Friday, May 31, 2013

kerajaan pusat mensejahterakan selangor

Apabila kerajaan pusat beri lebih peruntukan daripada kerajaan Selangor...

BARISAN Nasional (BN) Selangor memang tidak boleh menerima peruntukan kuota menteri. Katakan dia menteri dan pada masa sama juga Pengerusi atau Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri atau BN, lagi tak sesuai. Kelak, susah nak fokus pada jentera parti untuk memastikan Selangor dikembalikan ke pangkuan pada 2018 atau pilihan raya umum ke-14.
Dengan tumpuan kepada hanya satu jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan, dia tentu akan lebih bertanggungjawab menjaga keseluruhan -parti komponen. Kuasanya bukan setakat jaga parti di negeri itu sahaja tetapi seperti berjawatan Menteri Besar (MB).
Ertinya, Kerajaan Pusat salurkan peruntukan kepada negeri kepada wakil-wakil BN yang dilantik. Seakan-akan umpama 'Kabinet bayangan'. MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan barisan exconya bersaing dengan 'MB Selangor dan exco peringkat Pusat'.
Untuk rekod, sepanjang 2012 Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM5.7 bilion bagi pembangunan di Selangor merangkumi pelbagai bidang.
Umum maklum keputusan PRU-13, 5 Mei lalu menyaksikan pakatan pembangkang kekal mentadbir Selangor penggal kedua. Pakatan memenangi 44 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN sekadar 12 kerusi. Dari segi jumlah kerusi Parlimen pula, BN hanya mampu memenangi lima kerusi manakala pembangkang meraih 17 kerusi. Apa pun keputusannya, itulah pilihan para pengundi di negeri ini.
Malangnya, rakyat di negeri ini gagal melihat isu sebenar di sebalik kelemahan serta masalah pentadbiran pakatan pembangkang di negeri itu. Sedangkan peranan yang dimainkan Kerajaan Pusat secara tidak langsung telah menyelesaikan permasalahan rakyat di Selangor.
Paling dikesali, ada kalangan rakyat di negeri ini menuduh Kerajaan Pusat kononnya tidak memberi kerjasama serta membantu kerajaan negeri. Padahal ini semua hasil masalah ketidakcekapan pentadbiran PKR, DAP dan Pas di Selangor.
Hakikatnya, tuduhan sedemikian tidak berasas kerana dalam tempoh lima tahun ini Kerajaan Pusat menerusi kementerian-kementerian yang bertanggungjawab telah melaksanakan pelbagai program termasuk menyalurkan peruntukan untuk pembangunan Selangor secara keseluruhannya.
Sebaliknya, kerajaan Selangor dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat, apatah lagi tidak menyalurkan dana yang mencukupi untuk membantu termasuk membangunkan infrastruktur di negeri ini.
Misalnya dalam soal bantuan dan pembangunan pertanian, kerajaan negeri Selangor memperuntukan RM17.7 juta dalam bajet 2013. Jumlah itu jauh lebih kecil sedangkan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diterajui Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor sebelum ini membelanjakan lebih RM300 juta untuk pembangunan pertanian di negeri itu.
Keadaan sama turut berlaku melibatkan pembangunan pendidikan dan agama Islam apabila kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang tidak memberi perhatian penuh terhadap soal itu sehinggakan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor dikategorikan sebagai golongan asnaf miskin.
Golongan asnaf ini di Selangor ialah mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan, sedangkan elaun guru KAFA baru RM1,300. Turut tergolong dalam kumpulan itu ialah imam yang menerima elaun RM750 sebulan dan guru takmir yang mengajar di masjid dengan elaun sebanyak RM800 sebulan.
Dalam hal ini, kerajaan negeri tiada usaha untuk mengeluarkan golongan ini daripada kategori asnaf miskin. Guru KAFA mendapat RM800 daripada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri cuma beri RM500. Sepatutnya kerajaan negeri juga perlu beri RM800 supaya menjadi RM1,600 supaya mereka dapat keluar daripada kemiskinan.
Demikian juga dengan imam yang Kerajaan Pusat beri elaun RM750. Cuma, kalau kerajaan pimpinan Abdul Khalid juga berikan RM750, bermakna imam juga akan dapat RM1,500. Ertinya keluarlah mereka daripada asnaf miskin.
Apa yang disebut itu bukan hanya melibatkan ketidakcekapan pakatan pembangkang dalam mentadbir Selangor, sebaliknya ia turut membabitkan penyalahgunaan peruntukan Kerajaan Pusat.
Ini terbukti berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 yang menyaksikan kerajaan negeri hanya membelanjakan 58 peratus peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris).
Menurut laporan itu, peruntukan tersebut masih berbaki RM319 juta yang belum digunakan untuk membaiki dan menyelenggara jalan-jalan di Selangor.
Dan, paling mendukacitakan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan infrastruktur demi kemudahan rakyat itu disalurkan untuk membiayai pinjaman pembinaan Universiti Selangor (Unisel) menerusi anak syarikat kerajaan negeri, Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB).
Melihat daripada apa yang sebenarnya berlaku dalam pentadbiran Selangor pada penggal lalu, maka timbul persoalan apakah situasi yang sama akan berulang pada penggal kali ini setelah pakatan sekali lagi berkuasa.
Dalam sistem pentadbiran negara ini, perlu difahami terdapat dua sistem pentadbiran iaitu Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Matlamat kedua-dua sistem ini adalah sama iaitu untuk memastikan pembangunan negara dan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat. Namun, bagaimana kesejahteraan rakyat itu boleh dicapai apabila kerajaan negeri penggal lalu tidak memainkan peranan sebenar-benarnya untuk rakyat termasuk golongan sasar.
Maka tidak hairanlah ada saranan supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa yang berfungsi mengawalselia penyaluran peruntukan dan pelaksanaan program pembangunan rakyat yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat ke Selangor.
Jawatankuasa pengawalselia tersebut yang memiliki kuasa eksekutif itu dilihat merupakan kaedah terbaik. Ini bagi memastikan perancangan pembangunan negeri dan rakyat daripada Kerajaan Pusat dapat dilaksanakan sebaik-baiknya selain mencapai sasaran yang dihasratkan.
Malah, dengan adanya jawatankuasa pengawalselia itu, ia dapat mengelakkan peruntukan Kerajaan Pusat yang disalurkan kepada kerajaan negeri disalahgunakan untuk tujuan lain.
Bagaimanapun, jawatankuasa pengawal selia itu semestinya mempunyai seorang pengerusi yang mana kuasanya haruslah bertaraf menteri supaya koordinasi dapat dilakukan melibatkan seluruh kementerian serta agensi-agensi Persekutuan. Ini seterusnya akan melicinkan pelaksanaan program serta agenda pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan di Selangor tanpa sebarang campur tangan. Ini terutamanya apabila berdepan kerenah atau politiking daripada kerajaan negeri.
Jawatankuasa pengawal selia itu jika diwujudkan hanya perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda pembangunan rakyat di Selangor yang hanya tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat tanpa campur tangan terhadap pentadbiran di peringkat negeri. Ia sudah tentunya melibatkan perkara yang terkandung dalam Senarai Persekutuan dan bukannya Senarai Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Jawatankuasa pengawal selia ini jika diwujudkan, dilihat mempunyai mekanisme dan jenteranya sendiri iaitu dari peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pengarah agensi-agensi Kerajaan Pusat di Selangor.
Idea mewujudkan jawatankuasa pengawalselia ini merupakan satu perancangan yang dilihat amat selari dengan usaha transformasi Kerajaan Pusat yang dalam usaha memantapkan lagi agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, meletakkan pengurusan Selangor kepada kerajaan negeri semata-mata bukan hanya menyukarkan agenda transformasi nasional dapat dilakukan. Sebaliknya ia turut membawa pelbagai kesulitan kepada pembangunan rakyat di negeri ini.

No comments:

Post a Comment