Mustahil DAP menjadi Barisan Nasional?
TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris
MENGIKUTI perkembangan politik Malaysia menyaksikan pelbagai perasaan bercampur-campur bagi pelbagai pihak yang berkepentingan secara langsung dan yang sipi-sipi. Terbaru ialah buah fikiran tentang kemasukan DAP menyertai Barisan Nasional (BN).
Biasalah, rakan-rakan akademik dan rakan-rakan kopi petang saya yang bersahabat dengan UMNO dan yang sudah terlalu lama bersama pahit maung membantu BN nampaknya mati-matian menolak kemungkinan ini atas alasan perbezaan ideologi. Kepada kawan-kawan ini, walaupun mereka sudah seperti tidak sabar dengan gelagat MCA dan Gerakan, DAP bukanlah pengganti yang sesuai.
Seperti biasa, sentimentalisme tidak saya percayai dalam membuat keputusan-keputusan bagi kebajikan warganegara. Jika benar ada kebuntuan dalam mendapatkan mandat politik yang menjamin kestabilan politik negara yang nantinya akan memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan penduduk Malaysia, pihak yang masih kuat hendaklah tidak mudah untuk segera menyingkirkan buah fikiran baru, meski pun buah fikiran baru itu seperti berlawanan dengan sentimen dan tradisi.
BN hendaklah tidak menunggu sehingga benar-benar lemah dan hampir lemas baharu cuba berenang mencari tebing.
Amat menarik apabila Najib Tun Razak baru-baru ini seperti dengan sengaja memilih masa yang agak sama menyerukan Pas meninggalkan pakatan pembangkang sambil memberi amaran kepada kaum Cina supaya tidak mengharapkan perwakilan yang biasa di dalam Kabinet sekiranya mereka tidak memilih mana-mana parti Cina yang menjadi komponen BN dalam PRU yang akan datang.
Seruan itu seperti hanya kurang sedikit daripada secara terang-terangan menjemput Pas menyertai BN dan juga kurang sedikit daripada memberi altimatum kepada MCA dan Gerakan supaya 'take it or leave it', sambil pada masa yang sama menghitung sejarah bahawa MCA terutamanya tidak pernah tidak setia kepada ikatan yang telah terjalin semenjak masa merdeka dituntut.
Atas setiakawan demikianlah agaknya mengapa Najib tidak secara serentak 'menyapa' Pas dan DAP supaya meninggalkan PKR terkonteng-konteng sendirian.
Jika BN telah lama duduk 'serumah' dengan MCA, terutamanya, dan Gerakan sedikit kemudian dalam BN, tidak diduga sebelum ini bagaimana Pas boleh menginap 'sehotel' atau di rumah tumpangan sekarang dengan agak selesa bersama DAP dalam pakatan pembangkang.
Pelbagai medium digunakan oleh pelbagai pihak dari luar bagi mengurangkan kebolehpercayaan orang ramai terutamanya pengundi terhadap kesucian 'rumah tumpangan' DAP dan Pas itu tetapi setakat ini mereka masih mampu di situ. Sebaliknya, rumah BN sendiri yang seperti bergoyang-goyang dari dalam.
Hal ini mendorong saya meneliti semula tentang sentimen BN tidak boleh menerima DAP menjadi pengongsi rumah besar itu. Jika disemak semula asal-usul DAP yang ada kaitannya dengan sejarah PAP, tiada sebab yang sangat kuat untuk BN menolak DAP menyertainya bahkan mungkin lebih sekufu dengan UMNO berbanding dengan UMNO-MCA-Gerakan.
Secara sejarahnya UMNO tertubuh oleh gerakan rakyat Melayu bawahan setelah berjaya meyakinkan raja-raja supaya tidak tunduk kepada rancangan besar penjajah British, sedangkan MCA pula muncul dan menyertai gerakan cara perundingan menuntut kemerdekaan yang diketuai oleh UMNO atas alasan yang berbeza.
Pemimpin MCA muncul atas kepentingan peluang perniagaan kontrak di Malaysia yang selama ini dimonopoli oleh syarikat-syarikat Inggeris berbanding PAP (Lee Kuan Yew) muncul atas kebimbangan kaum Cina akan diketuai oleh penganut-penganut komunis.
Ini bermaksud DAP yang berkongsi ideologi dengan PAP itu secocok dengan ideologi UMNO yang telah menyingkirkan pemimpin yang cenderung kepada faham kiri. Kuan Yew pernah memenjarakan Lim Chin Siong, yang pernah berjuang bersamanya, kerana dikatakan komunis, mirip tindakan UMNO menolak beberapa pejuang kemerdekaan yang dikatakan berhaluan kiri.
Jika hal begini diambil kira, secara ideologi nampaknya UMNO dan DAP boleh duduk bersama dengan selesa.
Jika meminjam kata-kata beberapa pemimpin UMNO sekarang dan dahulu yang mengatakan UMNO itu parti orang kampung kerana majoriti ahlinya di kampung maka lawannya di bandar sepatutnya DAP, bukan MCA atau Gerakan.
Kuan Yew adalah peguam yang membela kesatuan-kesatuan sekerja bukan dari kalangan peniaga yang ghairah menggantikan kepentingan niaga Inggeris di Tanah Melayu, adalah lebih secocok dengan rakyat Melayu yang mendokong UMNO.
Mungkin kerana itu juga Kuan Yew dapat meletakkan indeks rasuah yang baik di Singapura kerana dia tidak berasal dari golongan politik Cina lain yang berminat untuk melindungi atau memperlebarkan kepentingan perniagaan keluarga.
Bagi DAP pula, tentulah UMNO lebih sesuai dijadikan rakan serumah berbanding dengan Pas. Dasar UMNO yang secara konsisten sangat pragmatik sewajarnya menyelesakan DAP untuk tinggal bersama BN berbanding di rumah tumpangan pakatan pembangkang.
DAP yang sangat sekular (kehendak yang terpancar dalam kenyataan pemimpin-pemimpin utamanya) sulit untuknya mengekalkan rumah tangga yang aman bersama Pas yang dilihat sangat teologikal. Lainlah jika Pas 'berada dalam rumah BN' yang lebih besar nanti tentulah Pas juga akan pandai bertingkah laku sesuai pengalamannya tersingkir daripada BN pada tahun 1970-an dahulu.
Pada asasnya banyak tuntutan DAP sudah tidak bersesuaian lagi kerana semuanya telah ditunaikan oleh BN - tuntutan kriteria merit ke universiti, tuntutan 'Malaysian Malaysia' sudah terangkum dalam 'Satu Malaysia', dasar semuanya inklusif - mewajarkan DAP untuk tidak perlu silu atau meminta maaf kepada pengikutnya untuk menyertai BN. Semua peluang yang diminta telah ada di dalam BN.
Jika semua telah ada di dalam BN - sekularnya ada, teologinya ada, suasana inklusif telah ada, semua kepentingan pelbagai kaum telah ada, apakah lagi kewajaran mengubah 'status quo'?
Jika, misalnya ada alasan lain seperti BN masih tidak bersih maka BN perlu ditolak, hujah itu tidaklah begitu kukuh. Sebaliknya, hujah yang lebih kukuh ialah 'ubahlah' BN bukan 'menggantikan' BN.
Jika DAP dan Pas adalah sama-sama menjadi pemilik BN bersama UMNO dan parti-parti picisan lain nanti, apakah yang menghalang semua mereka mengubah BN bersama-sama, jika itu yang dimahukan.
Kesampingkan nostalgia dan sentimen tradisi, saya lihat DAP dan Pas akan amat selesa menyertai BN. Jika BN memang benar berhasrat menjadi satu parti tanpa komponen seperti sekarang, ia akan berlaku setelah hal yang saya utarakan ini didahulukan. Mengapa tidak?
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment