Saturday, May 4, 2013

media barat benci kerajaan malaysia

Media barat tidak senang ketegasan kerajaan - Chandra

KUALA LUMPUR 4 Mei - Kecenderungan laporan media-media barat termasuk agensi berita kepada pakatan pembangkang dilihat mempunyai kaitan dengan pendirian tegas kerajaan mengenai isu Palestin dan hubungan baik dengan China.
Bekas Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar berkata, dua perkara itu menjadi ancaman kepada kuasa-kuasa asing khususnya Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara barat yang ingin meletakkan pengaruh mereka di negara ini.
Dalam isu melibatkan Palestin dan Israel, katanya, Malaysia bertegas bahawa cengkaman Israel ke atas Palestin perlu dilepaskan selain mengecam tindakannya merampas tanah Palestin dan tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
"Pendirian kerajaan itu menyebabkan kumpulan berpengaruh seperti Zionis berasa tidak senang dan berasa terancam.
"Jadi media-media barat ini mahu menukar kerajaan Malaysia yang patuh kepada kuasa-kuasa tertentu di sana," katanya kepada Utusan Online di sini malam tadi.
Beliau mengulas kecenderungan laporan media-media barat termasuk melalui saluran agensi berita di internet kepada pakatan pembangkang lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menurut Chandra, kuasa-kuasa asing tersebut juga tidak senang dengan hubungan akrab antara Malaysia dan China yang mempunyai pengaruh sangat kuat terutama dalam bidang ekonomi.
Katanya, bagi kumpulan-kumpulan tertentu di AS, malah negara itu sendiri dan negara-negara barat lain, kemunculan China dianggap satu ancaman kepada penguasaan mereka terhadap dunia. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment