Pemimpin politik umat Islam perlu muhasabah
SETIAP pemimpin parti politik umat Islam dalam negara ini sepatutnya memahami bahawa perjuangan politik adalah amanah Allah di muka bumi ini. Apabila tugas ini dikaitkan dengan seruan Allah maka setiap prinsip dan objektif perjuangan mesti berlandaskan kepada hukum hakam Allah.Begitu juga dengan sikap dan tingkah laku dalam mengendalikan urusan kenegaraan. Perjuangan umat Islam dalam arena politik adalah amat berbeza dengan golongan yang memperjuangkan ideologi yang tidak berteraskan kepada prinsip dan etika berpolitik dalam Islam.
Setiap parti politik yang dipimpin oleh umat Islam dalam negara ini sama ada disedari atau tidak semakin hari kian menjurus kepada bentuk perjuangan politik yang dianuti oleh pejuang ideologi pluralisme sehingga tidak menghiraukan batas-batas perundangan berkaitan akidah Islam. Perkara ini berlaku kerana terlalu ghairah untuk menonjolkan diri bahawa mereka adalah yang paling bertolak ansur dalam hal ehwal agama dengan tujuan mendapat undi bukan Islam.
Tolak ansur dalam agama bukan bererti umat Islam perlu menyertai setiap perayaan keagamaan yang dianuti oleh masyarakat bukan Islam sehingga ke tahap yang boleh tergelincir akidah Islam.
Realiti yang dipertonjolkan oleh golongan tertentu dalam pilihan raya kali ini menunjukkan bahawa setiap konsep tolak ansur dalam aspek keagamaan yang diperjuangkan oleh pemimpin parti umat Islam tidak memberi sebarang kesan kepada jiwa dan pemikiran golongan itu, malah mereka memperkembangkan lagi sensitiviti perkauman dan keinginan untuk menguasai negara secara rakus.
Kesemua pemimpin umat Islam dalam negara ini perlu bermuhasabah dan mempersoalkan diri sendiri adakah dengan mengorbankan perkara berkaitan akidah Islam boleh menyemarakkan perpaduan kaum?
Mereka juga perlu merenung kembali setiap tingkah laku mereka ketika berkempen dalam pilihan raya sehingga berlaku perpecahan umat yang mana memberi peluang yang besar kepada golongan fanatik kaum menumpas parti politik yang memperjuangkan perpaduan kaum dan kesaksamaan serta keadilan.
Ketika ahli politik umat Islam bertarung sesama sendiri dalam arena politik golongan fanatik kaum ini mengambil kesempatan mengatur strategi licik untuk menumpas parti politik yang terlalu bertolak ansur dengan mereka. Golongan ini semakin hari kian menunjukkan sikap perkauman mereka. Tolak ansur dan perkongsian kuasa bukan merupakan prinsip kehidupan mereka.
Oleh itu umat Islam perlu merenung sejauh manakah mereka perlu bertolak ansur dan berkorban demi perpaduan kaum jika apabila golongan ini semakin hari kian menunjukkan kefanatikan kaum.
Berdasarkan kepada suasana begini ahli-ahli politik umat Islam amat perlu bermuhasabah dan merenung kembali kesilapan mereka dalam mengendalikan urusan politik. Sikap terlalu fanatik kepada parti dan pemimpin sudah sampai ke tahap permusuhan yang memisahkan umat. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
Selama manakah perselisihan sesama umat Islam akan berlanjutan sedangkan hak kuasa politik umat Islam semakin hari kian tipis?
Kelemahan umat Islam dalam arena politik adalah hasil daripada perselisihan yang terlalu sengit sesama umat walaupun mereka mempercayai Allah Yang Maha Esa. Mereka membaca al-Quran dan memahami maksud ajaran Allah serta pesanan baginda Rasulullah SAW tetapi malangnya intisari Quran dan Hadis hanyalah dilafazkan dalam ceramah-ceramah kempen pilihan raya dengan tujuan memikat hati pengundi. Realiti yang dipertontonkan boleh disamakan dengan 'berkokok berderai-derai ekor bergelumang tahi'.
Seruan Allah menuntut umat Islam bersatu dan menyusun strategi dalam hal ehwal politik dan kenegaraan secara komprehensif dan teliti diketepikan, api-api permusuhan dan perpisahan di gembar gemburkan sehingga remaja belasan tahun menjadi begitu agresif menunjukkan permusuhan kepada parti lawan yang beragama Islam ketika berkempen dalam pilihan raya.
Persoalannya, ke manakah arah perjuangan politik umat Islam? Bentuk kepimpinan seperti manakah yang ingin dilaksanakan apabila kuasa sudah berada dalam tangan? Kenapa jiwa dan pemikiran remaja Islam disematkan dengan unsur-unsur radikal yang boleh membentuk keperibadian yang bengis dan rakus? Sedangkan Islam menyeru umatnya membentuk jiwa dan pemikiran kasih sayang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Islam supaya menjadi umat berakhlak mulia dan kukuh keperibadian Islam.
Umat Islam sukar untuk bersatu dan bekerjasama dalam menerajui negara kerana pemikiran dan jiwa mereka disemat keinginan yang keterlaluan untuk mendapat kuasa dan kedudukan tanpa memahami bahawa memimpin dan mentadbir itu adalah tugas yang paling sukar di mana hanya individu-individu tertentu yang layak memegang tugas dan amanah tersebut.
Ahli-ahli politik dalam parti yang sama sering bertarung sesama sendiri untuk merebut calon tanpa melihat dan merenung keupayaan diri. Apabila wujud suasana begini dalam parti maka parti tersebut menjadi lemah dan mudah tumpas dalam pilihan raya kerana calon tidak mendapat sokongan bersepadu dalam kalangan ahli-ahli politik kawasan tersebut.
Kurang muhasabah diri dan kesetiaan kepada agama dan negara merupakan salah satu faktor yang menyebabkan umat Islam mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur yang boleh merosakkan agama, negara dan bangsa. Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah merupakan asas untuk memperkukuhkan istiqamah umat Islam dalam menghadapi cabaran dan kemelut politik dan kepimpinan.
Tanpa asas ini umat Islam menjadi terumbang ambing dalam arena politik kerana prinsip yang dijadikan panduan berpolitik hanya berdasarkan kepada kemenangan tanpa menghiraukan risiko yang akan dihadapi oleh bangsa dan agama. Ini merupakan fenomena yang wujud dalam arena politik umat Islam dalam negara ini masa kini.
Umat Islam keseluruhannya perlu berusaha untuk memperkukuhkan kekuatan umat dengan pelbagai program supaya semangat perpaduan umat Islam dapat dipupuk secara berhemah dan kasih sayang sesama umat menjadi semakin kukuh. Ini merupakan asas kekuatan umat Islam dalam arena politik dan kepimpinan.
Apabila jiwa umat Islam diterapkan dengan semangat cintakan agama dan negara mereka akan menjadi lebih mantap dan kental. Mereka tidak akan menjadi dalang negara kerana dalam jiwa dan pemikiran mereka disemat dengan bisikan, 'Hidup dan matiku adalah kerana Allah' bukan kuasa, kedudukan dan harta benda. Ini merupakan jiwa pejuang Islam masa lampau.
Berdasarkan kepada suasana masa kini maka bersatulah umat Islam, perjuangan politik perlu disandarkan kepada keredaan Ilahi di mana perselisihan politik sesama umat Islam perlu dihentikan.
Insafilah! kedudukan, kuasa dan harta benda adalah hiasan kehidupan dunia yang terlalu kecil nilainya. Perjuangan yang berteraskan kuasa dan kebendaan tidak akan dapat bertahan lama kerana pangkat dan kuasa adalah ketentuan Ilahi. Manusia tidak akan dapat melawan kuasa Ilahi. Oleh itu usah bertarung sehingga ke tahap yang boleh menghancurkan agama, bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment