Friday, May 6, 2011

Bersatulah Sebelum Hancur

Jangan tunggu Melayu-Islam hancur

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

CADANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang kerana DAP tidak memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang wajar difikirkan kembali oleh pemimpin parti itu dengan sedalam-dalamnya.

Ia bukanlah perkara baru. Malah pemimpin Pas mengakui ia adalah sejarah. Tetapi sayangnya pemimpin Pas tidak memikirkan bahawa sejarahlah yang banyak memberikan pengajaran, kalau kita leka dengan perjuangan asal, kita akhirnya akan berada di landasan yang salah dan menunggu saat kehancurannya.

Ulasan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya mengenai penyatuan antara UMNO dan Pas adalah sesuatu yang amat jelas membawa maksud bagi membangunkan semula kekuatan Melayu dan Islam.

Melayu diistilahkan berasaskan bangsa dan keturunan, kerana itulah kelemahan Melayu akan memberikan semangat bukan Melayu untuk mempersoalkan statusquo dengan menggunakan landasan politik dan meminta haknya sebagai warganegara.

Cadangan Perdana Menteri itu ada benarnya. Jika gabungan Pas boleh bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), tentunya kekuatan Melayu akan dilihat sebagai sesuatu yang utuh dan mapan. Pendapat Dr. Juanda tepat pada masanya. Dengan menganggap mereka yang menolak penyatuan Melayu-Islam sebagai pengkhianat, mungkin akan menyebabkan pihak tertentu membuat andaian, bahawa Melayu sebenarnya sedang berada dalam zon yang parah. Sebenarnya, zon Melayu masih belum lagi parah. Kekuatan Melayu masih besar, cuma mengalami sedikit hakisan.

Bukan Melayu, pada permukaannya nampak berpecah. Hakikatnya mereka amat bijak lempar batu sembunyikan tangan; boleh bercakap dengan nada kesal dan menghina kerana mereka memahami bahawa orang Melayu sudah tidak segagah dahulu.

Apabila Dr. Juanda menyifatkan mereka yang menghalang penyatuan Melayu dan Islam sebagai pengkhianat, maka ramai pula yang tampil memberikan pendapat. Bagi kelompok tersebut, Pas dan UMNO tidak perlu bersatu. Kedua-dua parti itu hanya perlu duduk semeja bekerjasama dan tidak kurang juga yang memberikan pandangan penyatuannya akan menyebabkan hilangnya peranan check and balance.

Pendapat ini sebenarnya merupakan keresahan yang tidak berkesudahan dari mereka yang tidak mempercayai sistem berpolitik. Mereka merupakan golongan yang tidak yakin dengan kebolehan elit politik untuk mentadbir negara.

Mentadbir negara bukanlah semudah mengeluarkan pendapat peribadi. Ia memerlukan kecekapan dan ketangkasan bertindak menyelesaikan masalah kerana kehidupan masakini tidaklah semudah dahulu. Kehidupan masakini memerlukan kecekapan dan kecekalan menterjemahkan prinsip perjuangan menjadi sesuatu yang baku, dan bukannya bersifat retorik.

Akibat sesama Melayu dan Islam terlalu banyak politiking, maka rasa hormat ke atas prinsip pemuafakatan yang terikat sejak 1955 semakin longlai dan jika tidak dikemaskan dengan baik, ia akan terlerai.

Terlerai ikatan itu memberikan makna sedih yang berpanjangan, kerana Melayu akan kehilangan kuasanya. Dalam keadaan kuasa yang masih ada, maka penyatuan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Dalam konteks Islam, perpecahan adalah sesuatu yang dianggap sebagai dosa dan malapetaka umat. Perpecahan antara Islam bukan sahaja boleh menghancurkan ummah malah bakal menyebabkan pupusnya sesuatu budaya.

Islam telah hadir sebagai cara hidup yang mementingkan perpaduan dan penyatuan setiap individu dalam satu dasar yang kuat. Islam tidak menjadikan etnik atau kaum sebagai asas, namun hakikat kepelbagaian bangsa dan keturunan juga harus diakui sebagai ciptaan Allah SWT bagi membolehkan antaranya berkenal-kenalan dan hidup dalam kemesraan.

Hakikat wujudnya orang Melayu memang sudah ditakdirkan dan fitrah kehidupan. Begitu juga dengan ikatan erat dengan wilayah, maka itulah melahirkan konsep "ketuanan Melayu." Usaha menyingkirkan "ketuanan Melayu" dan digantikan dengan lain-lain slogan sudah membawa maksud menolak ciptaan Allah SWT. Cuma yang berbeza ialah terlalu membanggakan kaum atau bangsa sebagai sesuatu yang salah, tetapi tidak menghargai asal-usul adalah satu penghinaan.

Tidak mahu mengakui dirinya sebagai Melayu merupakan penghinaan. Tidak mengakui dirinya berada dalam keranjang budaya Melayu juga satu sifat terkutuk, kerana tidak menghargai asal muasal yang dijadikan oleh Allah SWT.

Islam ditegakkan sebagai agama yang menyanjung tinggi prinsip bantu membantu, kerana itu akan melahirkan kesejahteraan kehidupan. Hakikat ini sebenarnya difahami oleh banyak orang, tetapi sesetengahnya cuba memasang lukah ketika hujan melimpah dan air di kuala menjadi keruh. Hakikat ini tidak difahami oleh segelintir pemimpin politik yang memikirkan kedudukan dan kelebihan partinya sendiri, sehingga lebih banyak menaburkan retorik.

Demi menyahut seruan suci keamanan dan perpaduan, kita perlu berpegang kepada firman Allah swt yang bermaksud: Sekiranya mereka (musuh bukan Islam) cenderung untuk perdamaian, maka hendaklah kamu juga bersedia menerimanya dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Maksud Al-Quran Surah al-Anfal ayat 61)

Oleh itu, tidak ada sebab untuk kita cuba menolak seruan dan peluang yang terbuka luas demi merintis jalan ke jalan perpaduan.

Ambil iktibar daripada sejarah Islam mengapa kerajaan Bani Umaiyah runtuh? Mengapa kerajaan Bani Abbasiyyah tumbang? Mengapa Daulah Uthmaniyah hancur? Mengapa kerajaan Fatimiyyin dan Muwahhidin lenyap dari pentas sejarah? Mengapa kekuasaan dan kekuatan muslimin terkikis dari Andalusia? Benarlah sepertimana firman Allah bermaksud:

"Dan Tuhanmu tidak sekali-sekali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan kezaliman penduduknya selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri"

(Maksud Al-Quran Surah Hud:117)
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment