Saturday, May 21, 2011

Musnah Utusan Melayu Sebelum Musnah Orang Melayu

Kenapa pembangkang hendak ganyang Utusan Malaysia?

Oleh Azman Anuar

SEMUA warga Utusan Melayu (M) Berhad berasa terharu dengan sokongan daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Pemuda UMNO, Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah (Pekida), Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang berhimpun secara aman di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur semalam. Perhimpunan itu diadakan tanda sokongan kepada Utusan Melayu ekoran demonstrasi yang diuar-uarkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) di pejabat akhbar kami sebelum dibatalkan di saat-saat akhir.

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, tekanan yang Utusan Malaysia terima daripada parti pembangkang amat hebat. Selepas saman dan boikot, pelbagai kecaman dilemparkan kepada akhbar Melayu ini. Mereka ada niat mahu ganyang Utusan Malaysia.

Perjuangan Utusan Malaysia memang berbeza dengan media Melayu lain. Utusan berani melaporkan berita yang boleh dipercayai kebenarannya tanpa rasa gentar dengan ugutan mana-mana pihak demi kebaikan negara.

Berpegang kepada etika kewartawanan, Utusan Malaysia berani mendedahkan kelemahan dan kepincangan golongan tertentu baik di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Apa yang dilakukan oleh AMK adalah salah satu strategi pembangkang untuk ‘membunuh’ Utusan Malaysia. Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng pula antara orang yang paling banyak tuduh Utusan Malaysia sebagai penjahat dan mereka juga paling kerap mengajak rakyat memboikot akhbar Melayu ini.

Kenapa ‘nyawa’ Utusan Malaysia hendak ditamatkan atau dilemahkan? Kenapa tindakan yang sama tidak diambil terhadap akhbar Melayu yang lain?

Dalam soal mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya terkandung perihal Raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan hak-hak istimewa bumiputera, Utusan Malaysia banyak mainkan peranan tetapi kenapa seolah-olah kami dibiarkan berjuang bersendirian.

Mujur ada UMNO, Perkasa dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang lain yang ambil peduli akan usaha terancang pihak tertentu hendak menggugat kedudukan Raja-raja, agama Islam dan hak istimewa bumiputera.

Strategi jahat pembangkang menanam rasa benci kepada Utusan Malaysia adalah kerana mereka amat bimbang jika orang Melayu mula membaca akhbar ini.

Mereka takut penyelewengan dan salah laku kepemimpinan pembangkang didedahkan. Walhal, perkara ini juga ‘terkena’ kepada pemimpin Barisan Nasional. Namun semua ini untuk kepentingan rakyat dan parti politik itu sendiri.

Ingatlah, apabila orang Melayu diseru boikot akhbar Utusan Malaysia maka mudahlah pembangkang mempengaruhi masyarakat bandar dan luar bandar melalui ceramah dengan cerita-cerita daripada tukang karut pembangkang.

Kandungan ceramahnya pula hanyalah menabur kebencian dan sikap benci atau melemparkan persepsi negatif terhadap Utusan. Maka slogan-slogan seperti rasis, jumud, penipu dan lain-lain lagi dilemparkan kepada Utusan Malaysia.

Dengan cara itu orang Melayu sedikit sebanyak berasa mual dan jengkel sehinggakan ada yang terpaksa bersikap rendah diri apabila bercakap tentang hak bangsanya sendiri yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Trend pembangkang yang mengajak rakyat membenci dan memfitnah Utusan Malaysia sebagai akhbar tidak boleh dipercayai cukup-cukup bahaya.

Jika suara utama orang Melayu ini berjaya dipadamkan daripada fikiran orang Melayu, maka lebih senang usaha DAP untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu dicapai.

Namun fakta yang tidak boleh mereka nafikan ialah Utusan Malaysia adalah akhbar yang tidak pernah jemu-jemu memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan sentiasa mengingatkan orang Melayu agar peka dengan taktik halus pihak yang mahu menghapuskan hak istimewa bumiputera.

Utusan Malaysia kerap dituduh akhbar yang rasis dan menyebabkan perpecahan kaum dan sebagainya. Cuba bandingkan dengan akhbar bukan Melayu yang kadang-kadang langsung tidak menghormati sensitiviti orang Melayu dan Islam, tetapi tiada pun satu kecaman dilempar kepada akhbar berkenaan.

Salahkah Utusan Malaysia jika apa yang dipertahankannya adalah mengikut konteks Perlembagaan negara? Bayangkan kalau Utusan Malaysia ini tidak wujud lagi. Fikirkan apa jadi pada orang Melayu?
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment