Blogger King Jason, Papa Gomo ditahan
KUALA LUMPUR 7 Mei - Polis menahan dua penulis blog bagi membantu siasatan kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan perkauman dalam laman sosial, hari ini.Mohd. King Jason atau King Jason, 38, ditahan di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa di Klang, Selangor pukul 12 tengah hari ini kerana dipercayai dalang penyebaran kenyataan berunsur hasutan dalam laman sosial Facebook dan Twitter miliknya.
Peniaga itu dikatakan dalang yang sering mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, antikerajaan Barisan Nasional selain pernah menghina pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lelaki keturunan Melayu itu ditahan kerana mengeluarkan tiga post dalam Twitter semalam bertujuan membangkitkan kebencian orang ramai terhadap polis.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman ke atas King Jason esok bagi membantu siasatan.
"Kes membabitkan King Jason disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.
Menurut Syed Ismail, turut dirampas adalah dua unit komputer termasuk sebuah komputer riba, cakera keras luaran, jalur lebar dan dua unit telefon bimbit, memori kad dan penerima WiFi, katanya.
Sementara itu, polis turut menahan seorang penulis blog yang dikenali sebagai Papa Gomo selepas menyiarkan kenyataan berunsur perkauman dalam laman Twitter miliknya, @Papagomo.
Menurut beliau, Papa Gomo ditahan di sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak pada pukul 3 petang ini berikutan kenyataan yang dipercayai boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
"Polis turut merampas tiga unit telefon bimbit, cakera keras luaran, jalur lebar dan masing-masing dua unit komputer riba, memori kad dan penerima WiFi.
"Polis akan memohon perintah tahanan reman ke atas Papa Gomo esok dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan," katanya.
No comments:
Post a Comment