Penggunaan klon getah RISDA diluluskan jawatankuasa khas
KAMARUDIN ANI
Ketua Unit Komunikasi Korporat RISDA
DENGAN hormatnya saya merujuk aduan daripada Anak Cucu Pekebun Kecil yang disiarkan di ruangan ini pada 12 Mei 2011. Aduan ini bersifat umum dan sukar bagi RISDA untuk menyiasat secara terperinci.
Walau bagaimanapun, RISDA ingin memberi penjelasan ke atas isu yang dibangkitkan seperti berikut:-
* Penetapan jenis klon yang dibekalkan kepada pekebun kecil adalah atas cadangan Jawatankuasa Penyemakan Klon Getah RISDA/LGM. Jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar-pakar klon daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA.
Cadangan jenis klon tersebut telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Kebangsaan, yang dianggotai oleh KKLW, LGM, MARDI, MPOB, UPM, RISDA, Jabatan Pertanian dan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).
Jawatankuasa ini berperanan meluluskan penggunaan klon getah yang akan digunakan oleh pekebun kecil dari masa ke semasa.
* Buat masa ini klon-klon yang telah diperakukan oleh jawatankuasa tersebut adalah klon PB260, PB350, RRIM928, RRIM929, RRIM2001, RRIM2002 dan RRIM2025. Klon-klon ini mula diperkenalkan sejak tahun 1995 dan telah melalui penyelidikan melebihi 10 tahun.
RISDA pula membekalkan benih-benih daripada klon-klon tersebut kepada pekebun kecil dengan kawalan kualiti iaitu pada peringkat umur benih mencapai sekurang-kurangnya 10 bulan atau dua pusaran (whorl) daun keras. Oleh itu, tuduhan RISDA membekalkan benih-benih klasik adalah tidak betul.
* Mengenai dakwaan bahawa getah mengambil masa lebih tujuh tahun untuk mengeluarkan hasil juga agak kurang jelas. Mengikut pemantauan yang dibuat oleh RISDA, 60.63 peratus kebun yang ditanam telah mencapai 4½ tahun umur berhasil.
Manakala, RISDA menjangkakan 70 peratus kebun yang ditanam akan mencapai 4½ tahun umur berhasil menjelang 2015. Jangkaan ini boleh tercapai apabila Amalan Pertanian Baik (GAP) dilaksanakan oleh pekebun kecil meliputi yang berikut:-
* Penggunaan benih getah yang mencapai dua pusaran daun keras
* Kawalan rumpai secara berjadual
* Sulaman dalam masa satu tahun selepas menanam (jika perlu)
* Pembajaan mengikut jadual dan teknik yang betul
* Cantasan terkawal dan galakan dahan
* Rawatan penyakit dari masa ke semasa. Masalahnya, masih ada pekebun kecil yang tidak melaksanakan amalan GAP tersebut.
* Semenjak RMK-9 dilaksanakan sehingga kini, tiada lagi bilangan pekebun kecil yang termasuk dalam kumpulan miskin tegar. Manakala bilangan yang termasuk dalam kumpulan miskin pula setakat April 2011 adalah tujuh bilangan iaitu 0.09 peratus. Ini menunjukkan pencapaian yang baik.
Semoga penjelasan ini dapat menjawab aduan yang telah dikemukakan oleh pengadu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment