Pesanan buat pengundi luar Kelantan
PILIHAN RAYA UMUM (PRU) begitu hampir, begitu juga keterujaan anak-anak perantau untuk pulang ke kampung halaman menyambut 'Hari Raya' yang jatuh 5 tahun sekali ini.Rakyat Kelantan adalah rakyat yang paling ramai berhijrah ke negeri-negeri atau kota-kota besar untuk mencari rezeki seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Walaupun mereka menetap dan bekerja di negeri orang, majoriti mereka masih memilih untuk mengundi di Kelantan.
Kesempatan PRU ini adalah masa yang sesuai untuk mereka menjenguk kampung halaman di samping menunaikan tanggungjawab sebagai penentu masa depan negara dan Kelantan khasnya.
Sebagai pengundi luar, sebelum kita pulang untuk mengundi nanti kita renung-renungkanlah di sekitar kita. Kita renung sejenak apa yang ada di sekeliling kita. Di sekeliling tempat kita bekerja, di sekeliling tempat kita tinggal di luar Kelantan ini.
Biarlah mata kita menjadi saksi bagaimana majunya tempat orang. Bila kita balik mengundi nanti, kita tengok pula kampung halaman kita, daerah kita dan negeri kita. Apa yang kurang di negeri kita berbanding negeri orang? Kita tanyalah pada diri kita, kenapa kita 'terpaksa' berjauhan dengan ibu bapa kita di kampung untuk memenuhi tuntutan hidup mencari rezeki.
Apakah kita mahu mengekalkan Pas yang sudah 22 tahun memerintah Kelantan lagi? Apakah kita mahu negeri tempat kelahiran kita mengecapi kemakmuran dan kemajuan seiring dengan kemajuan negara? Apakah kita sebagai pengundi luar mahu dilabel sebagai petualang dan penghalang kepada pembangunan dan kemajuan tempat tumpah darah kita?
Bukan setakat itu, kita menafikan hak rakyat yang menetap di Kelantan untuk menikmati kemajuan kerana undian kita kurang tepat. Bersyukurlah kepada Allah SWT, kita perantau luar menikmati segala kemudahan dan kerja yang selesa tetapi adalah tidak adil apabila kita mengundi parti yang gagal membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri kita. Pengundi-pengundi luar tidak merasa apa-apa yang menjadi 'mangsa' adalah penduduk setempat yang mahukan pembangunan.
Sebabnya, bila selesai sahaja pembuangan undi kita akan pulang ke tempat kerja masing-masing. Sebagai pengundi luar menjadi tanggungjawab kepada kita membawa kemajuan dan kemakmuran yang kita kecapi di negeri orang kepada negeri kita. Tidakkah kita merasa 'berdosa' menafikan hak penduduk setempat yang inginkan perubahan?
Apabila kita pulang ke Kelantan sempena PRU nanti dan melalui Gua Musang kita lihatlah sendiri pembangunan di Gua Musang dan di Jeli hasil daripada manifesto Barisan Nasional (BN) pada PRU lepas.
Kita bukalah mata seluas-luasnya bagaimana pembangunan yang dibawa BN kepada rakyat di Parlimen Gua Musang dan Parlimen Jeli. Itu sebagai contoh dan bukti yang terbaik untuk pengundi-pengundi luar membuat pilihan pada PRU-13 nanti.
Bayangkanlah nanti jika BN diberi mandat untuk mentadbir seluruh Kelantan. Begitu juga yang melalui jalan di Terengganu, luaskanlah pandangan kita kepada jiran negeri kita itu, yang begitu pesat membangun selepas BN menerajui negeri tersebut.
Melihat kepada aku janji atau manifesto BN untuk Kelantan, pengundi-pengundi luar tidak mempunyai alasan lain untuk tidak mengundi calon BN pada PRU-13 ini. Manifesto atau aku janji BN khas untuk Kelantan yang bertemakan "Rakyat Dihati, Janji Ditepati" mampu membawa perubahan yang besar kepada Kelantan.
Aku janji BN Kelantan kali ini dilihat lebih menyeluruh dengan merangkumi aspek agama, ekonomi, golongan muda, wanita, pendidikan, golongan minoriti, alam sekitar, budaya dan kemudahan asas. Antara aku janji BN Kelantan adalah Kelantan sebagai pusat kecemerlangan ilmu dengan memantapkan lagi sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat dan negeri.
Untuk golongan muda antaranya, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) akan menyediakan 30,000 peluang pekerjaan, geran perniagaan, pusat sukan lasak, litar cub prix dan melahirkan imam muda dan ulama muda ke arah generasi bertakwa dan beramal soleh.
BN juga akan mempertingkat dan memperkasakan lagi kemudahan asas di Kelantan yang selama ini tidak berapa sempurna antaranya menyelesaikan masalah air yang gagal diuruskan pemerintah Pas sebelum ini, menaik taraf jalan-jalan di seluruh bandar di Kelantan, Lapangan Tebang Sultan Ismail Petra bertaraf antarabangsa, melaksanakan tebatan banjir sungai Kelantan dan Sungai Golok, dan yang paling penting untuk kita pengundi luar adalah BN Kelantan akan membina Lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu sekali gus memberi nafas lega kepada kita dan mengelak kesesakan yang teruk setiap kali musim cuti.
Kepada peminat-peminat setia pasukan bola sepak Kelantan pula, BN akan membina sebuah stadium baharu sebagai hadiah diatas sokongan rakyat kepada pasukan 'The Red Warriors'.
Selain itu menurut Tok Pa, BN Kelantan akan mengekalkan semua perkara baik yang telah dibuat kerajaan Pas sebelum ini dan akan melaksana lebih banyak penambahbaikan. Begitu juga dengan barisan-barisan calon yang diletakkan harapan untuk menjadi pemimpin dan 'orang suruhan' untuk membawa kemakmuran dan kemajuan Kelantan.
Kali ini BN Kelantan membariskan 59 calon yang menggabungkan golongan ulama dan umarak. Selain itu, 26 daripada calon BN adalah muka baharu. Sebagai pengundi luar, kita boleh menilai sendiri kewibawaan calon-calon BN pada PRU-13 ini.
Calon-calon BN Kelantan diketuai oleh Tok Pa, penyandang kerusi P30 Jeli dan calon N37 Air Lanas merupakan anak Kelantan yang pakar dalam bidang ekonomi dan pelaburan. Spekulasi bertiup kencang yang mengatakan beliau adalah calon MB Kelantan jika BN diberi mandat kali ini.
Alangkah beruntungnya rakyat Kelantan sekiranya Tok Pa menjadi MB Kelantan dengan kepakaran ekonomi dan kebijaksanaan dalam pelaburan, impian untuk melihat Kelantan berdaya saing dan maju setaraf dengan negeri-negeri lain adalah menjadi kenyataan.
Menyentuh tentang akhlak Tok Pa pula, pengundi luar bolehlah tanya orang di Parlimen Jeli baik orang UMNO atau Pas mereka memuji Tok Pa yang low-profile itu.
Nama-nama besar lain yang menjadi calon BN Kelantan adalah Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) P32 Gua Musang yang tidak pernah gagal dalam membawa pembangunan kepada rakyat di Gua Musang. Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) iaitu Tan Sri Annuar Musa dicalonkan semula sebagai calon P26 Ketereh. Beliau tidak asing lagi bagi kita pengundi luar kerana nama beliau menjadi sebutan kepada peminat-peminat The Red Warrior setelah berjaya membawa tiga piala pada musim lepas.
Datuk Dr. Awang Adek Hussin pula ialah anak Kelantan yang pakar dalam bidang ekonomi dan beliau adalah Timbalan Menteri yang menjadi calon di P25 Bachok. Nama-nama lain menjadi calon BN antaranya Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh P21 Kota Bharu, Tuan Aziz Tuan Hamat P31 Kuala Krai, Datuk Dali Husin P20 Pengkalan Chepa, Tuan Mustaffa Tuan Mat P28 Pasir Putih, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub P29 Machang.
Ini adalah sebahagian daripada 59 calon BN Kelantan pada PRU-13 kali ini.
Kita sebagai pengundi luar sedikit sebanyak perlulah tahu latar belakang calon dan kekuatan aku janji parti sebelum membuat pilihan.
Gabungan calon BN golongan umarak dan ulama pada PRU-13 kali ini adalah tanda bahawa BN benar-benar ingin membawa pembangunan dan kemakmuran berlandaskan syariat Islam kepada rakyat Kelantan.
Usahlah kita sekali lagi menjadi penghalang kepada kemakmuran dan kemajuan negeri yang kita cintai.
Inilah masanya untuk kita pengundi luar berbakti kepada negeri yang kita cintai. Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan negeri Kelantan Darul Naim. "Lain kalilah UBAH, kali inilah kita TUKAR. KITA pakat tukar. Undilah BN."
No comments:
Post a Comment