Unjuran KDNK kekal 5.3 peratus
Kenanga Research berkata, kesinambungan dalam kepimpinan BN kekal kukuh bagi memastikan projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan dasar-dasar sedia ada dapat dilaksanakan tanpa kelewatan atau gangguan.
"Walaupun kemenangan majoriti dua pertiga dianggap terbaik, kemenangan BN masih dianggap sebagai mandat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan dasar transformasi ekonomi dan kerajaannya (ETP dan GTP)," kata Kenanga Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Group, Dr. Yeah Kim Leng berkata, kemenangan BN selepas memperoleh 133 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum itu dianggap sebagai petanda positif bagi dasar dan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negara.
"Cabaran di masa depan masih lagi persekitaran luar, terutamanya disebabkan ekonomi global yang masih rapuh," katanya kepada Bernama.
Bagi terus membiayai projek prasarana utama dan memberikan bantuan, Yeah berkata, kerajaan perlu melaksanakan usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan seterusnya menumpukan kepada rasionalisasi subsidi untuk kumpulan sasaran.
"Pendapatan juga boleh dikumpul menerusi pelaksanaan penswastaan seterusnya dan penjualan aset," katanya.
Kenanga Research berkata, memandangkan kritikan dan tekanan untuk menghapuskan rasuah dan mengkaji semula dasar tindakan yang telah ketinggalan zaman telah ditimbulkan sebelum ini, terserah kepada BN untuk membuat perubahan yang perlu.
Ia juga perlu memastikan projek prasarana utama diagihkan secara adil dan disiapkan dalam tempoh yang disasarkan dengan kos minimum.
"Ia juga perlu memberikan komitmen tambahan untuk menambah baik kecekapan perkhidmatan awam, mengurangkan kadar jenayah dan membaiki sistem pendidikan nasional," kata firma penyelidikan itu.
Selain kebimbangan peningkatan subsidi, Kenanga Research berkata, janji kerajaan memberi bantuan tunai tahunan kepada isi rumah dan golongan miskin di bawah skim BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), pengurangan perlahan-lahan harga kereta dalam 20-30 peratus dan memberi subsidi pembinaan satu juta rumah mampu milik akan meningkatkan lagi perbelanjaan operasi fiskal dalam tempoh terdekat dan sederhana.
"Perbelanjaan operasi fiskal mencecah rekod tinggi RM205.5 bilion pada 2012, naik 11.5 peratus atau 21.9 peratus daripada KDNK.
"Pada kadar yang kerajaan membelanjakan dan membahagi-bahagikan dana, kami tidak terkejut menyaksikan perbelanjaan operasi fiskal meningkat sebanyak 5-10 peratus lagi tahun ini, berbanding sasaran rasmi pengurangan 0.3 peratus.
"Bagi mengurangkan kenaikan perbelanjaan operasi fiskal, ia bergantung kepada secepat mana kerajaan akan meneruskan pengukuhan fiskal yang dirancang sebelum ini, terutamanya dengan mengurangkan subsidi," kata firma penyelidikan itu.
Selain itu, sumbangan sektor minyak dan gas dijangka berkurangan kerana harga global dijangka terus turun yang membawa kepada pendapatan dan keuntungan rendah syarikat minyak dan gas tahun ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment