Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Monday, May 30, 2011
Utusan Melayu
Api ini terus menyala
Oleh Zainudin Maidin
BANGUNAN Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 1958.
MEMASUKI usia 70-an, Utusan Melayu (Utusan Malaysia) menghadapi cabaran paling getir dalam sejarah perjuangannya yang bermula dengan semangat nasionalisme sempit tetapi bertukar kepada sosialisme dan komunisme antarabangsa dan akhirnya kepada nasionalisme liberal.
Penubuhan Utusan Melayu oleh Kesatuan Melayu Singapura pada 1938 dan penerbitannya pada 29 Mei 1939 adalah didorong oleh semangat anti Jawi Peranakan dan Keturunan Arab kerana mereka menghina dan mengeksploitasi ekonomi orang Melayu. Untuk pemisahan dari etnik Melayu, Utusan mentakrifkan mereka sebagai DKK (Darah Keturunan Keling) dan DKA (Darah Keturunan Arab).
Bagaimanapun, Presiden UMNO yang pertama Dato’ Onn Jaafar meluaskan takrifan itu dengan memasukkan keturunan Arab dan India sebagai Melayu kerana mereka berugama Islam dan mengamalkan adat-istiadat Melayu untuk membesarkan kelompok Melayu yang diperlukan untuk perjuangan besar bagi menentang Malayan Union dalam 1946.
Tabir perjuangan Utusan Melayu berubah dari semasa ke semasa oleh tuntutan dan tekanan politik tetapi terbukti, baik ketika didukung oleh pejuang kiri atau ketika dikuasai oleh pejuang kanan, namun kejatian diri Utusan tetap tidak berubah malah lebih menyerlah dalam keadaan yang tercabar.
Bekas-bekas wartawan dan sasterawan kiri Utusan Melayu yang menganggap Utusan Melayu menyeleweng dari dasar asalnya juga dapat merasakan akhbar itu tetap tegak di atas jati dirinya dalam usianya yang semakin lanjut. Umpamanya Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang dalam sajaknya Utusan Melayu dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan Melayu yang diterbitkan sempena Utusan 50 tahun menyatakan:
Utusan Melayu
Wajah dan lenggangmu boleh berubah
Suara dan nadamu terkocak gundah
Namun jiwamu tetapi tidak mungkir
Untuk bangsa agama dan tanah air.
Ketika itu Usman seorang pejuang kiri dalam Utusan Melayu lebih 20 tahun meninggalkan akhbar itu setelah gagal mempertahankan Utusan Melayu daripada diambil alih oleh UMNO dalam satu pemogokan selama 3 bulan seluruh pekerja Utusan pada 1961 (Julai-Oktober) tetapi Usman masih melihat dan merasakan Utusan tetap tidak terkeluar daripada matlamat asalnya walaupun gayanya berubah.
Alasan pemogokan mereka adalah mempertahankan kebebasan akhbar tetapi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman yang memutuskan pengambilalihan itu melihat Utusan Melayu terkongkong oleh golongan kiri dan anasir-anasir Parti Sosialis Rakyat Malaysia yang pro Indonesia.
Utusan Melayu ketika itu berkeyakinan bahawa sosialisme adan komunisme adalah jambatan kepada konsep gagasan Nusantara Melayu Raya sebaliknya Tunku Abdul Rahman berpandangan oleh kerana kelemahan Indonesia dari segi ekonomi, sains dan teknologi terutama dari segi persenjataan maka yang akan menguasai Melayu Raya kelak adalah Parti Komunis China yang telah pun berkuku di Indonesia menerusi Parti Komunis Indonesia (PKI).
Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew juga mempunyai ketakutan sama dan kerana itu beliau bekerjasama dengan pemerintah Malaya untuk melumpuhkan mogok Utusan Melayu dengan kader-kader PAP di Utusan Melayu membantu bagi meneruskan penerbitan Utusan Melayu dalam masa mogok.
UMNO membiarkan “kebebasan” di Utusan Melayu itu walaupun telah menguasainya menerusi pembelian besar saham Utusan Melayu sejak 1953 dan hanya mengambil langkah drastik untuk pengambilalihan secara total pada 1961 kerana Utusan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan politik semasa yang pro dasar pasaran bebas dan pro Barat.
Wartawan Utusan Melayu sejak zaman awal kelahirannya, Tan Sri A. Samad Ismail ialah orang yang memainkan peranan besar dalam menanam dan membangunkan roh ini dalam Utusan Melayu dengan secara halus dan bijak sehingga seluruh pekerja Utusan Melayu berkeyakinan bahawa Utusan Melayu dalam suatu perjuangan suci dan benar.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment