Ini perintah Allah - Hafiz
KUALA LUMPUR 13 Mei - Seruan perpaduan antara UMNO dan Pas wajib disahut para pemimpin kedua-dua parti itu kerana merupakan perintah Allah SWT selain sunah Rasulullah SAW.Bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pemimpin kedua-dua parti terutamanya Pas tidak boleh menafikan seruan itu kerana terdapat ayat-ayat al-Quran yang mengajak umat Islam ke arah tersebut.
Selain itu, menurut beliau, terlalu banyak hadis yang memerintahkan umat Islam bersatu.
Malah, katanya, Pas sendiri tidak boleh lari daripada menerima perintah itu kerana Perlembagaan parti berkenaan jelas menyatakan hukum tertinggi dalam pegangan Pas ialah kitabullah (al-Quran), sunah Rasulullah, ijmak ulama dan qias.
"Sekiranya Pas benar-benar merujuk al-Quran dan hadis sebagai sumber hukum tertinggi, pemimpin-pemimpin Pas wajib menerima seruan perpaduan ini.
"Mereka perlu membuang segala ego dan dendam terhadap UMNO demi melaksanakan perintah Allah. Ingatlah, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO adalah orang Islam yang wajib kita anggap mereka sebagai saudara seagama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa supaya agenda perpaduan orang Melayu dan umat Islam menerusi 'lapangan' kerjasama UMNO dan Pas diteruskan bagi memastikan bangsa serta agama Islam dapat diperkasa sepanjang zaman.
Nasharuddin turut mengajak pemimpin Melayu Islam menginsafi realiti masa depan bangsa dan agama yang kini mula dirobek pihak-pihak tertentu.
Sementara itu, Mohamed Hafiz yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) mengakui kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu meludah pemimpin yang mengusahakan penyatuan UMNO dan Pas amat bertentangan dengan Islam dan akhlak Rasulullah SAW.
"Bukankah seorang pemimpin itu wajib memikirkan masa depan generasinya? Tidak sedarkah pemimpin ini apa akan berlaku kepada anak cucu kita sekiranya agenda perpaduan UMNO dan Pas tidak diselesaikan?," katanya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha turut menyuarakan hasrat melihat UMNO dan Pas bersatu demi Islam dan kelangsungan kaum Melayu di negara ini.
Beliau berkata, tiada gunanya kedua-dua parti terbesar bagi orang Melayu itu khususnya Pas terus berkeras kerana persengketaan tersebut hanya merugikan agama Islam dan orang Melayu.
"Seruan ini bukan seruan Nasharuddin tetapi seruan Allah SWT yang wajib dipatuhi tidak kira oleh UMNO atau Pas.
"Tanggungjawab ini tidak akan habis di dunia sebaliknya akan terus dipertanggungjawabkan hingga ke akhirat," katanya.
No comments:
Post a Comment