Salahkah Ibrahim Ali pertahankan hak Islam di negara ini?
AQIEL
Bandar Baru Bangi, Selangor
TIDAK ada tindakan yang boleh diambil ke atas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berhubung ingatannya terhadap masyarakat Kristian di negara ini.
Demikian ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz, dengan menyifatkan kenyataan tersebut sudah menjadi norma di negara ini.
Desakan tersebut dibuat NGO tertentu meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Ibrahim di bawah Akta Hasutan kerana dilihat cuba mencetus huru-hara. Nazri juga dilihat memberi jawapan yang munasabah dan seterusnya menolak untuk mengambil tindakan.
Di sini saya sebenarnya bukan hendak bercakap perlu atau tidak tindakan diambil terhadap Ibrahim. Yang saya ingin persoalkan apakah menjadi satu kesalahan apabila Ibrahim dengan tegas mempertahankan hak Islam di negara ini? Ibrahim bukan mengugut, sebaliknya memberi ingatan kepada gerakan terbabit agar tidak bermain api.
Pada saya sesiapa yang mengaku dirinya Islam, maka mereka wajib mempertahankan Islam walau dengan apa cara sekali pun. Sebagai orang Islam, Ibrahim sudah menjalankan kewajipannya seperti yang dituntut agama. Jadi, adakah Ibrahim membuat kesalahan apabila berkata demikian?
Justeru, memang tidak wajar Ibrahim dikenakan tindakan, lebih-lebih lagi KDN tidak pernah mengenakan tindakan kepada mana-mana pihak sebelum ini yang sering mencetuskan perkara sensitif.
Maka kerajaan tidak harus mencari kesalahan Ibrahim semata-mata kerana desakan pihak tertentu, sebaliknya harus mencari punca kenapa Ibrahim berkata demikian. Tiada angin pokok tidak bergoyang.
No comments:
Post a Comment