Sunday, May 29, 2011

Anak Yatim HuluLangat

Iktibar tragedi anak yatim Hulu Langat

KEJADIAN tanah runtuh yang mengorbankan 16 orang di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat bukan sekadar menyayatkan, tetapi menuntut kita untuk melihat lebih jauh daripada setakat menyiasat punca tragedi.

Ia seolah-olah menggamit kita, termasuk pihak kerajaan untuk meneliti setiap perkara yang berbangkit dan dibangkitkan. Jika tidak dibangkitkan, bolehlah juga difikirkan apa jua yang relevan dengan kebajikan anak-anak yatim secara menyeluruh.

Satu tulisan di Utusan Malaysia pada 25 Mei lalu mengocak fikiran pembaca. Diulang siar sebahagiannya:

"Pesanan SMS yang diterima pagi semalam daripada seorang kenalan terus mengejut benak fikiran saya ketika menelek akhbar tentang nasib anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor.

"Katanya, semasa anak-anak yatim itu hidup, mereka tidak dijaga sendiri oleh ibu bapa. Mereka dihantar ke rumah kebajikan itu. Di sana mereka diserah kepada ustaz untuk diberi makan minum dan dididik dengan ilmu agama. Senang cerita tahulah pihak asrama dan madrasah itu hendak mencari dana untuk memelihara anak-anak mereka.

"Jadi soal makan minum, pakaian dan kesihatan sudah ada orang yang ambil peduli. Tidak perlu risau apa-apa lagi. Semua ditanggung beres.

"Maka dengan kemudahan sedia ada, ibu atau bapa serta saudara mara tidak datang menjenguk pun tak apa. Bukan sebulan sekali menjenguk anak-anak yatim, malah ada yang sudah terlalu lama hingga berbelas tahun tak datang bertanya khabar anak-anak sendiri.

"Paling malang, apabila anak-anak yatim itu meninggal dunia kerana tertimbus tanah bukit yang runtuh menimpa mereka, ada waris-waris tanpa segan silu terima wang simpati. Kata kenalan saya itu lagi, wang itu setelah diterima patut disumbang semula ke rumah anak yatim."

Pada hari yang sama turut disiarkan berita: '' Lebih RM 1 juta dijangka dikumpulkan sempena sambutan Hari Belia Negara bagi membantu keluarga mangsa kejadian tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, Selangor Sabtu lalu yang mengakibatkan 16 orang terkorban,".

Mencongak

Dua laporan ini boleh mendorong pembaca untuk mencongak berapa banyak sumbangan yang diberikan kepada waris-waris dan rumah anak yatim di Hulu Langat itu. Jika kutipan sudah terlalu banyak, tidakkah juga layak disalurkan kepada anak-anak yatim di tempat lain?

Maka hamba ingin mengajak semua pihak, termasuk kerajaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam negeri, melihat kepada nasib dan kebajikan anak-anak yatim secara lebih menyeluruh, bukan sekadar di Hulu Langat sahaja. Cuba kita jawab soalan-soalan berikut:

Berapa ramaikah anak yatim yang perlu dibantu di seluruh negara? Ada berapa buah rumah anak yatim? Adakah rumah-rumah anak dibantu secara bersistem, dengan adil dan saksama? Adakah mana-mana pihak yang mengambil tahu secara terurus dan berpusat mengenai hal ehwal anak yatim ini? Tidak mungkin tiada anak yatim yang tercicir daripada menerima bantuan.

Sekurang-kurangnya di peringkat negeri patut ada pihak berkuasa yang mengambil tahu semua hal anak yatim. Adakah ia menjadi tanggungjawab Jabatan Agama Islam atau Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Tahukah kita bahawa terdapat rumah-rumah anak yatim yang kaya kerana berlokasi di bandar raya serta mendapat tajaan syarikat-syarikat besar dan para jutawan. Jika ingin menghulurkan bantuan kepada mereka, jangan tawarkan beras atau pakaian. Semuanya ditolak, kecuali wang ringgit sahaja.

Dalam masa yang sama, masih banyak rumah anak yatim yang daif dan dahagakan apa jua bantuan sama ada makanan atau pakaian yang sudah dipakai. Ada juga rumah anak yatim meminta bantuan kewangan daripada baitulmal, tetapi lambat menerima bantuan atau jumlah yang diberikan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Ada juga rumah anak yatim sangat agresif mengutip derma. Hampir di setiap stesen minyak ditempatkan remaja yang akan menghampiri setiap pemandu untuk merayu belas ehsan. Mereka ini dikerahkan dari Kedah ke bandar-bandar utama di seluruh Semenanjung pada setiap hujung minggu bermula hari Khamis. Menimbulkan pertanyaan, tidak pernah cukupkah sumbangan yang diterima?

Selain mereka, ada pula pengutip-pengutip derma profesional untuk rumah anak yatim yang menunggu di pintu-pintu bank setiap hari.

Dalam masa yang sama, di kebanyakan masjid terdapat tabung derma untuk anak-anak yatim. Biasanya tabung ini menerima lebih banyak sumbangan terutama pada bulan Ramadan. Ke mana wang ini disalurkan? Adakah ia hanya diagihkan setahun sekali kepada anak-anak yatim kariah masjid itu menjelang Aidilfitri? Kutipan antara masjid tentulah berbeza kerana ada yang ramai ahli kariah orang kaya.

Alangkah baiknya jika sumbangan orang ramai ini diuruskan secara berpusat, dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam atau Majlis Hal Ehwal Agama Islam negeri. Diagihkan bersama wang zakat dengan adil kepada anak yatim dan miskin, sama ada yang tinggal dengan keluarga atau menghuni rumah anak yatim.

Sesungguhnya Islam meletakkan kebajikan anak-anak yatim di makam amal soleh yang tinggi.

Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: "Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan." Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. - 2 (Al Baqarah): 215

Kita umat Islam di Malaysia mempunyai keprihatinan yang amat tinggi terhadap nasib anak-anak yatim. Percayalah bahawa tiada siapa yang mampu, tidak pernah menghulurkan bantuan kepada mereka. Cuma yang diperlukan sebagai penambahbaikan ialah satu sistem pengurusan berpusat yang efisien untuk memastikan pengagihan yang lebih adil dan menyeluruh, tanpa pembaziran, ketirisan dan penyelewengan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment