21 jam 'didampingi' saat sakaratulmaut - Mohamed Hasnal
Semuanya akibat kecederaan parah dialami beliau yang ditembak tiga das, putus tapak tangan kanan, tersembur tulang tangan kanan serta jari telunjuk kiri dan retak tengkorak kepala ditetak menggunakan kapak oleh pengganas Kiram dalam tragedi berdarah di Kampung Simunul, Sabah.
Malah, beliau sendiri tidak menyangka akan terselamat dan masih bernafas sehingga ke hari ini kerana 21 jam terpaksa menanggung segala kesakitan, kepedihan, penderitaan serta kehilangan banyak darah sebelum akhirnya diselamatkan pasukan komando VAT 69.
Menjadikan anaknya, Muhamad Mikail, 2 tahun tujuh bulan sebagai azimat untuk membangkitkan semangat ingin hidup ketika nyawa sudah berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, Mohamed Hasnal berkata, beliau bersyukur kerana masih dipanjangkan umur oleh Maha Pencipta.
Sambil menyifatkan apa yang berlaku umpama peluang kedua untuk terus hidup, pegawai polis dari Cawangan Khas Bukit Aman itu bagaimanapun dengan tegas berkata, meskipun kecederaan dialami hampir meragut nyawa tetapi beliau akan terus berbakti kepada negara.
"Walaupun menerima 38 jahitan akibat tembakan di perut, parah ditetak enam kali iaitu di tangan dan kepala, saya menganggap ini cuma sebahagian kecil pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan negara kerana rakan-rakan saya lain berkorban nyawa demi Malaysia.
"Apa yang berlaku ini realiti, pencerobohan di Sabah bukan sandiwara. Anggota kami dibunuh dan saya sendiri parah diserang pengganas Kiram. Sepatutnya seluruh rakyat Malaysia bersatu mempertahan negara," katanya di Ibu Pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam tragedi serangan berdarah pada 2 Februari lalu, enam anggota polis iaitu Supritendan Ibrahim Lebar; Asisten Supritendan (ASP) Michael Padel; Sarjan Baharin Hamid; Sarjan Abdul Aziz Sakirun; Koperal Salam Togiran dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran terbunuh.
Diminta mencerita detik-detik diserang pengganas Kiram pada malam berkenaan, Mohamed Hasnal memberitahu, pasukannya yang diketuai Ibrahim dan dibantu Michael sebagai pegawai medan telah menyusun operasi dengan teliti berdasarkan maklumat-maklumat risikan.
Katanya, sebelum operasi dijalankan pada pukul 4 petang, tiga taklimat dibuat oleh Ibrahim dan Michael tetapi serbuan gagal menemui kumpulan pengganas Kiram yang bersembunyi dalam sebuah rumah sehinggalah hari sudah bertukar malam ketika maklumat baharu diperoleh.
"Ketika itu, pihak atasan meminta operasi dihentikan kerana terlalu bahaya tetapi memikirkan jika tidak ditangkap, pengganas Kiram akan menyerang dan membunuh orang awam pada malam berkenaan, Ibrahim berkata beliau rela mati daripada melihat orang ramai mati.
"Kami kemudian menuju ke rumah yang dikenal pasti tetapi sebelum sempat berbuat apa-apa, kami ditembak bertalu-talu menyebabkan tujuh pegawai dan anggota rebah. Melihat kami rebah ditembak, musuh kemudian menyerang pula mengguna senjata tajam," katanya.
No comments:
Post a Comment