Pembangkang putar belit 'hutang' negara
DALAM sehari dua ini pakatan pembangkang cuba menakutkan rakyat dengan tuduhan negara akan bankrap kerana tanggung hutang terlalu tinggi.Dalam keghairahan meraih undi PRU-13, mereka menidakkan fakta serta kenyataan. Dalam berbuat demikian, sebenarnya mendedahkan mereka berbicara isu itu tanpa ilmu.
Terbaharu, calon PKR Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam ceramah di Petaling Jaya Selatan (PJS), melemparkan dakyah bahawa kerajaan BN membawa negara ke ambang bankrupsi.
"Jelas dan nyata dia tidak memahami ekonomi atau kewangan. Mungkin tak pernah baca laporan Bank Negara. Saya katakan ini dengan penuh conviction juga," kata ahli ekonomi, Datuk Norraesah Mohamad ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Norraesah seterusnya ingin bertanyakan bukan sahaja Nurul Izzah tetapi rakan-rakan pembangkangnya: "Apakah yang dia faham tentang kedudukan hutang negara sebenarnya?
"Memang benar, kerajaan mempunyai hutang. Jumlah hutang yang ditanggung adalah 50 peratus dari KDNK negara atau pengeluaran dalaman negara. Sementara itu defisit bajet negara adalah 4.5 peratus," katanya.
Kerajaan, kata beliau, meningkatkan pinjaman pada 2008 apabila dunia terjerumus dalam kemelesetan ekonomi yang buruk bermula di Amerika Syarikat (AS).
Ketika itu, pinjaman ditingkatkan kerana pembangunan harus diteruskan untuk menentukan kesejahteraan rakyat berterusan, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terhenti.
Kata Norraesah, pembangunan sosio ekonomi dan pertumbuhan memerlukan pembiayaan dan pelaburan untuk menjana pengeluaran, pekerjaan serta pendapatan bagi menjaga kesejahteraan serta kesihatan ekonomi rakyat.
"Dalam kemelesetan ekonomi, pelaburan swasta tentunya menguncup sebab perniagaan terjejas, keuntungan mengecil dan kuasa membeli menurun.
"Prinsip ekonomi memerlukan kerajaan memainkan peranan penyelamat. Untuk memastikan keadaan tidak lebih meruncing dan pembangunan berterusan, kerajaan harus menjadi enjin pembangunan utama.
"Untuk tujuan ini kerajaan harus meminjam untuk meneruskan projek-projek pembangunan dan menyediakan safety net yang bersesuaian dalam menentukan kesejahteraan rakyat tidak terjejas dengan teruk. Tentunya juga, kerajaan harus berhemah dalam perbelanjaan," katanya.
Dalam hal ini, Norraesah mengimbas bagaimana pada 2008, AS tersembam dalam krisis ekonomi yang teruk.
"Pertumbuhannya negatif, Wall Street mengalami kecederaan dahsyat sehingga terlupus beberapa syarikat gergasi seperti Lehman Brothers. Banyak yang diisytihar bankrap.
"Berikutan krisis ekonomi itu, negara-negara lain juga merasai akibatnya. Bila sebuah negara besar 'menguncup', negara kecil kesesakan nafas. Tetapi ekonomi Malaysia begitu resilient, maka Malaysia tidak merasai ketenatan yang teruk, sungguhpun pertumbuhan ekonomi terjejas," kata beliau.
Kata beliau, pada 2009, defisit bajet meningkat. Begitu juga dengan pinjaman kerajaan. Sungguhpun pertumbuhan ekonomi meleset pada tahun itu, namun jumlah pendapatan per kapita terletak di tahap AS$6,700. Angka meningkat bukan menurun.
"Pada 2010, defisit dalam bajet menurun ke 5.6 peratus. Pinjaman negara di tahap 40 peratus dari KDNK. Sementara itu, pendapatan per kapita meningkat ke AS$8,100, melebihi jangkaan (AS$7,455).
"Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang sungguhpun membanggakan, 7.2% pada 2010 juga permulaan ETP. Dalam pada itu, kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat berterusan dan Eropah digegar dengan krisis euro zone. Kemelesetan ekonomi di sana kian meruncing," katanya.
Pada 2011, kata Norraesah, Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang begitu baik, 5 peratus berbanding negara jiran termasuk Singapura.
"Apatah lagi kalau dibandingkan dengan negara-negara membangun di Eropah, AS dan Jepun yang hanya mampu mencapai pertumbuhan kurang dari 1 peratus. Meskipun pinjaman menjangkau 50 peratus dari KDNK ketika ini, bajet defisit kian menguncup ke 4.8 peratus. Pendapatan per kapita meningkat ke AS$9,700 juga melebihi jangkaan (AS$8,200)," katanya.
Pada 2012, pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatat angka membanggakan, 5.6 peratus. Ini dicapai di luar jangkaan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Sungguhpun pinjaman negara meningkat ke 50 peratus dari KDNK, namun ini masih tidak melebihi garis yang diletakkan oleh Bank Negara iaitu 55%.
"Jangan kita sesekali lupa bahawa defisit menguncup lagi ke 4.5%," katanya.
Sementara itu, jumlah pendapatan per kapita kini meningkat ke AS$10,075 - suatu peningkatan yang cemerlang.
"Tetapi di Amerika Syarikat dan Eropah, ketidaktentuan berterusan dan beberapa negara menjadi bankrap- antaranya Greece, Sepanyol, Itali, Portugal Dan Cyprus. Yang lain hanya mencatat pertumbuhan yang lembab, 0.2 peratus hingga 2 peratus.
"Pada 2013, Malaysia dijangka memperoleh pertumbuhan positif antara 5 peratus hingga 6 peratus. Defisit akan diturunkan pada 4 peratus. Dan pinjaman negara juga akan dikurangkan dengan loginnya apabila ekonomi berkembang rapi," katanya.
Kata Norraesah: "Apa yang harus kita semua fahami adalah 96 peratus dari pinjaman negara ialah dari dalam negara. Ataupun pinjaman adalah dalam denominasi ringgit. Masakan negara boleh bankrap kalau pinjaman adalah dalam mata wang sendiri.
"Lihat saja Jepun. Hutang negara itu adalah 229 peratus dari KDNKnya. Pertumbuhan ekonomi amat lembab namun Jepun tidak dianggap negara bankrap sebab segala pinjaman dibuat dari dalam negara dalam yen."
Norraesah memberitahu, sebenarnya apabila analisis dan kiraan terperinci dibuat ke atas manifesto pakatan pembangkang setelah mengambil kira cukai yang hendak dihapuskan dan di samping itu segala janji baharu yang hendak dilakukan, jumlah defisit akan meningkat pada 11.2 peratus.
"Jumlah hutang negara akan meningkat pada kadar di luar garis yang diizinkan Bank Negara iaitu 55% peratus kepada 62.8 peratus dari KDNK. Ini tidak disedari mereka sebab dalam keghairahan menerbitkan manifesto penuh janji, kira-kira (Matematik) tidak disempurnakan," kata beliau.
Cara propaganda yang paling berkesan adalah mencampuradukkan kebenaran dengan pembohongan .
Dalam isu hutang negara, taktik sama dilakukan. Iaitu menyebut tentang negara berhutang. Benar. Tetapi mereka tidak menyebut tentang kaedah hutang, kejayaan membayar balik, tak pernah cuai dalam pembayaran, nisbah hutang dan perkhidmatan yang rendah.
Sebuah negara yang berhutang akan menghadapi bahaya bankrapsi kalau pertumbuhan ekonomi dalam angka negatif atau terlalu lembab seperti dihadapi beberapa negara Eropah tadi.
"Dari 2008 hingga sekarang, Malaysia tak pernah diancam gejala bankrapsi. Kalau tidak, IMF Dan Bank Dunia akan membuat kenyataan menurun ke situ. Ini tidak, bahkan institusi-institusi ini memuji kejayaan Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi di luar jangkaan.
"Harus ambil maklum juga bahawa rezab Negara adalah tertinggi pernah dicatat Malaysia iaitu RM478 bilion, berupaya menampung 9.5 bulan import. Ini cemerlang. Dikagumi banyak negara," kata Norraesah.
Putar belit maklumat tidak kurang dari membohong. Membangkang macam mana sekali pun, jati diri dan integriti diri harus dipegang kuat. Ini makna pemimpin yang luhur.
No comments:
Post a Comment