Tuesday, May 24, 2011

UDA


Letak UDA di bawah Mara

Oleh DR. SITI NABIHA ABDUL KHALID
DR. SITI NABIHA ABDUL KHALID ialah pensyarah di Universiti Sains Malaysia


UNTUK memastikan peningkatan dalam peratus pemilikan hartanah Melayu di kawasan bandar, UDA dicadangkan diletak di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

APAKAH zaman emas ini telah kembali setelah Lembaga Kemajuan Bandar (UDA) dimiliknegarakan? Jelas, polisi dan pelaksanaannya tidak seiring.

Faktor keuntungan kini mengatasi agenda sosial dalam membina masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputra. Adakah ini satu polisi baru UDA atau adakah ini polisi baru kerajaan yang diterjemahkan oleh tindakan UDA?

UDA harus ingat kepada hasrat penubuhannya dan kenapa ia dimiliknegarakan dan mendapat tanah pada premium yang rendah. Sebagai contoh, tanah kampung Melayu Tanjong Tokong di Pulau Pinang diberi secara percuma kepada UDA dengan bayaran nominal RM1. Pemberian tanah ini berdasarkan dengan amanah Allahyarham Tun Abdul Razak yang melawat dan meninjau keadaan kampung tersebut pada 1972.

Setelah mendengar ucapan pemimpin kampung mengenai sejarah kampung, dengan pesanan Tun Abdul Razak "sejarah biarlah tinggal kenangan, marilah menuju pembangunan", kampung yang berusia lebih 100 tahun diamanahkan kepada UDA. Janji Tun Abdul Razak adalah untuk membangunkan persekitaran perumahan yang selesa untuk penduduk kampung itu supaya taraf sosio-ekonomi penduduk ditingkatkan.

Namun, perumahan yang dibangunkan oleh UDA dan kesan pembangunan adalah amat menyedihkan sekali. Kawasan tersebut menjadi high rise slum. Pembangunan yang dibuat adalah berdasarkan takrifan sempit konsep perumahan. Penempatan semula penduduk kampung dibuat tanpa melihat kepada sosio budaya penduduk dan kesan daripada pembangunan tidak mesra.

Janji Tun Abdul Razak masih tidak tertunai. Jelas sekali, penempatan semula penduduk kampung yang telah dibuat tidak mencapai objektifnya.

Adalah tidak hairan jika penduduk kampung mempunyai pandangan yang amat sinis pada UDA.

Kini, pembangunan kedua akan dijalankan di kampung tersebut. Diuar-uarkan bahawa tanah kampung itu milik UDA, dan penduduk pula mendudukinya tanah secara haram. Apakah hukum apabila pihak yang diberi amanah, lupa kepada amanahnya, dan menganggap harta yang diamanahkan sebagai hakmiliknya.

Takrifan sempit perumahan masih lagi digunapakai. Penduduk kampung dirasakan harus bersyukur kerana UDA akan mengamalkan konsep ganti rumah secara percuma. Apakah pelan UDA untuk keseluruhan tanah kampong tersebut. Apakah dibuat perumahan dan persekitarannya yang bakal meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung? Ataupun pembangunannya juga termasuk pusat komersial dan lain-lain bagi menjana keuntungan?

Pada masa dulu, anak-anak kampung bermain layang-layang mahupun berenang di tepi laut. Ibu-ibu pula beriadah mencari siput remis atau melihat anak-anak bermain layang layang ditepi pantai. Sekarang, pantai telah hilang disebabkan oleh tebusguna tanah sebanyak 1,000 ekar di hadapan kampung.

Projek perumahan mewah dan pusat membeli belah dibina di tanah tebusguna di hadapan kampung ini. Pantai tempat rekreasi penduduk telah hilang dan digantikan dengan kawasan perumahan eksklusif untuk pihak lain. Oleh itu, pembangunan ini untuk siapa? Sebahagian kampung ini terdiri atas tanah tebusguna yang dibuat pada 1950an sebelum kemerdekaan.

Di atas tanah tebusguna inilah dibina perumahan untuk penduduk kampung. Rumah-rumah itu dijual dengan harga RM1,500 pada 1956 kepada penduduk jati kampong tersebut. Tetapi selepas kemerdekaan lain pula berlaku.

Selepas memegang tampuk pemerintahan pada 2008, antara langkah awal yang dibuat oleh ketua menteri yang baru adalah melawat kampong tersebut. Beliau disambut dengan harapan kerajaan negeri yang baru ini dapat menyelesaikan permasalahan kampung melayu tertua yang merupakan antara saki baki kampung melayu yang masih wujud di kawasan pulau di Pulau Pinang.

Namun, dikatakan pula selepas itu, projek kampong ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat. Agak menghairankan pendirian kerajaan negeri sebegitu memandangkan kelulusan projek pembangunan adalah di bawah bidang kuasa majlis perbandaran yang sememangnya di bawah kawalan kerajaan negeri.

Kini beberapa kali banjir berlaku di kampung ini, terutama selepas adanya projek mewah di hadapan kampung. Walaupun permasaalahan banjir dan nyamuk yang disebabkan oleh rumah yang dirobohkan tidak dibersihkan di bawa kepada ADUN dan EXCO yang bertanggungjawab, ia masih tidak diatasi.

Dengan rumah pangsa yang dibina, tempat rekreasi tiada, di manakah kanak-kanak dan remaja kampung akan pergi? Melepak di pusat membeli belah? Perumahan dan persekitarannya mempunyai implikasi kepada tahap pelajaran dan kualiti hidup dan keadaan sosial sesebuah komuniti. Perumahan bukan hanya menyediakan dinding dan bumbung sebagai tempat berteduh sahaja. Persekitaran perumahan adalah amat penting.

Pembangunan perumahan di kampung itu seharusnya untuk memperbaiki kualiti hidup tanpa memusnahkan alam sekitar selaras dengan tujuan tanah diberi kepada UDA dan juga polisi perumahan negara.

UDA telah mengalami pelbagai transformasi. Daripada sebuah perbadanan bertukar menjadi syarikat dan kemudiannya dimiliknegarakan. Namun, posisi UDA masih sama, masih terdapat kesamaran dan kekaburan dalam menjalankan program tindakan dalam menterjemahkan polisi kerajaan menstruktur masyarakat melalui pembangunan perbandaran.

Polisi yang dirangka dan tindakan terjemahan adalah tidak seiring. Apakah masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera dapat dilahirkan apabila objektif pembangunan di kawasan strategik adalah menyediakan ruang niaga mahupun perumahan untuk bumiputera yang kaya?

Apakah ini dikatakan keadilan sosial dan membantu bumiputra yang sepatutnya dibantu? Adakah tujuan untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera telah lebur dan digantikan dengan masyarakat pelabur hartanah bumiputera? Apakah sasaran pemilikan ditingkatkan dengan cara pelaburan melalui skim hartanah kerajaan sahaja?

Untuk memastikan pemilikan hartanah bumiputera kekal, Pengerusi UDA menyarankan agar dirizabkan hartanah Melayu. Untuk memastikan peningkatan dalam peratus pemilikan hartanah Melayu di kawasan bandar, yang kini pada tahap rendah, dan seterusnya menjanakan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera, UDA patut diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tambahan pula, dengan cara ini usaha untuk membangunkan masyarakat pedagang dan perindustrian bumiputra dapat di koordinasi dengan lebih sempurna. Salah satu permasalahan berkaitan pelaksanaan agenda bumiputera ini adalah pelbagai agensi yang bertanggungjawab, jadi timbul kelemahan dalam koordinasi mahupun perselisihan tugas dan tanggungjawab antara agensi-agensi ini.

Pihak manakah yang memantau pelaksanaan agenda ini dan pencapaiannya? Siapakah akhirnya bertanggungjawab atas pencapaian sasaran ini?

Oleh itu, dengan adanya UDA di bawah Mara, koordinasi dapat dibuat dan juga Mara menjadi satu badan one stop center untuk pembangunan usahawan bumiputera.

Mara pada asalnya berperanan menjana pembangunan bumiputera di kawasan luar bandar sedangkan UDA pula di kawasan bandar. Adalah lebih baik pembangunan bumiputera sama ada di bandar ataupun di luar bandar disatukan.

Tambahan pula, penyusunan semula Mara lebih tertumpu kepada usaha membantu golongan usahawan bumiputera dari segi pengisian modal insan dan tidak lagi dilihat dari aspek membina bangunan semata-mata.

Dengan adanya UDA sebagai sebuah unit di bawah Mara, keseluruhan rantaian pelaksanaan dapat dinilai dan tindakan pembetulan dapat dibuat dengan lebih pantas. Lebih-lebih lagi, dengan cara ini, peranan Mara dapat dimantapkan.

Oleh itu, UDA patut diletakkan di bawah Mara supaya tujuannya adalah jelas. UDA ditubuhkan bukan untuk kepentingan UDA meraih keuntungan semata-mata. Jika tidak, bubarkan sahaja UDA.

No comments:

Post a Comment