Wednesday, May 11, 2011

Singapore


Cita rasa Melayu Singapura

Oleh Azmi Hassan


Calon Parti Pekerja menjalankan kempen ketika bertemu penduduk di GRC Aljunid, Singapura, baru-baru ini. – AFP

PILIHAN Raya Umum Singapura Ke-11 yang baru berlangsung mempamerkan anjakan cita rasa pengundi yang berani memberi kepercayaan kepada calon parti pembangkang yang selama ini begitu sukar memperolehi sokongan pengundi.

Perolehan jumlah undi sebanyak 60 peratus yang diperolehi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah terendah semenjak memerintah Singapura lebih lima dekad yang lepas. Ketika pilihan raya tahun 2006, PAP yang diterajui oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong memperolehi 66 peratus keseluruhan undi.

Merosotnya jumlah undi yang diperolehi oleh PAP dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pengundi terhadap kos sara hidup yang terlalu tinggi dan jurang pendapatan yang begitu ketara di antara golongan mewah dan sederhana. Pengundi yang kebanyakannya pertama kalinya berpeluang mengundi, lebih berani membuat keputusan yang menongkah arus.

Tetapi apa yang lebih menarik untuk dianalisis adalah sikap atau cita rasa pengundi Melayu yang dianggap sebagai kaum minoriti, tetapi mempunyai kuasa penentu di beberapa kawasan mengundi. Walaupun digembar-gemburkan pengundi Singapura yang dianggap matang dan tidak mengundi mengikut kaum, tetapi hakikatnya bangsa calon itu masih memainkan peranan penting.

Sebab itu Singapura terpaksa memperkenalkan konsep Kawasan Pilihan Raya Berkumpulan (GRC) pada 1988 untuk memastikan calon kaum minoriti tidak terpinggir dan mempunyai peluang yang saksama dengan calon kaum Cina.

Ketika pilihan raya 2001, sebahagian besar pengundi Melayu tidak menyokong PAP kerana merasa terkilan dengan sikap kerajaan Singapura yang menyokong kempen memerangi keganasan Amerika Syarikat yang ditafsirkan sebagai kempen untuk menindas umat Islam.

Walaupun PAP memperolehi jumlah sokongan yang begitu padu iaitu sebanyak 75 peratus undi, tetapi sokongan tersebut hanya datang dari satu kelompok pengundi iaitu dari pengundi kaum Cina.

Tetapi keputusan pilihan raya 2006 telah mempamerkan penghijrahan pengundi Melayu yang mana hampir 80 peratus telah kembali ke pangkuan PAP. Malah PAP dikatakan bernasib baik masih mampu memperolehi 66 peratus undi hanya kerana ihsan pengundi Melayu.

Berlakunya perubahan sikap pengundi Melayu dari 2001 hingga 2006 adalah kerana selama lima tahun kaum Melayu bagaikan terpinggir dari arus pembangunan Singapura gara-gara dilabel sebagai penyokong pembangkang.

Bukan menjadi satu rahsia bahawa kerajaan yang diterajui oleh PAP akan menghukum secara tersirat dan sistematik penduduk yang menyokong pembangkang kerana arus pembangunan kawasan tersebut tiba-tiba akan menjadi terbantut atau setidak-tidaknya perlahan.

Menteri Mentor, Lee Kuan Yew telah memberi amaran kepada penduduk Aljunid bahawa mereka mempunyai masa lima tahun untuk ambil iktibar dengan pemilihan yang telah dilakukan. Kekecewaan yang diluahkan Kuan Yew adalah ekoran kekalahan PAP di GRC Aljunid di tangan parti pembangkang Parti Pekerja (WP).

Ramai yang menjangkakan pilihan raya kali ini akan menyaksikan penghijrahan sekali lagi pengundi Melayu kepada pembangkang. Malah sekilas pandang, penambahan jumlah undi sebanyak 10 peratus yang diperolehi oleh pembangkang bagaikan telah mengesahkan persepsi tersebut.

Jangkaan tersebut diperkuatkan lagi dengan saranan Kuan Yew kepada Melayu Singapura agar melunturkan pegangan agama Islam mereka supaya lebih mudah mereka bergaul dengan kaum lain.

Saranan tersebut yang terkandung dalam buku beliau yang bertajuk Hard Truths: To Keep Singapore Going telah mendapat bantahan bukan sahaja daripada penduduk Melayu tetapi juga ahli politik Melayu dari PAP.

Isu penghinaan terhadap pegangan agama Melayu Singapura telah dipergunakan sepenuhnya oleh pihak pembangkang walaupun Kuan Yew telah memohon maaf atas keceluparan beliau. Calon Parti Perpaduan Nasional (NSP) Nicole Seah umpamanya telah memohon maaf bagi pihak Kuan Yew dalam usaha beliau menarik undi Melayu. Beliau yang bertanding di GRC Marine Parade bagaimanapun tewas di tangan kumpulan calon PAP yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Goh Chok Tong.

Sokongan pengundi Melayu terhadap PAP masih utuh seperti mana pola undian pada 2006 dan tidak berlaku penghijrahan kepada pembangkang seperti yang dijangkakan sebelum pilihan raya.

Walaupun PAP tewas kepada WP di GRC Aljunid pada hal kumpulan PAP ini diketuai oleh Menteri Luar George Yeo, tetapi peratus undian yang diperolehi oleh calon minoriti PAP iaitu Zainul Abidin Rasheed melebihi peratus undi yang diperolehi oleh empat rakan PAP beliau.

Malah peratus undi Zainul juga jauh meninggalkan calon Melayu WP iaitu Muhamad Faisal Abdul Manap. Pola pengundian Melayu di GRC Aljunid iaitu kawasan Eunos jelas menunjukkan kaum bumiputera Singapura ini jauh lebih selesa dengan calon Melayu PAP berbanding dengan pembangkang.

Walaupun pengundi Cina tidak memberi sokongan kepada empat calon Cina PAP yang lain, tetapi pengundi Melayu tetap menyokong Zainul walaupun mempunyai pilihan Faisal dari WP.

Begitu juga dengan GRC Marine Parade, penghijrahan ketara berlaku terhadap pengundi Cina yang menyokong parti pembangkang NSP. Tetapi pengundi Melayu tetap bersama PAP walaupun NSP mempunyai calon minoriti Melayu yang agak popular iaitu Mohamad Maliki Osman.

Cita rasa pengundi Melayu Singapura jelas mempamerkan sikap pragmatik apabila berhadapan dengan masa hadapan kaum mereka.

Pengundi Cina tidak gentar memberi undi kepada pembangkang kerana mereka akur PAP tidak boleh menyisihkan kaum Cina kerana mereka adalah majoriti di Singapura.

Tetapi Melayu Singapura adalah golongan minoriti dan sokongan terhadap parti pembangkang sudah tentu dengan mudah boleh dihukum oleh kerajaan pimpinan PAP.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG),

Universiti Teknologi Malaysia.

No comments:

Post a Comment