Madah berhelah Anwar berterusan
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
SESIAPA juga yang mengikuti segmen interaktif Yahoo! Malaysia Question Time menerusi platform Cover It Live, kelmarin yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi panelnya - akan membuat satu sahaja kesimpulan iaitu hujah Anwar penuh madah berhelah.
Ia kerana sepanjang tempoh interaktif itu berlangsung, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut tidak menjawab persoalan yang dikemukakan oleh orang ramai dengan jujur dan ikhlas.
Sebaliknya Anwar terus menggambarkan dirinya sebagai insan teraniaya, menjadi mangsa konspirasi, dihumban dalam penjara kerana mahu memperjuangkan keadilan dan semua sistem dalam negara ini tidak boleh dipercayai.
Malahan Anwar juga seolah-olah ingin menggambarkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejahat-jahatnya kerajaan di muka bumi Allah ini.
Ternyata sekali lagi, kita terpaksa menyaksikan gelagat madah berhelah Anwar dalam menjawab kontroversi yang melibatkan dirinya.
Bagi Anwar, kes liwat pembantu peribadinya dan rakaman video seks yang dikatakan mirip wajahnya, segala-galanya adalah konspirasi.
Malahan untuk menyelamatkan diri atau menyembunyikan kebenaran, ada ketikanya dalam interaktif tersebut Anwar membidas kembali mereka yang bertanya soalan sensitif kepadanya.
Turut diseret bagi mempertahankan dirinya ialah fatwa Dr. Yusuf Qaradawi terutamanya dalam isu liwat. Anwar juga tidak mahu mengiktiraf keputusan dua pakar luar negara yang mengesahkan rakaman video seks tersebut adalah tulen.
Jelaslah, Anwar kini semakin tersepit dan tertekan. Namun beliau masih mahu terus bersandiwara dengan menggunakan kepetahannya berhujah.
Dalam hujah-hujahnya tiada satu pun menunjukkan bahawa beliau ikhlas ingin menegakkan kebenaran, apa yang lebih ditekankannya ialah beliaulah insan yang teraniaya kononnya akibat konspirasi UMNO, Perkasa dan BN.
Tetapi apa yang anehnya, Anwar tidak pula mengemukakan bukti terhadap setiap tuduhannya kepada UMNO termasuklah dalam soal rakaman video seks tersebut.
Anwar sengaja cuba menutupi fakta sebenar bahawa rakaman itu tiada kaitan sama sekali dengan UMNO mahupun BN.
Tetapi ia adalah pendedahan orang yang pernah menjadi sahabat baiknya, Datuk Shazryl Eskay Abdullah oleh itu kenapa pula hendak dikaitkan dengan kedua-dua pihak tersebut?
Kalau Anwar begitu yakin bahawa dirinya teraniaya kenapa beliau tidak mahu melaksanakan empat perkara yang boleh membersihkan namanya seperti mana dicadangkan oleh bekas rakan seperjuangannya dalam PKR iaitu Senator Ezam Mohd. Noor.
Empat perkara tersebut ialah sumpah laknat, menjalani ujian poligraf bagi membuktikan dirinya tidak berbohong, menyaman Shazryl Eskay Abdullah dan tuduh Shazryl Ezkay sebagai pembohong.
Namun Anwar tidak mahu melakukan perkara itu biarpun dalam interaktif tersebut beliau antara lain ketika ditanya buku apa dan tulisan siapa yang paling banyak mempengaruhi beliau dengan penuh bangga menjawab, ''Al-Quran, kitab hadis...''
Jika benar pemikiran Anwar dipengaruhi oleh al-Quran dan hadis kenapa takut jika berada di pihak yang benar.
Tidakkah Anwar memahami hadis Qudsi yang mana Allah SWT berfirman: "Demi kemuliaan-Ku, Aku akan tolong orang yang teraniaya itu dalam waktu dekat."
Malahan Allah juga berjanji bahawa doa orang teraniaya tidak ada hijab antaranya dengan Allah SWT.
Oleh itu kenapa Anwar takut jika beliau begitu yakin dan cuba meyakinkan orang lain bahawa dirinya tidak bersalah dan semua yang berlaku adalah konspirasi politik.
Anwar sememangnya sedang berusaha menggunakan segala saluran termasuklah interaktif di Yahoo! tersebut bagi menunjukkan kepada dunia bahawa dirinya tidak bersalah.
Kita percaya gelagat Anwar dalam berhadapan isu moral melibatkan dirinya tidak akan terhenti begitu sahaja.
Ia kerana keinginan Anwar untuk menawan Putrajaya dan sekali gus meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri tidak pernah pupus.
Impian Anwar itu jelas apabila dalam interaktif itu beliau mahu orang ramai membaca buku jingga yang dikeluarkan oleh pakatan pembangkang.
Buku itu mengandungi perancangan pakatan pembangkang jika berjaya menawan Putrajaya.
Malahan Anwar juga memberikan keyakinan bahawa bukan sahaja Perak akan ditawan semula malahan Putrajaya juga akan berada dalam genggaman.
Demikianlah hebatnya mainan politik putar belit Anwar. Isu moral yang dihadapi tidak dijawab dengan telus sebaliknya cuba mengajak rakyat mempercayai pembohongannya bahawa kerajaan BN adalah dalang di sebalik apa yang berlaku ke atas dirinya.
Anwar juga menuduh pemimpin-pemimpin yang meninggalkan perjuangan PKR adalah orang yang sudah dibeli oleh UMNO biarpun hakikatnya golongan tersebut yang suatu ketika dulu sanggup menggadaikan segala-galanya demi mempertahankan beliau.
Mereka meninggalkan Anwar bukan kerana wang atau kedudukan tetapi melihat Anwar seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjadi Perdana Menteri.
Namun semua itu tidak diketengahkan, sebaliknya Anwar terus berbohong dan berbohong. Medan interaktif tersebut bagaikan satu lagi platform beliau untuk memutar-belitkan fakta, biarpun dari semasa ke semasa kebenaran semakin tidak memihak kepadanya.
Tetapi Anwar perlu faham bahawa dalam kehidupan ini pembohongan tidak akan mampu menghalang munculnya kebenaran. Kepetahan bercakap tidak selamanya mampu menutupi kebatilan dan fikiran manusia tidak selamanya boleh dikelirukan.
Jika Anwar terus mempertahankan perkara yang tidak benar, percayalah hukuman bukan sahaja datang daripada manusia tetapi lebih dahsyat daripada Allah SWT.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment