LEBIH ELOK JIKA DAP+PAS+PKR+BN=KERAJAAN SELANGOR
Kemelut Menteri Besar Selangor dan sifir 133+21
WAKIL parti manakah yang akan dipilih untuk menjadi Menteri Besar Selangor? Itulah persoalan yang timbul sekarang selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di negeri itu menyaksikan pakatan Pas-PKR-DAP menjadi pilihan rakyat.Pas dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PKR hanya 14 kerusi. Baki 12 kerusi lagi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Persoalannya wajarkah wakil PKR diberi peluang (sekali lagi) memimpin negeri itu?
Redzuan Mohd. Junid (rmf7.wordpress .com) berkata, jika Pas mempunyai maruah diri sewajarnya mereka menolak angan- angan PKR untuk memegang jawatan Menteri Besar kerana Pas nyata mempunyai wakil yang lebih banyak dalam DUN berbanding PKR.
Katanya, krisis pelantikan Menteri Besar Selangor menjadi lebih menarik apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali didakwa sanggup mengugut meninggalkan parti sekira tidak dipilih menerajui negeri itu.
Dalam masa yang sama DAP tidak mahu Azmin sebagai Menteri Besar walaupun majoriti ahli PKR mahukannya. Sementara itu, sumber Istana dikatakan lebih menyukai calon Pas sebagai Menteri Besar.
Tindakan Azmin ini telah dijangka setelah dalam twitternya kelmarin menyindir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bermuhasabah diri mengenai kekalahan dan jangan menyalahkan lain," katanya.
Katanya, Anwar sendiri sehingga kini masih belum berani menyelesaikan masalah di Selangor sebaliknya lebih tertumpu untuk merampas Kerajaan Persekutuan melalui jalan belakang.
Blog Wak Jengkol (ulatdankulat.blogspot.com) pula berkata, pakatan pembangkang yang mengambil masa sehingga seminggu untuk berbincang dan memilih calon Menteri Besar membuktikan mereka sebetulnya tidak pernah sepakat dalam segala hal.
Dari konteks ini jelas sekali, jawatan MB lebih layak disandang oleh pemimpin Pas. Tambahan pula Pas mempunyai kelebihan tersendiri kerana semua 15 wakilnya adalah Melayu Islam berbanding PKR yang hanya sembilan orang terdiri daripada wakil Melayu Islam.
Pun begitu, DAP selaku regu utama PKR tentu sahaja tidak akan membiarkan jawatan MB jatuh ke tangan Pas kecualilah terdapat seorang calon dari Pas yang mudah dicucuk hidungnya, baharulah mereka akan menerimanya dan memberi sokongan padu," katanya.
Katanya, keributan yang berlaku di Selangor sekarang tidak hanya menguji kesepakatan pakatan pembangkang tetapi ia juga menjadi penanda aras sejauh mana kekuasaan Pas dalam menentukan percaturan politik di negeri itu.
Blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) turut mendesak pucuk pimpinan pakatan pembangkang agar melantik wakil Pas sebagai Menteri Besar Selangor memandangkan parti itu mendapat mandat lebih besar.
Inilah masanya, untuk Pas Selangor tampil sebagai paksi kepada kekuatan pakatan pembangkang di negeri terkaya di Malaysia. PKR sudah diberikan peluang sepenggal. Ini masanya untuk Pas.
Apa salahnya, di atas semangat pakatan, Pas dibenarkan menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. Tak ada masalah pada ana. Dengan sendirinya, Pas boleh memastikan bahawa Selangor mengangkat haraki perjuangan negara Islam yang lebih makmur," katanya.
SIFIR 133+21
SEBUAH blog pro-Pas yang sebelum ini begitu lantang menghentam kerajaan BN, kelmarin telah bertukar nada selepas melihat kemenangan besar DAP dalam PRU-13 ekoran perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Blog NEWKK (newkk.blogspot.com) berkata, jika BN dan pemimpin Melayu mahukan sebuah kerajaan yang membela kepentingan bangsa, maka inilah masanya parti-parti Melayu dieratkan.
Katanya, ahli-ahli UMNO yang meninggalkan parti itu hendaklah dipujuk dan dirujuk semula dengan memberi tugas dan tanggungjawab mendekati masyarakat Melayu bagi mewujudkan kesepakatan serta memperkuatkan kuasa Melayu dalam Parlimen.
Saya tidak bercadang menulis banyak, cukup dengan sifir 133 campur 21, itu sudah memadai bagi menguasai Parlimen Malaysia lebih daripada dua pertiga demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Sementara itu blog Keris 7 Lok (keris7lok.blogspot.com) membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus lantang menghasut rakyat konon wujud penipuan dalam PRU-13, sedangkan parti-parti pembangkang telah memperoleh kemenangan lebih baik berbanding pilihan raya lalu.
Katanya, jika pembangkang menolak keputusan mandat yang diberikan rakyat, bagaimana Lim Guan Eng masih sedia mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar Kelantan?
Tidak nampak pula kelibat Guan Eng dan Ahmad Yaakob semalam di Kelana Jaya? Sebab mereka tahu ini semua rancangan kotor Anwar yang dah kemaruk nak jadi PM.
Kalau PRU (pilihan raya umum) kita tak adil, kalau BN dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tipu rakyat, bagaimana kerusi BN boleh berkurangan tujuh kerusi dan kerusi pakatan pembangkang pula bertambah?" katanya.
Katanya, rakyat seda bahawa perhimpunan di Kelana Jaya itu hanyalah rancangan kotor Anwar yang kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri, selepas usaha dilakukan menerusi PRU-13 gagal.
No comments:
Post a Comment