Silent walk, seolah-olah mereka dizalimi?
RABU lalu sekumpulan rakyat Malaysia berpakaian serba hitam, ditahan oleh pihak berkuasa Singapura kerana mengadakan bantahan secara haram terhadap keputusan PRU-13 negara kita di Taman Merlion. Mereka ini berbangsa Cina Malaysia.Di Bukit Bintang, Kuala Lumpur orang yang juga ada berpakaian serba gelap, menampal mulut masing-masing dalam apa yang mereka gelar sebagai silent walk. Mereka ini juga tidak berpuas hati terhadap keputusan PRU-13. Juga berbangsa Cina Malaysia.
Di Ipoh Timur, Perak, orang ramai diseru oleh Lim Kit Siang memakai pakaian hitam pada setiap Sabtu sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13. Beliau ini pemimpin Cina Malaysia.
Kerajaan digesa serta-merta mengadakan pilihan raya semula.
Di Taiwan pula, sekumpulan pelajar yang juga berpakaian gelap bergambar dengan tangan bersilang. Mereka membantah PRU-13, bergambar beramai-ramai dan mempamerkan bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik! Mereka ini juga Cina Malaysia.
Apabila Utusan Malaysia 7 Mei 2013 melontarkan pertanyaan di muka depan, Apa lagi Cina Mahu?, ini ditanggapi sebagai rasis.
Sebenarnya ini bukan pertanyaan Utusan Malaysia. Ini adalah apa yang difikirkan oleh seluruh rakyat negara ini: Apa lagi Cina Mahu?, walaupun pemimpin-pemimpin negara ini sentiasa bergerak membina, mengatasi dan menunaikan banyak permintaan tanpa banyak menafikan apa sahaja yang sentiasa mereka tulis dalam akhbar-akhbar Cina.
Nyata Cina Malaysia cukup bebas bersuara. Orang Cina tidak pernah dihalang dalam mengamalkan agama dan budaya mereka. Tiada negara di dunia ada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina seperti di negara ini.
Orang-orang Cina menerajui ekonomi dan ramai jutawan dalam kalangan mereka. Mereka juga diajak bersama berkongsi kuasa dalam menerajui Malaysia. Kita menerima mereka dengan kemesraan dan persahabatan akrab, walaupun sekarang terdapat ramai di antara mereka tidak fasih dan malah tidak tahu bercakap bahasa Melayu!
YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak teragak-agak menyalurkan peruntukan menjangkau jutaan ringgit untuk kebajikan masyarakat Cina. Namun pola pengundian masyarakat Cina menunjukkan mereka tidak menyenangi kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak pernah meminggirkan Cina, walaupun terpaksa melayani kehadiran mereka di kediaman beliau pada waktu jauh malam (kita dan rakan-rakan Cina kita sendiri memerhati keadaan ini). Namun beliau kalah di Parlimen Bukit Katil kerana majoriti pengundi Cina tidak mengundinya. Dalam keadaan ini, siapa tidak terasa jauh hati? Bukankah kebaikan perlu dibalas dengan kebaikan juga?
Itu di peringkat atas. Di peringkat PBT, khususnya (Masjid Tanah), dalam PBT Majlis Perbandaran Alor Gajah, kita sama-sama memperjuangkan keperluan bangsa lain.
Kita sendiri, pernah memperjuangkan lesen untuk orang India berniaga di hadapan kuil depan Sungai Pengkalan, Alor Gajah. Juga meluluskan orang India berniaga kuih dan muruku di Simpang Empat, malah yang layak kita cadangkan diberi gerai.
Apabila kita bercakap di dalam mesyuarat, begini kita nyatakan: Ini permohonan orang India!
Empat tahun lalu, kita membantu Tokong Simpang Empat mendapat lampu jalan. Tahun ini kita tambah lagi sehingga setiap batang tiang jalan ke tokong menjadi terang-benderang. Kita juga mengusulkan turap semula jalan dan sekeliling kawasan tokong, juga turap kawasan lapang supaya nampak bersih dan selesa.
Kita bawa usul ini dengan menyebut: Ini keperluan bangsa Cina. (Walaupun ada sebahagiannya masih belum dapat dilaksanakan).
Demikian perjuangan kita, kita bukan sahaja berjuang untuk Melayu, tetapi juga untuk Cina dan India, sehingga pernah Datuk G. Kannan (Ketua MIC Bahagian Masjid Tanah) berkata, kalau dalam mesyuarat, ada satu orang MIC menyokong permohonan-permohonannya, orang itu tentulah kita.
Demikian kita berjuang tanpa menilai warna kulit dalam mendahulukan rakyat.
Dari peringkat atas sehingga ke peringkat bawah, kita bersama-sama memelihara keharmonian dan memperjuangkan nasib semua pihak. Membuat pertimbangan bagi mempastikan keamanan dan keharmonian ini terpelihara selamanya.
Kita hanya mengambil sebahagian contoh bukan untuk bermegah. Apa yang kita nukilkan adalah untuk sebuah negara Malaysia yang aman dan cemerlang.
Sejarah membuktikan Melayu adalah sebuah bangsa yang sangat bertolak ansur dan tahu kenang budi tentang kebaikan dan tidak menyimpan dendam. Barangkali ini juga jiwa seluruh orang UMNO yang tulen.
Seluruh orang Pas pula, di hujung lidah mereka adalah Islam. Mereka tidak menerima sepenuhnya semangat kebangsaan, tetapi sangat teruja dengan semangat Islam.
Di dalam negara, di luar negara, orang Cina bangkit bersuara dalam silent walk yang seolah-olah mereka itu sentiasa terbelenggu dan tidak mendapat kebebasan bersuara.
ISHAK MOHAMAD
Alor Gajah
No comments:
Post a Comment