Friday, May 3, 2013

dap benci pas

ARKIB : 02/05/2013

Jangan biar Pas menang besar - Pemimpin DAP

KUALA LUMPUR 1 Mei - Tindakan Pas memainkan semula isu negara Islam dalam usaha menarik sokongan pengundi Melayu, menyebabkan semakin ramai pemimpin DAP tampil membantah parti tersebut.
Selepas mendapat kritikan daripada pemimpin tertinggi DAP, ketua-ketua cawangan parti itu turut menyertai bantahan tersebut dan terbaharu, Naib Pengerusi Cawangan DAP Taman Ehsan, L.P. Selvam pula berkata, semua calon Pas perlu ditolak kerana dikhuatiri akan menyekat kebebasan bukan Islam di negara ini.
"Pas sebenarnya hanya berminat bekerjasama dengan DAP bagi mendapatkan undi orang Cina dan India sahaja.
''Jika mereka menang besar, Pas akan meneruskan rancangannya untuk melaksanakan negara Islam dan bagaimana nasib kami yang bukan Islam, sudah terlalu banyak polisi yang bertentangan telah dilaksanakan oleh Pas sejak 2008,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap pengundi supaya menentang dan memboikot calon Pas dan tidak membenarkan mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau mengulas gesaan beberapa pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu yang mahu pengundi bukan Islam menolak Pas memandangkan parti itu dilihat tidak konsisten dalam pendirian melaksanakan hukum hudud.
Menurut Selvam, walaupun niat pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya tidak akan kesampaian berikutan krisis itu, beliau tidak mahu pengundi bukan Islam memperjudikan masa depan negara demi mengubah kerajaan.
"Memang niat kita untuk menubuhkan kerajaan baharu, namun jika Pas tetap berdegil dengan agenda Islam mereka, kita tidak perlukan parti itu," jelasnya yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah.
Tambahnya, pemimpin tertinggi dalam DAP juga 'hipokrit' kerana masih bekerjasama dengan Pas.
"Pimpinan tertinggi DAP yang membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas sangat mementingkan diri sendiri walaupun tahu pendirian Pas yang tetap berdegil dengan agenda mereka.
"Ramai akar umbi dan penyokong kecewa dengan sikap pimpinan tertinggi DAP dan sampai bila-bila pun kami tidak akan menyokong sebarang agenda Pas, saya sendiri berkempen menceritakan tentang bahaya jika mengundi Pas," ujarnya.
Sementara itu, pengasas cawangan DAP Pelabuhan Klang dan Pandamaran, A.Deliganu berkata, usaha menubuhkan negara Islam Pas tidak akan tercapai.
"DAP tidak akan sesekali tunduk kepada permintaan Pas. Kita hidup dalam negara sekular, tindakan bagi melaksanakan hukum hudud Pas dan penubuhan negara Islam langsung tidak boleh diterima pakai.
"Pas harus lebih sensitif dengan perasaan pengundi yang bukan Islam, jika mahu sepakat dalam menawan Putrajaya, jangan ikut 'kepala' masing-masing," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130502/po_03/Jangan-biar-Pas-menang-besar---Pemimpin-DAP#ixzz2SB24XYqO
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment