mereka untuk mempengaruhi golongan tersebut bagi melakukan bantahan.
Terpedaya
Tambahan pula sebelum pilihan raya, pembangkang sudah menguar-uarkan mereka akan menang pilihan raya kali ini dan menanam keyakinan itu dalam kalangan pengundi Cina. Bagi pembangkang, kalau mereka kalah juga ia bukan kerana kelemahan mereka tetapi disebabkan penipuan oleh BN.
Keadaan inilah yang memungkinkan jumlah kehadiran masyarakat Cina dalam perhimpunan haram pembangkang begitu ramai kerana mereka sudah terpedaya dengan taktik politik kotor pembangkang.
Ia sama seperti mana dikatakan oleh Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong sebelum ini bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat berjaya memperkudakan masyarakat Cina menerusi retorik kosong beliau iaitu Ubah dan Ini Kalilah dalam PRU-13.
Menurut beliau, dengan bantuan parti cauvinis, DAP, masyarakat itu akhirnya termakan janji Ketua Pembangkang tersebut yang kononnya akan melakukan perubahan besar terhadap kehidupan mereka.
Najib telah melakukan pelbagai perubahan untuk kaum Cina seperti menaikkan taraf empat buah kolej ke universiti termasuk Kolej Han Chiang.
Najib juga memansuhkan akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi kenapa hanya lapan peratus kaum itu yang mengundi Barisan Nasional (BN)," soalnya.
Malah menurut Lum Yong, tidak cukup dengan itu, pembangkang melalui tentera siber telah bergiat aktif menaburkan penipuan terhadap masyarakat Cina yang rata-rata merupakan pengguna Internet tegar.
Sememangnya perkembangan ini bukanlah sesuatu yang sihat kepada politik negara kerana ia boleh menjurus kepada politik berasaskan polarisasi kaum. Apatah lagi keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan dengan jelas bagaimana yang meraih keuntungan ialah DAP.
MCA yang bertanding di 37 kerusi Parlimen hanya menang lima kerusi sahaja. DAP pula menjadi dominan dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas apabila memperolehi 38 kerusi meningkat 10 kerusi daripada pilihan raya umum lalu. PKR pula 30 kerusi dan Pas 21 kerusi.
DAP dan pembangkang cuba menafikan ia ada kaitan dengan tsunami Cina yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri tetapi semua orang tahu siapa yang menjadi sasaran pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN yang UMNO menjadi tunjangnya.
Dan jika kita melihat wajah-wajah yang hadir dalam perhimpunan haram anjuran pembangkang, kita pasti tahu jawapannya.
Mungkin hak mereka untuk menyokong sesiapa sahaja tetapi dalam masa yang sama jangan kerana keghairahan terpengaruh dengan politik kemaruk kuasa pembangkang, keharmonian kaum yang kita bina sejak berpuluh tahun lalu menjadi taruhan.
No comments:
Post a Comment