Friday, May 6, 2011

Tanda Akhir Zaman

Tanda akhir zaman? Fitnah menjadi-jadi

Fitnah merupakan salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang keras Allah SWT. Ia boleh diertikan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban, menceritakan kelemahan orang dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan dan tulisan seperti surat layang, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web, emel dan sebagainya.

Ringkasnya, fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukkan individu atau kumpulan tertentu. Ia boleh berlaku sama ada dalam sesebuah keluarga, jabatan dan organisasi semata-mata untuk memenangi hati majikan, fitnah dalam dunia politik untuk menjatuhkan seseorang, fitnah dalam dunia perniagaan untuk menjatuhkan pesaing dan sebagainya. Ini bermakna, fitnah merangkumi pelbagai aspek dan dosanya jelas amat besar.

Dalam isu fitnah ini, terdapat beberapa nas al-Quran dan hadis yang melarang perbuatan fitnah. Antaranya ialah Firman Allah bermaksud:

“Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan” (Surah al-Baqarah ayat 191).

Selain itu, diriwayatkan daripada Khuzaifah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Riwayat Muslim).

Seterusnya, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar-penyebar fitnah” (Riwayat al-Tabrani).


Fitnah tersebar kerana dorongan banyak pihak

Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Mohd Shukri Hanapi berkata, pembuat fitnah tidak berjaya menyebarkan fitnahnya jika tidak dibantu orang yang menyebarkannya.

“Maksudnya di sini, fitnah berjaya disebarkan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama dan mereka akan dimasukkan dalam neraka. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis diriwayatkan Huzaifah r.a. katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Riwayat Muslim),” katanya.

Mengulas wabak fitnah yang melanda negara sehingga menjatuhkan maruah dan mengaibkan diri seseorang, kata beliau, sekiranya sesuatu disebarkan itu merupakan fitnah dan perkara tidak betul, maka ia termasuk dalam sifat mazmumah (terkeji) yang amat dilarang dalam Islam (haram).

“Sekiranya perkara disebarkan itu betul, ia juga diharamkan kerana dianggap sengaja mencari dan mendedahkan keaiban seseorang Muslim. Situasi sebegini jelas menunjukkan bahawa Islam amat menjaga maruah seseorang manusia,” katanya.

Shukri berkata, budaya fitnah-memfitnah bukanlah baru dalam masyarakat kini.

“Ini kerana, budaya fitnah telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah. Ia merupakan perbuatan orang-orang munafik pada zaman itu.

“Fitnah terbesar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah dikenali dengan kisah ifki (bohong). Fitnah ini berlaku ketika rombongan tentera Islam dalam perjalanan pulang dari Perang Bani Mustaliq. Dalam peristiwa ini Sayyidatina Aisyah r.a. telah difitnah kononnya melakukan perkara tidak baik dengan Safwan bin Mu‘attal (seorang sahabat Nabi yang turut serta dalam Perang Badar). Orang yang mula-mula sekali menyebarkan fitnah ini ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Tujuannya ialah untuk merosak dan mencemarkan kesucian keluarga Rasulullah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tidak wujud sebarang perbezaan di antara budaya fitnah pada zaman dulu dengan sekarang.

Ini kerana, menurut Shukri, matlamatnya adalah untuk memburuk-burukkan dan mencemarkan maruah seseorang, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kedudukan dan pangkat.

“Cuma yang paling jelas berbeza ialah cara penyebarannya sahaja. Kalau dahulu fitnah itu hanya disebarkan secara lisan, tetapi sekarang bukan sekadar lisan, malah turut disebarkan melalui media-media cetak dan elektronik.

“Misalnya, melalui akhbar, majalah, televisyen, SMS, emel, laman web, blog, Facebook dan sebagainya. Malah, fitnah hari ini dilihat begitu cepat tersebar kerana ada kesemua kemudahan seperti ini,” katanya.

Implikasi budaya fitnah

Amalan fitnah-memfitnah secara berterusan mampu memberi implikasi buruk, malah lebih dahsyat daripada membunuh.

“Jika membunuh hanya melibatkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah itu boleh menjatuhkan maruah seseorang, seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam jangka masa yang sukar disekat.

“Orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya mula hilang, ia akan menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah-memfitnah ini,” kata Shukri.

Untuk menyekat penyebaran fitnah, Shukri berkata, Islam meletakkan garis panduan dalam menilai sesuatu berita disebarkan. Dalam perkataan lain, Islam menganjurkan supaya mengkaji terlebih dahulu sumber sesuatu berita.

Firman Allah bermaksud, “Wahai! orang-orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara kamu lakukan” (Surah al-Hujurat ayat 6).

Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini adalah untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Selain daripada itu, terdapat beberapa tips dalam menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, “Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa.

Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu."

No comments:

Post a Comment