Pelabur beri reaksi positif BN menang
Pelabur memberikan reaksi positif kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) melonjak sehingga 131.45 mata untuk mencecah paras tertinggi barunya pada 1,826.22 mata semalam.
Berikutan dagangan aktif semalam, jumlah nilai urus niaga keseluruhan turut mencecah paras tertinggi harian baru iaitu RM4.99 bilion. Malah penganalisis berkata, pada sesi urus niaga pagi saja, dianggarkan sejumlah RM2 bilion dana pelaburan asing memasuki bursa Malaysia.
Prestasi kukuh
Prestasi kukuh itu didorong belian besar-besaran pelabur tempatan dan asing dalam saham berwajaran tinggi utama susulan keyakinan mereka terhadap ekonomi Malaysia bersandarkan kepada kejayaan BN itu yang akan menyaksikan penerusan pelbagai dasar dan perancangan yang sudah direncanakan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).
Berikutan dagangan aktif semalam, jumlah nilai urus niaga keseluruhan turut mencecah paras tertinggi harian baru iaitu RM4.99 bilion. Malah penganalisis berkata, pada sesi urus niaga pagi saja, dianggarkan sejumlah RM2 bilion dana pelaburan asing memasuki bursa Malaysia.
Sejajar dengan kemasukan besar dana pelaburan asing itu, nilai ringgit turut melonjak mencecah paras tertinggi barunya sejak 2 September 2011 semalam pada RM2.9625 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS).
Ketua Penyelidik Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata kejayaan BN mengekalkan tampuk pentadbiran negara dalam PRU-13 memberikan keyakinan kukuh kepada pelabur asing untuk memasuki pasaran tempatan.
Pelabur sokong BN
“Peningkatan kukuh pasaran saham tempatan hari ini (semalam) menunjukkan sokongan dan keyakinan kukuh pelabur tempatan dan asing kepada BN,” katanya kepada BH, semalam.
Beliau berkata, kebanyakan pelabur asing yang memasuki pasaran tempatan semalam adalah dari Asia Tenggara terutama Singapura, Jepun dan China.
Pasaran saham negara menyaksikan kemasukan pelabur asing aktif antara Januari hingga April tahun ini dengan sejumlah RM13 bilion dilaburkan dalam tempoh itu berbanding hanya RM13.5 bilion bagi keseluruhan 2012.
Nazri berkata, Affin Investment menaikkan unjurannya bagi FBM KLCI kepada 1,830 mata menjelang akhir tahun ini daripada 1,720 yang diunjurkannya sebelum ini berikutan prestasi kukuh pasaran tempatan semalam.
Beliau berkata, sentimen bulis itu dijangka berterusan dengan saham syarikat berkaitan kerajaan seperti perbankan, hartanah, pembinaan, minyak dan gas dijangka menjadi tumpuan pelabur selepas ini.
Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata peningkatan kukuh dicatatkan Bursa Malaysia semalam adalah di luar jangkaannya.
Beliau berkata, pasaran saham tempatan dijangka terus mengukuh susulan kemenangan BN itu kerana keyakinan pelabur bahawa dasar kerajaan akan dapat diteruskan tanpa halangan.
Nilai ringgit mengukuh
Mengenai prospek ringgit, Nazri berkata, mandat jelas yang diterima BN pada PRU-13 serta jangkaan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh tahun ini akan mendorong nilai mata wang tempatan itu untuk terus mengukuh berbanding dolar AS.
Kemasukan berterusan dana asing ke pasaran saham tempatan juga akan menjadi pendorong kepada pengukuhan ringgit tahun ini, katanya.
Pada jam 5 petang semalam, ringgit ditutup urus niaganya pada paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan, iaitu RM2.9780 berbanding dolar AS. Mata wang tempatan itu meningkat dua peratus semalam, iaitu peningkatan harian terbesar sejak Mei 2010.
No comments:
Post a Comment