Agenda budaya Serambi Mekah
Pilihan Raya Umum (PRU-13) yang baru selesai meninggalkan banyak persoalan yang saya pasti saya tidak mampu menyelesaikan kesemuanya seorang diri.Dua hari sebelum hari membuang undi saya amat teruja pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab besar lima tahun sekali.
Di usia melepasi separuh abad, banyak pengajaran yang saya kutip.
Seumur hidup saya, kawasan pengundian saya tidak pernah tumpas kepada BN. Tok Guru Nik Aziz (TGNA) memang begitu berpengaruh merejimkan pemikiran politik pengikutnya.
Pelik sedikit kerana keluarga saya tidak pernah terikut-ikut dengan mereka. Malah, sebilangan ahli keluarga kami memikul tugas menegakkan BN di peringkat akar umbi. Kami bukanlah orang berada, tapi tiada ganjaran yang kami tagih. Saya sendiri sentiasa menghulurkan bantuan sekadar mampu sejak di usia persekolahan atas alasan - kami tetap cintakan negara.
Merantau di negara orang mencelikkan mata saya, membandingkan budaya orang bukan Islam dan budaya kita yang mengaku Islam di Malaysia.
Didesak oleh anak-anak dan cucu-cucu saudara, saya dibawa mengelilingi kawasan pilihan raya sekitar Pengkalan Chepa dan Kota Bharu.
Tergamam dan malu untuk mengaku bahawa kumpulan flashmob bagaikan gergasi hijau yang sedang berarak, bersorak, bertempik dengan gegak gempita pada malam PRU-13 adalah anak-anak sebangsa dan seagama saya.
Dari kumpulan anak-anak kecil berbasikal kepada remaja belasan tahun mat rempit bermotosikal ratusan buah, hinggalah kepada kumpulan dewasa berkopiah dan bertudung labuh menaiki kereta, kumpulan berpakaian hijau berambut ala 'Mohawk' memenuhi beberapa buah lori, berulang-alik memenuhi setiap pelosok jalan raya dengan pelbagai gaya cemuhan dan sindiran.
Maafkan saya jika saya katakan itu budaya manusia tiada tamadun. Sikap dan perilaku mereka tidak menggambarkan ciri Islamik sebenar.
Kumpulan flashmob Biru tidaklah pula menunjukkan biadap dan angkuh seperti mereka.
Dalam hiruk-pikuk keseronokan mereka, salah seorang remaja mereka kemalangan dan menemui ajal di tengah-tengah perarakan. Luluh melihat suasana apabila seorang ibu bertudung, berbaju tanpa lengan berlari-lari sambil meraung,..anakku! anakku! Begitu ajalnya.
Terasa seolah berada di lokasi yang teramat asing. Tidak pernah saya alami perasaan sedemikian. Hati saya menangis dan amat tersentuh, pilu dan terasa amat kecil hati dengan keadaan itu.
Secara sedar, saya meluru keluar dari kereta dan menghamburkan soalan kepada seorang anak muda yang juga kelihatan terpinga-pinga.
Bertalu-talu soal saya kepadanya: "..siapakah GURU mereka? Siapakah USTAZ mereka? Siapakah USTAZAH mereka? Siapakah TOK GURU mereka? Malu, kecewa, sedih melihat negeri serambi Mekah berbudaya ala jahiliah".
Saya jijik untuk mengaku ini adalah budaya anak negeri kelahiran saya. Binasalah anak cucu kita selepas ini jika budaya sedemikian menular.
PRU telah selesai. Sepatutnya kita akur dengan keputusan proses demokrasi. Tetapi sebaliknya pelbagai protes sana-sini berlaku.
Sudah saya jangkakan. inilah impak sebenar budaya yang sedang diterapkan di kalangan anak muda.
Satu bentuk 'kemabukan' baru dalam masyarakat kita, lebih tenat dari kes dadah.
Bermegah melawan adab dan susila. Nilai apa yang diterapkan di sekolah mereka? Nilai apa pula diterapkan oleh pemimpin mereka. Lihatlah sendiri, apa perubahan masyarakat di bawah kawasan TGNA sendiri.
Jenayah semakin berleluasa, nyawa manusia tiada harga. Kes-kes tembakan sewenang-wenang berlaku. Tengah sarapan pun boleh ditembak. Yang tak manisnya, kejadian berlaku dalam lingkungan jarak begitu hampir dengan kediaman ulama ini sendiri. Malah dua malam sebelum PRU pun kejadian tembakan berlaku di kampung bersebelahan Kampung Pulau Melaka.
Mana impak tarbiah yang disampaikan sekian lama?
Masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan dengan syarat kita bersedia untuk mengubah pendirian dan sikap 'gasar' selama ini.
Janganlah 'gasang' sangat mengucapkan kata-kata, meludah pihak itu dan ini.
Kepada para pendidik, renungkan soalan saya kepada anak muda dalam peristiwa di atas.
Sempena Hari Guru 2013 bertemakan '1 Aspirasi, 1 Agenda', saya menyeru setiap individu: jadilah guru yang boleh digurui supaya hak kita tidak diganggu-gugat lagi.
No comments:
Post a Comment