Pas 'melukut di tepi gantang'
NADZIR AWANG AHMAD
Arau, Perlis
KEANGGOTAAN Pas di dalam pakatan pembangkang tidak lebih menjadi alat bertujuan untuk memancing undi Melayu melalui pengikut setianya. Kesepakatan yang ada hanyalah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah yang menguasai kerajaan.
Oleh itu Pas bolehlah mula melupakan sahaja hasrat dan impian untuk menubuhkan sistem Pemerintahan negara Islam walaupun Pakatan Pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. Sifirnya mudah, kerana pendirian dan prinsip perjuangan yang berbeza. DAP dan PKR nyata tidak menyebelahi dan menyokong prinsip perjuangan Pas. Pas hanya keseorangan dalam prinsip perjuangan partinya manakala rakan-rakan lain di dalam pembangkang dilihat hanya ingin menguasai Putrajaya.
Pas sepatutnya 'mendakap' UMNO, bukannya DAP dan PKR. UMNO terbukti merupakan wadah orang Melayu-Islam untuk memperjuangkan isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Warga Felda Jengka 23 baru-baru ini berkata, Pas sepatutnya bekerjasama dengan UMNO untuk memperjuangkan isu berkaitan umat Islam di negara ini dan bukannya memilih DAP untuk bersahabat.
Kita hairan bagaimana Pas sanggup bersekongkol dengan DAP sedangkan parti itu secara jelas menentang kewujudan negara Islam di Malaysia. Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh, pernah menegaskan supaya langkah mayatnya dulu jika Pas mahu mewujudkan negara Islam.
Lihat saja isu di Selangor yang telah menjadi isu hangat apabila Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu, mengarahkan larangan ke atas orang Islam bekerja di premis menjual arak ditarik balik.
Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras disokong oleh Pesuruhjaya Pas Selangor merangkap Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali. Ternyata tindakan Ronnie Liu itu memperlihatkan bahawa DAP lebih berkuasa untuk mempengaruhi kerajaan negeri yang dipimpin oleh PKR.
Ini bukan isu pertama berlaku di Selangor. Pernah Majlis Bandaraya Shah Alam telah diarah memulangkan kembali arak yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam walaupun ditentang oleh Pas ketika itu.
Jelas, pendirian dan prinsip Pas Selangor berkaitan isu arak ini langsung tidak dihormati oleh rakannya di dalam Pakatan Pembangkang, terutamanya DAP. PKR pula dilihat cuba 'bermain selamat' di antara kedua-duanya.
Tidak serikkah lagi Pas setelah 'dianaktirikan' dalam pakatan pembangkang? Sanggupkah lagi Ahli Parlimen Kota Bharu, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah, mati mempertahankan Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana menurutnya Karpal kini sudah berubah?
Jika Pas ikhlas untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam, Pas harus bersama-sama UMNO kerana rakan pembangkang Pas dalam Pakatan pembangkang dilihat lebih kepada agenda politik dan kekuasaan semata-mata.
Pas telah disisih dengan 'cara terhormat'. Malah tidak salah kiranya dikatakan Pas cuma menjadi alat atau kuda tunggangan rakan-rakan lain di dalam pembangkang yang hanya perlukan Pas untuk meraih undi dan sokongan orang Melayu demi mencapai cita-cita politik mereka untuk menguasai Putrajaya.
Titah peringatan daripada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, sewajarnya dijadikan iktibar kepada semua pemimpin terutamanya pemimpin Melayu-Islam yang kini dilihat seolah-olah berseteru dan gemar bertelagah sesama sendiri. Malah ada yang tergamak mempertahankan tindakan dan perbuatan yang dianggap kurang beradab oleh pemimpin bukan Islam semata-mata atas dasar kepentingan politik parti masing-masing.
Pemimpin-pemimpin Pas seharusnya bersama-sama UMNO memperjuangkan isu orang Melayu, bukannya mengambil pendirian untuk mempertahankan tindak-tanduk pemimpin bukan Melayu yang jelas bercanggah dengan adab susila orang Melayu. Malah ada yang lebih berani sehingga sanggup mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu hanya kerana mengejar kuasa politik.
No comments:
Post a Comment